Oleh Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

Keputusan kerajaan untuk menganugerahkan status autonomi kepada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjelang tahun 2015 dilihat sebagai satu lagi proses penurunan kuasa bagi meningkatkan kecekapan prestasi perkhidmatan awam, terutamanya dalam sektor pengajian tinggi, dalam usaha penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat. Antara faedah khusus status pemberian autonomi kepada IPTA termasuklah universiti berkuasa membuat dan melaksanakan keputusan sendiri melalui struktur governans yang jelas. Struktur tersebut terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor serta pihak berkuasa yang lain. Melalui struktur tersebut, universiti berkuasa membuat keputusan berkaitan pengurusan kewangan dan penjanaan kekayaan, menetapkan dasar berkaitan pembangunan organisasi, sistem saraan dan urusan perkhidmatan berkaitan modal insan, dan mewujud, menawar dan melaksanakan program pengajian berdasarkan sistem jaminan kualiti yang memenuhi keperluan audit institusi.

Proses pemberian status autonomi ini dijangka bermula mulai tahun ini secara berperingkat sehingga selesai sepenuhnya menjelang tahun 2015. Sebagai permulaan, mulai awal tahun ini beberapa IPTA telah pun  diaudit dan diukur tahap kesediaan mereka untuk melalui proses pemberian status autonomi. IPTA yang terdiri daripada Universiti Penyelidikan (RU) dilihat menjadi pilihan utama bagi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), untuk memulakan projek rintis ini. Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diaudit oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada awal tahun ini bagi menilai tahap kesediaan mereka. Manakala tiga lagi RU iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui proses audit kesediaan ini sepanjang bulan Ogos, iaitu pada 3 – 5 Ogos 2011 (UPM), 10 – 12 Ogos 2011 (UM) dan 15 – 17 Ogos 2011 (UTM). Kesemua IPTA ini diaudit oleh para juruaudit dari MPC yang dikelolakan oleh pihak Bahagian Governans (IPTA) KPT. Pengauditan pula bersandar kepada Kod Panduan Amalan Tadbir Urus Terbaik (Code of University Good Governance (CUGG)) yang menggunakan indeks penilaian, iaitu University Good Governance Index (UGGI) sebagai instrumen penilaian. Empat komponen utama yang diaudit oleh MPC bagi melihat tahap kesediaan autonomi IPTA masing-masing ialah aspek governans ataupun tadbir urus dalam aspek institusi, kewangan, sumber manusia dan juga akademik.

Bagi governans institusi, peranan dan tanggungjawab Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dititikberatkan dan diberikan perhatian yang khusus oleh pihak juruaudit. Hal ini meliputi penilaian terhadap tahap kesediaan LPU untuk menerima autonomi pengurusan IPTA daripada pihak KPT. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya status autonomi terbabit, LPU dilihat bakal mengambil alih peranan dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan KPT. Semua keputusan melibatkan urus tadbir universiti bakal dibuat dan tertakluk kepada budi bicara LPU masing-masing. Untuk memastikan agar setiap LPU IPTA mampu menjalankan tugas  terbabit, pengauditan terperinci dilakukan terhadap peranan LPU dalam menentukan hala tuju universiti, meneliti dan memantau petunjuk prestasi dan sasaran universiti, proses pemantauan pembangunan bakat, merancang pelan penggantian kepimpinan universiti serta kelulusan terhadap polisi kewangan dan pelan perancangan universiti. Oleh sebab itu juga, kelulusan dalam komponen governans institusi dijadikan sebagai aspek mandatori. Hal ini bermakna IPTA mesti lulus dengan cemerlang dalam komponen ini jika mahu diberi kuasa autonomi penuh mahupun separa autonomi.

Dalam komponen kewangan, antara elemen penilaian yang penting ialah berkaitan penggunaan dan pelaksanaan polisi, peraturan dan prosedur bagi kelestarian dan pengurusan kewangan, perancangan, kawalan, laporan dan pemantauan kewangan serta penjanaan sumber kewangan dan kekayaan. Melalui penilaian ini, IPTA boleh dilihat sama ada memiliki dan melaksanakan prosedur kewangan yang berkesan serta mempunyai daya usaha untuk menjanakan kewangan sendiri atau tidak. Hal ini penting kerana sekiranya status autonomi diberikan, maka IPTA kemungkinan besar perlu mencari sumber kewangannya sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan seperti sekarang. Maka IPTA perlu membuktikan bahawa mereka bersedia dan mampu untuk berdikari kelak.

