Oleh MUHAMMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN dan FADLI AL-AKITI

PROFIL MICHAEL TEOH
Umur: 23 tahun.

Persatuan: Youth Entrepreneurs Malaysia.

Pencapaian Akademik
: Menerima Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dan Antarabangsa (Kepujian) di Universiti Teknology Auckland pada tahun 2008.

Anugerah:
- Pendebat Terbaik National Inter-College Debating Championships Malaysia 2006
- Pemenang Students In Free Enterprise (SIFE) Business Competition, New Zealand 2007
- 10 Pemenang Terbaik World’s Best SIFE Social Business Project, New York 2007
- Pemenang Students In Free Enterprise (SIFE) Business Competition, New Zealand 2008
- Pemenang Deloitte Business Consulting Challenge, New Zealand 2008
- 7 Peserta Akhir Asian Youth Ambassadors Malaysia Most Outstanding Youth Awards 2008
- Pemenang Consumer Choice Award for Best Technology Product anjuran Microsoft Imagine Cup, New Zealand 2008
- Anugerah Honda Dream for Outstanding Achiever 2010

Kegiatan:
- Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar INTI International College, Pulau Pinang (2006)
- Peserta (wakil New Zealand) Harvard Business Conference (2008)
- Peserta (wakil Malaysia) Stanford Summit, Universiti Stanford (April 2010)
- Ahli Panel Forum Media Baharu One Young World, London (Februari 2010)
- Diwawancara oleh CNN, BBC World dan Reuters untuk penglibatan dalam pembangunan belia (2010)

Hobi: Menganjurkan projek dan memberi rundingan pembangunan belia.

Buku Kegemaran
: My Story: An Autobiography oleh Lim Goh Tong.

DM: Apakah pandangan saudara apabila kerajaan sekarang memberi peluang kepada golongan belia untuk menyuarakan pendapat mereka?

Michael: Peluang ini merupakan satu percubaan yang baik kerana kerajaan kita telah membuka ruang untuk golongan belia bersuara dan pendapat mereka diberi perhatian yang sewajarnya. Kumpulan belia adalah sumber maklumat utama kerajaan yang perlu diberi perhatian.

Kerajaan banyak mencipta dasar, projek atau program untuk membantu golongan belia. Mereka (kerajaan) sepatutnya memberi kami sedikit ruang supaya idea dan maklumbalas belia dapat dikongsi bersama. Berikan kami landasan yang betul dan pastikan juga apabila kerajaan mahu membetulkan dasar, suara kami diambil kira dalam dasar tersebut.

Kami tidak tahu siapa yang terlibat dan bagaimana proses menggubalan dasar itu dibuat, kerana hal ini merupakan rahsia kerajaan. Kami berharap agar orang utama yang membuat keputusan dasar akan meletakkan idea kami di minda mereka ketika dasar itu hendak digubal. Maka apabila dasar itu dilaksanakan, hal ini akan membantu kami secara langsung.

Khairun sendiri pernah menyatakan, apabila kerajaan membina dasar, kesan pelaksanaannya tertumpu pada golongan muda pada masa akan datang, dan bukan kepada mereka yang ada pada masa sekarang. Jika kerajaan mengharapkan pengiktirafan kami, mereka sepatutnya mendengar suara hati kami. Dasar yang digubal itu adalah dasar yang akan ditempuh oleh golongan muda dalam masa 20 tahun yang akan datang. Mereka (penggubal dasar) pula mungkin masih hidup dan mungkin tidak. Oleh itu mereka sepatutnya memberi perhatian dan mendengar suara dan idea golongan belia kerana suara inilah sebenarnya yang boleh diguna pakai dalam program mereka. Kerajaan seharusnya melakukan transformasi ini.

Kerajaan juga perlu memperincikan bagaimana mereka hendak melaksanakan idea yang didapati daripada golongan belia ini. Dan mereka perlu mengaku yang idea ini adalah daripada golongan belia. Jika suara golongan belia ini digunapakai, inilah yang dipanggil kekuatan suara golongan belia. Idea yang disalurkan akhirnya diiktiraf dan dijadikan realiti. Hilanglah sikap mengeneralisasi golongan belia sebagai hilang moral dan seumpamanya.

