Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Semasa penulis sedang menikmati sarapan pagi nasi lemak dan segelas milo tarik pada pagi hujung minggu baru-baru ini di sebuah gerai di sekitar Kampung Baru, penulis tersentak apabila didatangi seorang wanita yang berpakaian agak lusuh dan tidak terurus sambil mengendong seorang anak kecil. Lagaknya bukanlah seperti orang tempatan, berkulit gelap dan berkemungkinan berasal dari India. Lantas wanita itu memberikan salam sambil menghulurkan tangan meminta belas ihsan.

Penulis tersentak bukan disebabkan penulis tidak pernah melihat pengemis seperti wanita itu, tetapi memikirkan “kegigihan” wanita tersebut yang seawal pagi sudah memulakan “rutin” hariannya. Tidak dinafikan, rakyat Malaysia, tidak kira warna kulit atau agama, terkenal dengan sifat pemurahnya dan suka menderma. Lihat sahajalah apabila berlakunya musibah atau bencana di negara lain, dengan pantas sebuah tabung diwujudkan dan kutipan yang diperoleh begitu banyak.

Namun, sekiranya derma yang dihulurkan itu diberikan kepada mereka yang benar-benar berhak, hal itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi persoalannya, mengapakah perlunya kita memberikan derma tersebut kepada seorang wanita yang entah dari mana negara asal usulnya dengan tulang empat kerat yang baik lagi sempurna?

Apabila melihat keadaan begini yang semakin menular di negara ini, penulis bertanya kepada diri sendiri, adakah rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut sama mengikuti jejak langkah seperti wanita pengemis ini?

Kebetulan, sebulan sebelum itu, penulis berpeluang berkunjung ke kota London. Semasa di dalam pesawat, penulis sempat bersembang dengan seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Hanya memperkenalkan diri sebagai Dilla, beliau mengakui sudah menetap di London lebih daripada 15 tahun dan sekarang memiliki kerakyatan Britain.

Dilla, 28 tahun, bekerja sebagai seorang agen hartanah di negara tersebut. Katanya, kota London sudah menjadi rumah tetapnya dan dalam setahun, hanya sekali menjelang Aidilfitri sahaja beliau pulang ke Malaysia menemui ibu bapanya yang menetap di Ampang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.