Oleh Amirul Afif Muhamat

Golongan yang berpendapatan rendah sering menjadikan kedai pajak sebagai talian hayat mereka yang terakhir bagi mendapatkan pinjaman segera untuk keperluan kewangan mereka selepas permohonan pinjaman mereka ditolak oleh institusi kewangan dan koperasi. Berbanding dengan institusi kewangan yang bersandarkan kepada 5Cs, iaitu collateral atau cagaran, capacity atau keupayaan membayar hutang, character atau perwatakan peminjam, condition atau syarat pinjaman dan capital atau modal sedia ada sebelum memberi pinjaman, kedai pajak hanya memerlukan barang kemas sebagai cagaran atau collateral sebelum membayar pemajak sejumlah wang bagi bayaran barang kemas yang dipajak itu.

Isu yang timbul ialah kesamaran transaksi yang berlaku apabila kedai pajak konvensional bebas menentukan harga barang kemas tersebut tanpa menyemak pasaran emas semasa walau pun pemajak boleh melakukan tawar-menawar dalam menentukan nilai pinjaman yang ingin diminta. Kedai pajak konvensional akan memberikan pinjaman bersandarkan kadar faedah ke atas jumlah pinjaman yang diberi. Dari segi gadaian Islam, wang akan diberi berdasarkan peratusan daripada nilai barang kemas yang dipajak, sebagai contoh 65 peratus dan pemajak hanya perlu membayar upah simpanan dan nilai untuk penebusan barang pajakan tadi. Sekiranya gagal ditebus, maka notis akan diberikan untuk pelelongan barang kemas tersebut dan lebihan daripada jumlah lelongan akan dipulangkan kepada pemajak setelah ditolak upah simpanan, nilai tebusan dan kos lelongan, yang mana tidak wujud dalam sistem gadaian konvensional.

Skim pajak gadai berasaskan konsep Islam atau Ar-Rahnu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini merentasi sempadan agama dan etnik. Satu kajian yang dijalankan oleh penulis di sekitar Lembah Kelang bagi menilai respons masyarakat bukan Islam terhadap perkhidmatan Ar-Rahnu amatlah memberangsangkan. Kajian yang sengaja disasarkan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini adalah bagi meninjau pendapat dan pengalaman mereka semasa berurusan dengan skim pajak gadai Islam ini. Majoriti mereka menyatakan yang Ar-Rahnu benar-benar berbeza daripada skim gadaian konvensional yang berasaskan pada kadar faedah. Mereka memajakkan barang kemas mereka di kedai pajak Islam kerana faktor jaminan keselamatan, kos pinjaman dan ciri perkhidmatan Ar-Rahnu itu sendiri.

Jaminan keselamatan bermakna pemajak akan mendapat kembali barang pajakan mereka yang asal tanpa sebarang kesan kikisan pada barang kemas yang boleh menurunkan nilai emas tersebut kerana terdapat kes berlakunya perubahan struktur fizikal emas akibat dikikis oleh pemilik kedai pajak. Selain itu, perlindungan Takaful ke atas kedai pajak Islam memberikan keyakinan yang mereka tidak akan berputih mata sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Pemajak yang ditemubual juga menyatakan kos pinjaman yang rendah dan jelas nilai pinjamannya memudahkan mereka merancang masa penebusan barang kemas mereka. Di samping itu, ciri-ciri unik yang ada pada skim Ar-Rahnu seperti jadual bayaran pinjaman, proses pelelongan yang teratur dan adil serta tiadanya kadar faedah yang membebankan merupakan faktor penolak kepada penerimaan skim Ar-Rahnu walaupun pemajak bukan beragama Islam.

Secara umumnya, konsep muamalat Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini. Perlunya penyedia perkhidmatan kewangan Islam bersikap innovatif dan kreatif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan Islam yang berbeza daripada pesaing konvensionalnya amatlah ditagih, agar masyarakat umum dapat merasai dan menilai kebaikan sistem kewangan Islam itu sendiri.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.