WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.224.103.239' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.224.103.239','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Jaminan Kewangan pada Usia Emas','/?p=2449','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Nazruzila Razniza Mohd Nadzri

Lagi laporan tentang warga emas dibuang keluarga atau penjaga. Kali ini ditinggalkan di Hospital Umum Sarawak. Jee Siew Hong berusia 81 tahun yang menderita penyakit kulit dan kurang daya penglihatan dilaporkan dibawa ke hospital tersebut oleh seorang wanita. Berita yang menyayat hati ini disiarkan oleh Harian Metro bertarikh 22 April, 2011. Akhbar dalam talian “The Star”, pernah melaporkan bahawa Hospital Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 134 kes pembuangan ibu bapa warga emas dalam dalam tempoh Januari hingga Mei 2009 berbanding dengan 120 kes untuk satu tempoh yang sama pada 2008. Peningkatan 12 peratus dalam tempoh singkat ini sangat memalukan dan dikesali. Pengarah Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pula menyatakan kebanyakan kes-kes pengabaian ini melibatkan warga tua yang menderita kanser, strok ataupun mengalami masalah mental. Mungkinkah mereka ditinggalkan oleh penjaga kerana kekurangan sumber kewangan kerana kos rawatan untuk kumpulan penyakit sebegini agak besar.

Mengikut statistik yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah warga tua yang berusia antara 60 dan ke atas pada 2008 ialah 1.9 juta. Jumlah ini mewakili 6.8 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Manakala, Dr. Tengku Aizan Tengku Ab. Hamid, pakar gerontologi di Universiti Putra Malaysia menegaskan peratusan penduduk Malaysia yang berusia sedemikian akan mencapai 9.9 peratus pada 2020 dan dijangkakan menjelang 2035, Malaysia akan mengalami penuaan populasi dengan jumlah warga tua mencapai 15 peratus. Dijangkakan Malaysia akan menjadi negara keempat terpantas mengalami proses penuaan dalam tempoh 2008 hingga 2040 selepas Singapura, Colombia dan India. Memandangkan pertambahan angka yang begitu pesat, tanggungan warga yang lebih muda termasuk kalangan ahli keluarga, golongan pemerintah/kerajaan pada masa akan datang menjadi semakin mencabar. Pertambahan yang pesat ini dikaitkan dengan faktor, seperti penambahbaikan teknologi perubatan, peningkatan kesedaran penjagaan kesihatan dan pengurangan kadar kesuburan.

Selain kes pengabaian, kemiskinan juga merupakan isu sinonim dengan warga emas. Mengikut data yang diperoleh oleh Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia pada 2004, purata  pendapatan bulanan populasi masyarakat berumur 55 tahun ke atas ialah RM300. Yayasan Basmi Kemiskinan pada 2007 menetapkan isi rumah dengan pendapatan RM660 ke bawah diklasifikasikan sebagai miskin tegar. Lebih serius, kumpulan ini juga terjerat dengan masalah kemurungan. Beberapa pengamal perubatan dalam artikel yang bertajuk “Depression Among The Elderly Malays Living in Rural Malaysia” menemukan bahawa warga tua Melayu yang memperoleh pendapatan bulanan yang kurang daripada RM600 mengalami tahap kemurungan yang agak serius.

Di Malaysia, tiada satu peruntukan undang-undang mendefinisikan warga tua. Namun, umumnya umur adalah penanda aras menentukan kelompok ini. Malaysia mempraktikkan formula 60 tahun sebagai usia paling minimum warga tua dengan menetapkannya dalam Polisi Warga Tua Kebangsaan. Ketetapan ini juga umumnya diterima dan diguna pakai dalam tulisan para akademik ataupun pihak berkaitan melalui kertas kerja, forum dan laporan penyelidikan.

Presiden Majlis Kebangsaan bagi Organisasi Warga Tua Malaysia (NASCOM), Datuk Lum Kin Tuck mengakui hakikat ini dengan menegaskan kebanyakan warga bandar contohnya, terpaksa bertungkus lumus bagi menampung keperluan kewangan keluarga masing-masing. Dengan itu, warga tua kemudiannya diabaikan dan kemudian mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada pusat kebajikan atau institusi perlindungan. Peruntukan undang-undang tentang hal ehwal kewangan warga tua secara langsung atau tidak langsung akan diperhalusi contohnya, Akta  Kerja 1955, Akta Wang Simpanan Pekerja 1991, dan juga kemungkinan mewujudkan akta baharu yang lebih tegas bagi memastikan kebajikan kewangan warga tua lebih terjamin.

Walaupun kestabilan kewangan semata-mata tidak semestinya menjamin kestabilan emosi seorang individu, terutamanya warga tua, paling tidak warga tua masih boleh berdikari dan yang paling penting keperluan asas mereka, seperti perubatan, makanan, tempat tinggal akan lebih terbela tanpa mengharapkan bantuan pihak lain. Kesannya kehidupan sosial mereka juga akan menjadi lebih berkualiti.