Khairun: Perkara yang penting sekali, dalam perundingan untuk membuat satu-satu keputusan dasar, kerajaan perlu melibatkan golongan yang menghadapi impak terhadap dasar yang hendak dikenalkan. Impak yang selalu tidak diendahkan ialah golongan muda. Apabila kami dilibatkan, kami akan lebih memahami dasar kerajaan yang sebenarnya. Setiap belia yang dipilih pun mempunyai kebolehan dan latar belakang yang berbeza, jadi pemilihan wakil belia juga perlu diambil kira. Kita kena berhati-hati juga tentang umurnya. Saya curiga jika wakil belia berumur 25 tahun ke atas. Memang kelihatan agak lucu. Bolehkah wakil itu berhubung dengan golongan belia yang berumur sekitar 15-24 tahun?

Michael: Saya setuju dengan pandangan Khairun. Apabila kita melihat “wakil” belia kita sekarang, jarak usia mereka terlalu jauh. Pengalaman mereka berbeza kerana mereka membesar dalam era yang berbeza. Sekarang golongan belia menggunakan laman sosial Facebook untuk berkomunikasi dan untuk mengerakkan jentera perubahan. Sedangkan zaman dahulu, orang berkomunikasi dengan menulis surat, menonton televisyen, dan mendengar radio.

Saya rasa pihak kerajaan, korporat, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu mendengar dan memahami bahawa pada peringkat usia ini, iaitu apabila teknologi bergerak pantas, kadangkala ada baiknya kita mempunyai seorang ketua yang lebih muda dalam kalangan belia untuk sama-sama menyelesaikan sesuatu ataupun membuat keputusan.

DM: Apakah perbezaan para belia di Malaysia berbanding dengan belia dari luar negara?

Michael: Pada pendapat saya, golongan belia di negara kita ada tiga kelebihan. Pertama, kita amat menghargai budaya orang lain. Semasa saya melanjutkan pelajaran di luar negara, orang luar negara tidak faham dengan budaya yang asing dengan mereka. Di Malaysia, apabila pelbagai bangsa telah bercampur dan menjadi rojak, kita lebih menghargai budaya orang lain. Malah kita akan lebih memahami dan bertoleransi dengan idea dan pandangan orang lain. Hal ini adalah kerana kita sudah membiasakan diri untuk hidup dalam harmoni. Walaupun dalam suasana berbilang bangsa, berlainan kumpulan, namun sikap hormat menghormati antara satu dengan lain sudah ditanamkan dalam jati diri kita.

Kedua, golongan belia kita sebenarnya mempunyai suatu imej yang istimewa di mata dunia. Sewaktu saya menyertai One Young World di London, saya menggalas beg berlogo Satu Malaysia. Tiba-tiba ada seorang peserta dari Norway dan Australia bertanya kepada saya, “Ini bendera Malaysia yang baru?” Saya jawab bukan, ini adalah satu slogan mesej daripada kerajaan untuk mempromosikan bahawa masyarakat Malaysia bersatu walaupun kami terdiri daripada pelbagai bangsa. Tetapi soalan mereka agak memeranjatkan. Mereka menyoal: “Kami ingatkan masyarakat Malaysia memang sudah terkenal dengan amalan bersatu padu, mengapa kerajaan perlu berkempen untuk bersatu padu lagi?” Dari mata mereka, Malaysia sudah terkenal dengan sikap bersatu padu. Kita dikenali dan dihormati kerana sikap kita yang terbuka ini.

Ketiga, kita juga mempunyai nilai positif yang kita sendiri tidak sedar. Saya berpeluang ke Stamford dan Harvard dan saya dapati orang Barat sangat proaktif dan agresif, suka tinggikan suara apabila memberikan pendapat. Jika kita pergi ke aspek budaya, masyarakat kita tidak suka apabila seseorang itu bersuara lantang atau bongkak. Orang barat tidak akan bersetuju, dan menyatakan kita tidak menghormati hak peribadi mereka. Tetapi di Malaysia kita ada budaya kita sendiri. Kita diingatkan supaya merendah-rendahkan diri, tidak mengagungkan kelebihan sendiri. Tetapi apabila diberikan peluang untuk berucap, kita boleh berucap dan berkongsi pengalaman dan ilmu seperti orang lain. Itulah nilai budaya masyarakat timur. Budaya timur ini dimanfaatkan oleh golongan belia kita supaya menjadi lebih terserlah dan berkelakuan lebih baik di mata dunia.

DM: Berapa berkesankah media baharu dalam membantu golongan belia berbanding dengan media perdana?

Michael: Kita selalu beranggapan bahawa golongan belia menggunakan teknologi alternatif untuk menyebarkan maklumat. Sebenarnya, media perdana sepatutnya berusaha dengan lebih kuat untuk mendampingi golongan belia. Golongan belia kekurangan platform di media perdana. Terjadi sebuah kes, apabila sekumpulan belia mendekati media perdana, tidak ada sebuah media pun yang mengendahkan mereka. Kalau ini berlaku, bagaimana hasil aktiviti mereka dapat sampai ke pengetahuan orang awam?