Melalui komponen sumber manusia, antara aspek yang dinilai termasuklah perancangan sumber manusia secara keseluruhan, usaha menarik dan mengekal bakat serta perancangan dan pelaksanaan program kepimpinan. Hal ini akan menunjukkan tahap kesiagaan IPTA dari segi pemilikan sumber modal insan yang terbaik untuk mentadbir IPTA masing-masing. Hal ini penting kerana elemen modal insan ialah asas pembangunan dan kejayaan sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi bagi sesebuah organisasi yang berasaskan sumber tenaga cerdik pandai seperti IPTA. Dalam hal ini, IPTA perlu memiliki pentadbir dan ahli akademik yang berkaliber untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan masing-masing.

Dalam komponen akademik, peranan dan tanggungjawab senat IPTA diberikan perhatian yang khusus. Sebagai badan kuasa yang tertinggi untuk segala urusan akademik, senat dilihat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam IPTA. Oleh itu, antara elemen yang dinilai ialah struktur dan komposisi senat serta tanggungjawab dan peranan senat secara keseluruhannya. Keupayaan senat memainkan peranan dalam aspek pengawalan kualiti akademik, menarik pelajar yang terbaik serta terlibat dalam aspek penyelidikan dan inovasi juga dititikberatkan. Penilaian ini sekali gus menunjukkan kemampuan senat dalam menjaga dan mengurus kualiti akademik IPTA masing-masing. Dengan kata lain, kredibiliti dan integriti akademik yang menjadi tunjang dan tulang belakang setiap IPTA dinilai secara terperinci dalam komponen ini.

Dari segi pemarkahan pula, setiap komponen yang dinilai ini merangkumi beberapa set soalan, iaitu untuk komponen institusi (14 soalan), komponen kewangan (11 soalan), komponen sumber manusia (9 soalan) dan komponen akademik (9 soalan) yang dinilai mengikut skala pengukuran berdasarkan kategori lemah (0.0 – 0.9), memuaskan (1.0 – 1.99), baik (2.0 – 2.99) dan cemerlang (3.0 – 4.0). Markah keseluruhan bakal menentukan tahap kesediaan dan status pemberian autonomi. Keputusan audit terbahagi kepada tiga keputusan. Pertama, sesebuah IPTA layak diberikan status autonomi penuh atau telah bersedia untuk autonomi penuh apabila markah keseluruhan melebihi 80 peratus termasuk semua komponen. Kedua, IPTA diberikan status separa autonomi apabila sebarang komponen yang terlibat, memperoleh markah kurang daripada 80 peratus tetapi dengan syarat komponen tadbir urus institusi tetap mendapat markah melebihi 80 peratus. Ketiga, IPTA akan dikategorikan sebagai belum bersedia untuk autonomi andai markah keseluruhan kurang daripada 80 peratus.

Keputusan pengauditan dan kesediaan status pemberian autonomi kepada kelima-lima RU ini dijangka bakal diketahui pada penghujung tahun ini. Pemberian status autonomi ini merupakan satu cabaran dan ujian yang besar kepada semua IPTA di negara kita, terutamanya kepada IPTA yang berstatus RU kerana status ini bakal menjadi kayu pengukur dan penanda aras kepada IPTA yang lain. Dalam hal ini, prinsip integriti dan akauntabiliti akan menjadi teras kepada proses pemberian autonomi yang akan menentukan tahap kemampuan kendiri setiap IPTA yang terbabit. Secara ringkasnya, kita percaya setelah pemberian status autonomi ini, IPTA layak mentadbir diri sendiri masing-masing, menjanakan kewangannya sendiri, dapat menarik dan menggaji bakat yang terbaik dengan menyediakan skim perkhidmatan dan skala gaji yang lebih kompetitif di samping mendapat peluang untuk memilih pelajar yang terbaik dari seluruh negara untuk mengikuti pengajian di IPTA mereka. Semoga pemberian status autonomi ini dapat membuka satu lagi lembaran baharu dalam dunia pengajian tinggi negara dan diharapkan agar semua IPTA di negara kita mampu bersaing secara sihat demi menyediakan peluang dan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.