Persaraan memberikan kesan langsung dalam kehidupan individu kerana sumber pendapatan akan terjejas sementelah di Malaysia umur persaraan wajib umumnya pada usia seawal 58 tahun (walaupun terdapat cadangan untuk menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun) jika dibandingkan dengan Singapura, Korea dan Jepun yang menetapkan had umur persaraan wajib adalah usia 60 dan ke atas. Tumpuan akan diberikan kepada pesara dari sektor swasta kerana umumnya kedudukan kewangan para pesara kerajaan lebih stabil terutamanya kerana skim persaraan dan insentif kos rawatan.

Isu lain yang bersangkutan dengan persaraan pastinya kehilangan sumber kewangan tetap. Pesara yang terdiri daripada golongan warga tua terutamanya yang memegang jawatan di sektor swasta akan bergantung kepada wang tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Persaraan yang bermula umumnya pada usia 55 tahun menyebabkan dana ini akan dimanfaatkan terlalu awal sedangkan beban kewangan individu pada umur sebegini masih tinggi kerana faktor seperti tanggungan yang masih belajar kerana aspek lambat berkahwin dan juga pemanjangan tempoh hayat individu. Statistik daripada KWSP pada 2009 menunjukkan lebih daripada 70 peratus daripada pencarum akan menggunakan sepenuhnya dana tersebut dalam tempoh tiga tahun selepas pengeluaran.

Seksyen 54 (1) Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta KWSP 1991) membenarkan pengeluaran caruman secara keseluruhan tanpa ada had maksimum apabila usia pencarum mencecah 55 tahun. Fakta ini seterusnya menjadi satu asas untuk menyatakan pesara akan mengalami masalah kewangan dalam meneruskan kelangsungan kehidupan selepas persaraan. Walaupun diakui bahawa bukanlah hak penggubal undang-undang untuk membatasi atau menetapkan cara penggunaan dana oleh pencarum selepas pengeluaran, namun paling tidak mereka perlu memikirkan mekanisme untuk memaksimumkan dana ini sebagai simpanan di hari tua selari dengan matlamat asal pengenalan KWSP. Akaun dua caruman KWSP contohnya boleh dikeluarkan oleh pencarum sebelum usia 55 tahun bagi tujuan pendidikan, pembelian rumah dan pelaburan. Hal ini sudah tentu mengurangkan lagi jumlah dana tersebut.

Analisis laporan tahunan KWSP pada 2008 menyatakan sekitar 90 peratus pencarum aktif mempunyai kurang daripada RM100 ribu dalam akaun KWSP mereka. Beberapa aspek boleh difikirkan secara serius contohnya, mengenakan had maksimum pengeluaran pada usia 55 tahun supaya jumlah wang yang berbaki sekurang-kurangnya boleh digandakan dengan keuntungan yang lebih terjamin, Selain itu, aspek insurans perubatan juga boleh dimasukkan dalam dana dengan menetapkan sejumlah caruman ke akaun lain khusus untuk skim ini. Lumrahnya, tahap kesihatan akan berkurang dengan pertambahan usia dan penggunaan wang bagi tujuan ini sudah tentu tidak dapat dielakkan. Akta KWSP 1991 juga perlu mengambil kira keperluan kewangan tanggungan pencarum. Bagi pencarum bukan Islam, mereka boleh menamakan sesiapa jua sebagai penama dan kesannya penama ini akan berhak kepada keseluruhan wang tersebut dan akan menidakkan hak pewaris sah selepas kematian pencarum. Implikasi undang-undang ini berlaku hasil daripada perlaksanaan Peraturan 6 dan 7 Peraturan KWSP 1991.

Oleh itu perlu ada satu peruntukan undang-undang khusus  bagi membenarkan pewaris sah memohon agar penamaan tersebut diteliti semula oleh mahkamah dan membenarkan hak mereka ke atas wang tersebut. Amat malang sekiranya seorang warga emas lelaki atau wanita dinafikan haknya oleh pasangan (pencarum) yang tidak bertanggungjawab. Mereka akan kehilangan salah satu sumber kewangan terutamanya bagi pasangan yang tidak pernah bekerja dan bergantung harap kepada pasangan sepenuhnya. Bagi pencarum yang beragama Islam, penama hanya diberikan tanggungjawab untuk memastikan wang tersebut dibahagikan kepada pewaris-pewaris yang sah mengikut kaedah faraid, bukannya menjadi hak mutlak penama.

Skim pencen juga merupakan antara sumber kewangan golongan warga tua, namun skim ini hanya terhad dinikmati oleh penjawat awam atau segelintir kecil pekerja sektor swasta kerana terlalu sedikit majikan di sektor swasta yang menawarkan skim ini. Sekumpulan warga tua yang berkelayakan pula mendapat bantuan kewangan daripada pihak berwajib, seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat. Walau bagaimanapun, jumlah maksimum RM300 sebulan adalah terlalu kecil dengan pertambahan kos hidup masa kini. Selain itu, bebanan kewangan umumnya terletak pada bahu ahli keluarga terdekat terutamanya anak yang dewasa. Namun, masalah timbul apabila anak ini tidak mampu atau enggan bertanggungjawab terhadap ibu bapa warga emas. Perlukah difikirkan suatu undang-undang bertulis untuk memastikan anak-anak ini bertanggungjawab kepada ibu bapa mereka atau adakah mekanisme lain bagi tujuan yang sama.

