Oleh Zulkifli Saleh
Melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times, pada awal Oktober lalu, Nicholas D. Kristof mengkritik kepemimpinan Israel yang mengamalkan keburukan yang dilakukan oleh pemimpin Palestin sejak berdekad-dekad, iaitu mereka merupakan musuh rakyat mereka sendiri.
Kini, bahas Kristof, Israel diletakkan dalam bahaya secara keseluruhannya oleh pemimpinnya sendiri. Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengasingkan negaranya, dan secara lancang, sikap tidak bertolak ansurnya terhadap penempatan Israel kelihatan seperti dasar yang memusnahkan negaranya.
Tatkala pertarungan diplomatik berlaku di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan permohonan Palestin untuk memperoleh taraf negara dan anggota PBB, Israel minggu lalu, tulis Kristof, “mengumumkan rancangan untuk pembinaan 1100 buah rumah baharu di bahagian Baitulmuqqadis di luar sempadan pra- 1967. Netanyahu tidak menghargai pendirian Presiden Barrack Obama terhadap permohonan Palestin itu, sebaliknya mengaibkan Obama secara terang-terangan.”
Sejak peristiwa serangan komando Israel terhadap flotila Gaza, kapal Mavi Marmara pada 31 Mei 2010, membangkitkan kemarahan Turki kerana Israel enggan memohon maaf. Kedua-dua buah negara itu seakan-akan di kancah Perang Dingin. Hingga sekarang, keberangan Ankara terhadap Israel belum reda, bahkan semakin garang apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, menuduh Israel “anak yang dimuakan.”
Dalam wawancaranya dengan stesen televisyen al-Jazeera beberapa bulan lalu, Erdogan memaklumkan bahawa serangan Israel terhadap bantuan flotila Gaza merupakan “punca peperangan,” tetapi negaranya memperlihatkan “kesabaran” daripada mengambil apa-apa tindakan. Beliau menegaskan serangan Israel yang membunuh sembilan orang aktivis berlaku di perairan antarabangsa itu merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2011.