“Hak masyarakat seharusnya mengatasi hak individu”. Demikian kenyataan asas yang dipegang oleh penduduk Asia Timur apabila bercakap tentang soal kebebasan hak dalam hidup bermasyarakat. Ibnu Khaldun, dalam kitabnya, Muqadimmah, menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh membuat sesuatu perkara dengan sesuka hati sehingga mengganggu-gugat kesejahteraan hidup masyarakat di sekelilingnya.

Hal ini jauh berbeza daripada norma hidup masyarakat Barat mahupun Eropah. Dalam konteks tertentu, masyarakat di sana mengakui bahawa hak individu kadangkala mengatasi hak masyarakat. Segelintir individu tidak kisah jika sesuatu norma itu bercanggah dengan gaya hidup masyarakatnya kerana sebagai sebuah negara demokrasi, mereka bebas melakukan apa-apa perkara yang diingini.

Baru-baru ini, berlaku dua kes yang secara langsung berhubung-kait dengan konflik antara hak masyarakat dengan hak individu. Kes pertama merujuk Program Seksualiti Merdeka 2011yang berlangsung pada 2 hingga 13 November 2011, di The Annexe Gallery, Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, program ini berteraskan perjuangan hak asasi yang menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Golongan ini memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup yang dipilih. Lantas, golongan LGBT ini tidak lagi teraga-kagak untuk mengiklankan, memperjuangkan, dan menganjurkan programnya secara terbuka.

Kes kedua pula merujuk perjuangan sebuah badan bukan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) yang menentang pemansuhan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris. Mereka menggesa kerajaan memberikan pilihan kepada sekolah, sama ada mahu meneruskan PPSMI ataupun tidak. Mereka mendakwa PPSMI berjaya meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Jika ditelusuri, sebenarnya kedua-dua kes ini melibatkan dua kelompok yang mahu memperjuangkan hak masing-masing mengatasi hak dan sensitiviti masyarakat. Bagi kedua-dua kelompok ini, sebagai sebuah negara demokrasi seperti di Barat dan Eropah, mereka berhak menyuarakan apa-apa sahaja yang difikirkan betul.

Dalam konteks kes pertama, tentu sahaja memperjuangkan hak golongan LGBT mencabar kelaziman norma rakyat Malaysia, bahkan tidak selari dengan ajaran agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi di negara ini. Walau apa-apa juga alasan yang diberikan penganjur, Malaysia sebenarnya bukan pentas untuk memperjuangkan hak peribadi golongan LGBT yang bertembung terus dengan hak masyarakat Malaysia yang masih berpegang pada keluhuran dan kesusilaan hidup.

Begitu juga dengan kes kedua. Keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI tentu sahaja berdasarkan kepentingan masyarakat dan bukannya hanya mengambil kira pandangan segelintir pihak. Semua ini bertitik tolak daripada pelbagai kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak, misalnya kajian oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional pada 2007-2008, kajian pertubuhan Trends in International Mathematic and Science Study pada 2007, kajian penyelidik Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2007- 2008, mahupun kajian yang dibuat sendiri oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Semua kajian itu jelas menunjukkan bahawa perlaksanaan PPSMI banyak membawa kesan negatif kepada guru dan pelajar. Menurut KPM, hasil kajian KPM mendapati jurang pencapaian bagi mata pelajaran Sains dan Matematik antara pelajar bandar dengan luar bandar semakin ketara semasa PPSMI dilaksanakan. Menurut KPM lagi, kurang enam peratus daripada keseluruhan pelajar di negara ini yang memperoleh manfaat daripada PPSMI.

Jadi, apabila PAGE dengan lantang menggesa kerajaan membenarkan PPSMI diteruskan di sesetengah sekolah, hak siapakah sebenarnya yang diperjuangkan? Hak siapakah yang perlu didahulukan, hak mereka atau hak masyarakat? Adakah mereka tidak meneliti pelbagai kajian yang dibuat sebelum ini yang membuktikan PPSMI membawa implikasi negatif kepada masyarakat?

Dalam kedua-dua kes yang dinyatakan kerajaan sudah membuat keputusan; Program Seksualiti Merdeka 2011 dihentikan dan keputusan pemansuhan PPSMI adalah muktamad. Untuk berlaku adil, keputusan kerajaan tersebut perlu dilihat dalam konteks yang paling asas “Hak masyarakat seharusnya mengatasi hak individu”.

- Mohd. Shukri Mohd. Ariff

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.