Parlimen Singapura contohnya, telah meluluskan satu set undang-undang khas untuk menangani isu ini, iaitu Akta Saraan Ibu bapa yang berkuat kuasa pada 1 Jun 1996. Penggubalan akta ini tidak sunyi dengan kritikan pedas yang tidak merestui kewujudannya dengan alasan, undang-undang bukanlah cara terbaik mengatasi isu kekeluargaan sebegini. Namun, akhirnya masyarakat mula akur dengan keberkesanannya, bahkan direkodkan jumlah kes yang dirujuk hasil perlaksanaan akta ini meningkat saban tahun. Antara lain, akta ini membenarkan ibu bapa berumur 60 tahun ke atas yang tidak mampu menyara diri sendiri untuk memfailkan permohonan ke muka pengadilan bagi mengeluarkan perintah saraan kepada anak atau anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, satu tribunal berasingan akan diwujudkan bagi membicarakan kes ini. Lebih tegas, seksyen  15 (1) akta ini menetapkan kegagalan mematuhi perintah panel tribunal dikelaskan sebagai kesalahan jenayah yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan ataupun denda $5,000.

Di Malaysia, cadangan mewujudkan akta sebegini telah sering kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak, seperti ahli politik, organisasi bukan kerajaan, pengamal undang-undang dan juga ahli gerontologi. Namun, hingga kini masih tidak terlaksana. Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan idea ini, memandangkan rakyat Malaysia masih kuat pegangan timurnya yang menjunjung konsep menghormati dan mentaati ibu bapa. Menurut Lum lagi, kehadiran akta sebegini mengundang persepsi bahawa masyarakat Malaysia kini terdiri daripada golongan generasi muda yang tidak mengenang budi. Walau bagaimanapun ada yang membidas dengan menyatakan bahawa akta ini akan memastikan tanggungjawab anak-anak tidak sewenang-wenang beralih kepada pihak berkuasa dan undang-undang perlu dilihat sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah ini.

Undang-undang sebenarnya hanyalah satu mekanisme yang boleh membantu ibu bapa warga tua dibenarkan hak mereka bukannya penyelesai mutlak. Titik penyelesaiannya masih di atas pundak anak-anak dan saudara terdekat kepada warga emas terbabit. Rakyat Malaysia amat terkenal dengan budi pekerti yang mulia. Yang berakar umbi daripada pegangan agama dan budaya murni masing-masing. Sebagai orang Islam contohnya, berbuat baik kepada ibu bapa telah diperintahkan Allah dan disebut berulang kali dalam al-Quran, seperti melalui ayat  83, surah al-Baqarah, ayat 36, surah an-Nisa’ dan ayat 151, surah al-An’am. Bahkan ayat 215, surah al-Baqarah menyatakan bahawa harta individu mestilah dibelanjakan kepada ibu bapa. Jelas sekali melalui ayat ini ajaran Islam menetapkan ibu bapa adalah tanggungjawab mutlak anak-anak.

Jika pun benar kita memerlukan satu bentuk undang-undang bertulis bagi tujuan ini, satu kajian teliti perlu dilakukan oleh pihak berkenaan bagi menjamin keberkesanannya antaranya termasuklah pelantikan panel khusus membicarakan kes-kes kekeluargaan ini, latihan dan kemahiran kepada pihak berkenaan, kesedaran awam terhadap akta ini atau melalui mekanisme penguatkuasaan undang-undang.

Tiada satu pun peruntukan undang-undang secara langsung yang bertujuan memastikan penerusan dan jaminan kewangan warga tua. Walau bagaimanapun, masih ada mekanisme yang bertindak secara tidak langsung bagi tujuan yang sama. Namun begitu, langkah kerajaan memperkenalkan Skim Persaraan 1Malaysia dengan memberikan peluang dan menggalakkan kumpulan pekerja dalam dalam kategori ini  menjadi pencarum KWSP amat wajar dipuji. Idea yang lebih bernas pada masa akan datang juga mesti difikirkan bersama bagi manfaat rakyat Malaysia keseluruhannya. Tentang had umur persaraan, suatu undang-undang perlu disegerakan. Majikan di sektor swasta mesti diwajibkan menyediakan satu klausa jelas tentang umur persaraan dalam kontrak pekerjaan. Penyelarasan jumlah wang bantuan bagi penerima warga tua yang layak juga perlu disegerakan. Walaupun sekali lagi isu kewangan bukanlah jaminan kebahagiaan warga emas, namun hal ini perlu dititik beratkan kerana sumber kewangan adalah terlalu signifikan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Bantuan dan sokongan lain, seperti dari aspek emosi, kemudahan perubatan, jagaan profesional dan khidmat nasihat undang-undang perlu juga diambil berat bagi mencapai keseimbangan kehidupan kumpulan warga emas Malaysia keseluruhannya.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.