Oleh Muhamad Haffy Zikry

Perbualan menerusi telefon seorang pemandu teksi yang dinaiki penulis ketika menuju ke Petaling Jaya baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan. Penulis memasang telinga perkara yang dibualkan oleh pemandu teksi terbabit kerana setiap butir yang dibualkannya cukup menarik perhatian.

Penulis membiarkan dia terus berbual dan dalam fikiran penulis, sudah ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepadanya. Sambil bercakap, sesekali pemandu teksi terbabit “mencuri” pandang ke arah penulis melalui cermin pandang belakang, mungkin rasa agak kurang selesa apabila perbualannya didengari penulis.

Selesai mereka berbual, penulis memberanikan diri bertanyakan perkara yang dibualkan. Memang tepat telahan penulis kerana yang menghubungi pemandu teksi terbabit merupakan seorang wanita – sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Pemandu teksi terbabit ialah orang tengah yang memberitahukan perkembangan terkini wanita yang ingin menjual bayinya kepada wanita tersebut.

Perbualan kami semakin rancak. Pemandu teksi tersebut tanpa berselindung bercerita panjang lebar tentang peranannya menjadi orang tengah kepada mana-mana individu yang terdesak ingin akan anak.

Katanya, wanita yang bercakap dengannya melalui telefon sebentar tadi ialah salah seorang kakitangan swasta yang sudah lama berkahwin. Kebetulan wanita itu pernah menaiki teksinya dan dari situlah bermula segala-galanya. Ibu kepada bayi yang masih di dalam kandungan yang mahu dibeli oleh wanita tersebut ialah anak seorang wanita warga Indonesia.

Apabila ditanya jumlah wang komisen yang diterima hasil penjualan bayi terbabit, pemandu teksi terbabit cuba mengelak untuk menjawab. Dia sebaliknya terus bercerita tentang wanita Indonesia tersebut yang menurutnya hamil akibat hubungan luar nikah dengan kekasihnya yang sekarang sudah kembali ke Indonesia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.