Satu lagi masalah ialah bagaimana media selalu menyiarkan sisi negatif para remaja. Media perlu mengambil langkah pertama untuk berubah. Apabila media ada pemikiran sebegitu, dan apabila mereka terfikir jalan yang baru, mereka akan membuka diri pada pelbagai idea dan tanggungjawab. Media boleh menyebarkan pelbagai pengetahuan berkenaan pelbagai individu dan komuniti serata dunia untuk membantu kita. Media perlu mengambil peranan utama untuk merakyatkan pelbagai tokoh remaja yang dapat membimbing remaja lain untuk berjaya seperti mereka.

Shobana: Saya sependapat dengan Michael, media sekarang terlalu melebihkan cerita sensasi daripada yang baik kerana mengejar keuntungan dan sudah terlalu biasa melakukannya. Oleh sebab itulah para belia memilih platform yang lebih sesuai bagi mereka untuk menyuarakan pendapat misalnya di beberapa laman sosial yang ada sekarang.

DM: Berapa terbukakah para menteri kita sekarang dalam menggunakan media baharu?

Michael: Saya percaya di Malaysia hal ini masih belum terbuka dengan meluas tetapi ada beberapa menteri yang sudah ada laman Facebook atau menggunakan YouTube, seperti Dato’ Saifuddin. Ada juga menteri yang menggunakan media baharu tanpa bersyarat macam Dato’ Seri Ong Tee Keat. Jadi mereka dapat menjalinkan perhubungan dengan golongan muda.

Tetapi jika anda tanya saya sejauhmanakah tahap keterbukaan itu berbanding dengan negara lain, tahapnya tiga daripada sepuluh. Pembuat keputusan di Malaysia masih mempertikaikan pengiktirafan kumpulan belia jika mereka mengambil idea daripada golongan belia, itulah masalahnya.

Masalah di Malaysia, para belia diangkat di tempat yang tidak sepatutnya dan kebanyakan daripada kami tidak boleh bersuara. Jika kami bersuara, mereka akan kata kami biadab. Tapi saya percaya tentu ada saluran yang betul untuk menyatukan pembuat keputusan dan golongan belia.

Cuma kami hendak beritahu kepada pihak kerajaan dan korporat, janganlah menyusahkan kami apabila kami hendak bertemu dengan anda. Kami hendak bertemu dengan mereka hanya untuk menyampaikan idea sahaja. Jangan biarkan kami melalui birokrasi. Kadang-kadang apabila mesej itu sampai, mesej itu pula dijual tanpa pengetahuan kami, kadangkala tidak sampai langsung ke tempat yang dituju. Seperti yang saya katakan tadi, golongan muda sebenarnya ingin menyampaikan idea, dan bersedia untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara. Jadi tolong jangan susahkan hidup kami. Bagi kami, sekirannya kami dapat berkongsi pendapat dan berbual-bual di Facebook pun, hal ini sudah memadai.

DM: Mungkin golongan belia kurang didekati kerana mereka dikecam sebagai suka mengadu sahaja.

Michael: Kami (saya, Shobana dan Khairun) yang mewakili golongan belia mungkin cuma satu peratus daripada populasi belia. Oleh sebab kami proaktif dan mahukan perubahan kepada negara, perkara ini yang kami lakukan. Kami tahu kerja ini bukan boleh bawa keuntungan pun, tetapi satu kerja yang baik untuk dilakukan.

Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan golongan belia memang pandai menghentam. Tetapi kita perlu melihat semula mengapa mereka suka mengadu. Apabila ditanya mengapa mereka tidak memikirkan idea atau cara penyelesaian yang boleh dicadangkan kepada kerajaan, mereka menjadi kabur. Maka tanggapan orang ramai secara menyeluruh ialah mereka hanya tahu mengadu. Hal ini berkaitan dengan tahap kebebasan yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak diberikan hak atau sebuah platform untuk melaksanakan idea-idea mereka. Dalam masa yang sama, mereka tidak didedahkan pada pengetahuan atau peluang untuk melakukan sesuatu.

Kita juga perlu merakyatkan Model Peranan dalam kalangan belia. Apabila golongan belia mengadu, kita tanya mereka, mengapa mereka tidak melihat Model Peranan yang diketengahkan oleh pihak media, kerajaan, korporat dan NGO? Jika mereka tahu wujudnya Model Peranan dan jika mereka mencari inspirasi daripada Model Peranan, kerja-kerja aktivisme ini akan menjadi lebih mudah. Mereka akan berfikir semula mengapakah mereka mengadu sedangkan mereka boleh menyumbang tenaga. Akhirnya nanti mereka akan turut serta dalam kumpulan ini dan akan dapat melakukan sesuatu.

