Oleh Noor Sulastry Yumi Ahmad

Sejarah pembangunan ekonomi Korea Selatan membuktikan bahawa negara tersebut berupaya untuk melangkah lebih jauh. Pada 1950-an Korea Selatan terpaksa mengharungi liku-liku keperitan akibat Perang Korea.

Pelan ekonomi mengubah Korea Selatan untuk meneroka industri barangan elektronik yang mampu dimiliki rakyat sebelum negara tersebut beranjak mempelopori negara industri yang banyak menghasilkan barangan yang berkualiti tinggi pada era 1980-an. Usaha ini berjaya membawa kepada peningkatan empat kali ganda dalam pendapatan rakyat Korea Selatan antara 1980-an hingga 1990-an.

Korea Selatan juga amat terkenal dengan industri automobil menerusi kereta berjenama Hyundai yang mula dikeluarkan pada akhir 1970-an dan mutakhir ini sudah diterima sebagai salah satu jenama kereta antarabangsa yang terkemuka dan diyakini.

Korea Selatan sekarang digelar sebagai “Economic Tigers of Asia”. Selain perkembangan ekonominya yang baik, pembangunan demokrasi negara tersebut juga mendapat pujian.

Kejayaan Korea Selatan terhasil daripada kegigihan rakyat yang sangat patriotik terhadap negaranya.  Semangat nasionalisme yang dipupuk dari sekolah rendah menjadikan rakyat Korea Selatan sangat rajin dan bersemangat tinggi. Walaupun mereka dijajah oleh Jepun dalam tempoh yang sangat panjang, sekarang mereka bangkit dan setaraf dengan masyarakat yang pernah menjajah mereka dahulu.

Bagaimana pula dengan generasi muda di Korea Selatan? Suara generasi muda terutamanya golongan pelajar di Korea Selatan semakin lantang dari semasa ke semasa. Kebangkitan generasi muda di Korea Selatan dapat dilihat daripada peristiwa Gwangju pada awal 1980 apabila terdapat lebih daripada 200 pelajar yang terbunuh ekoran perjuangan mereka menentang kediktatoran Chun Doo-hwan.

Mereka juga mengatur langkah berdemonstrasi untuk menentang imperialisme Jepun dan Syngman Rhee yang dianggap sebagai boneka AS. Hal ini mengakibatkan golongan berhaluan kiri dikenali sebagai Hangchongnyon mengambil alih kuasa Universiti Yongsei di Seoul pada 1996 dan mengakibatkan penahanan pelajar universiti berkenaan sebanyak 5000 orang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.