Hal ini amat penting jika kita dapat mengetengahkan golongan muda ini sebagai Model Peranan. Kita ketengahkan projek yang berjaya dilaksanakan, Khairun melakukan kerja yang baik dengan alam sekitar dan Shobana pula dengan aktiviti perlindungan. Perkara ini sebenarnya tentang peranan yang kami lakukan. Jadi kami boleh mencipta personaliti untuk Model Peranan, cerita-cerita Model Peranan yang boleh dijadikan rujukan kepada golongan belia. Jadi mereka akan tahu, golongan belia tidak perlu mengadu sahaja. Kini mereka ada platform untuk menyumbangkan tenaga, idea dan konsep untuk sama-sama menbangunkan komuniti ini.

DM: Apakah usaha masa depan saudara untuk kumpulan belia?

Michael: Ada beberapa aspek yang boleh dinyatakan di sini. Aspek pertama ialah pendedahan. Maksud saya ialah pemberian latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam kerja aktivis. Mereka sebenarnya mempunyai semangat untuk melakukannya, cuma mereka tidak tahu caranya. Kita boleh mengadakan bengkel kerja untuk mengatur sesuatu, membuat aktiviti, mengurus projek, mempelajari cara berkomunikasi dan menggunakan teknologi baru bagi membantu proses kerja. Mereka juga perlu didedahkan dengan cerita kejayaan rakan-rakan terdahulu. Kemahiran inilah yang patut mereka belajar terlebih dahulu.

Aspek kedua, golongan belia juga ada idea tetapi tidak tahu melaksanakannya. Ada pula yang boleh melaksanakan aktiviti tetapi tidak ada idea. Dua kumpulan ini perlulah dibawa bersama untuk berbincang. Satu projek boleh dikongsi antara dua kumpulan ini agar aktiviti kerja boleh bergerak dengan lancar dan sempurna.

Aspek ketiga, sepertimana yang Khairun dan Shobana nyatakan: pengiktirafan. Saya rasa ada banyak projek yang telah dilakukan oleh golongan belia dan projek ini perlu diiktiraf supaya masyarakat dapat melihat wujudnya perubahan. Sementelahan, golongan belia ini akan berasa diri mereka lebih dihargai dan segala usaha mereka berjaya akhirnya. Pihak media perlu menyokong mereka dengan menyebarkan berita usaha dan kejayaan mereka kepada masyarakat. Sudah tentu hal ini akan meningkatkan lagi motivasi para belia untuk berusaha dalam bidang ini.

Perkara terakhir ialah kuasa persatuan. Bagi saya hal ini amat penting. Pengalaman saya secara peribadi ialah ketika saya ke parlimen untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bagi menyerahkan laporan kumpulan belia, One Young World. Ramai kumpulan belia yang kagum dengan detik ini. Mereka menyatakan setidak-tidaknya pemimpin nombor satu negara telah pun menerima laporan itu dan membacanya. Memang beliau membuka dan membaca laporan itu. Malah beliau bertanya kepada saya, apakah isu-isu yang penting dalam kalangan belia yang boleh beliau bantu sebagai Perdana Menteri. Jika saya tidak meminta rakan saya merakamkan gambar saya sedang menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri, sampai hari ini orang tidak akan tahu berlakunya detik bersejarah ini. Sekarang terpulanglah pada kuasa persatuan itu. Kita tahu, jika usaha persatuan itu sampai ke tangan orang yang berkuasa untuk membuat perubahan yang lebih besar, hal ini akan menarik perhatian dan minat golongan belia untuk lebih cenderung dan lebih aktif dalam menggerakkan jentera perubahan.

___

RENCANA BERKAITAN Belia Malaysia Bertaraf Dunia, Wawancara Shobana Nair, Wawancara Khairun Nisa, Perhimpunan Belia Sedunia.

VIDEO BERKAITAN Michael Teoh di One Young World.

Share

3 Maklum Balas

  1. Fatimah Komen:

    Tahniah Michael kerana mambawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

    Dihantar pada 14 Disember, 2010, 8:35 am

  2. Osman Komen:

    Hebat!

    Dihantar pada 14 Disember, 2010, 8:36 am

  3. Rozy Komen:

    Di mana nak jumpa Michael ni?

    Dihantar pada 14 Disember, 2010, 8:36 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.