Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Judul :13 Mei 1969 di Kuala Lumpur
Pengarang : Abdul Rahman Ibrahim
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2011
Harga : RM16.00 (142 Halaman)
Tahun : Cetakan Pertama 2011

Senario politik akhir-akhir ini amat membimbangkan dan banyak pihak berharap supaya titik hitam yang pernah menggegarkan negara ini pada 13 Mei 1969 tidak berulang. Sentimen perkauman yang dicanangkan segelintir ahli politik demi meraih sokongan politik sejak akhir-akhir ini membuktikan sesetengah pihak sanggup memperjudikan nasib bangsanya sendiri demi mengejar cita-cita peribadi.

Buku bertajuk 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur tulisan Abdul Rahman Ibrahim mengingatkan kembali detik cemas yang melanda Kuala Lumpur selepas Parti Perikatan yang ketika mewakili undi kaum Melayu gagal mendapat majoriti dua per tiga sehingga menyebabkan orang Melayu berasa bakal “dijajah” sekali lagi oleh kaum imigran yang dibawa masuk semasa pemerintahan British.

Dalam penerangan yang diperjelas oleh Abdul Rahman, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah itu. Antara lainnya adalah keadaan sosial pada masa itu yang lebih terarah kepada pembudayaan mengikut aliran masing-masing serta taraf ekonomi antara kaum yang cukup membimbangkan. Selain itu, kegagalan pihak pemerintah yang sering kali tunduk dan lebih suka mengambil pendekatan tolak-ansur menjadi faktor utama 13 Mei 1969 berlaku.

Ulasan yang dinyatakan oleh Abdul Rahman dengan mengambil contoh kajian serta fakta sejarah daripada penulis terdahulu cukup memberikan kesedaran dan keinsafan kepada semua pihak kerana jika tidak dijaga dengan rapi perpaduan yang terjalin sejak sekian lama ini, bakal terlerai sekali lagi.

Bau-bau isu perkauman yang berlaku pada masa ini sebenarnya mirip dengan apa-apa yang berlaku pada 1969. Banyak pihak sudah mula berani mempersoalkan secara terbuka Perlembagaan Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu. Selain itu, ada pula yang menjadikan isu kecil seperti buku Interlok, sekolah persendirian Cina, fakta sejarah, dan banyak lagi isu terdahulu dan semasa sebagai modal untuk menjulang api perkauman yang semakin menyala. Buku 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur ini sewajarnya dijadikan “kitab” yang wajib difahami sebaik-baik mungkin oleh semua pihak terutama golongan muda yang ketika ini semakin mudah dipengaruhi pihak yang tidak bertanggungjawab. Pengalaman yang berlaku di Kuala Lumpur terutama di Kampung Baru wajar dijadikan teladan yang cukup berguna.

Penulis juga mendedahkan bagaimana peranan media massa pada masa itu yang banyak mempengaruhi perilaku kaum yang terlibat. Misalnya akhbar berbahasa Cina tidak habis-habis membakar api perkauman sekali gus mengajak kaum Cina mempertikaikan dan menuntut hak mereka. Akhbar Melayu pula pada masa itu berperanan menjadi orang tengah yang turut sama memberikan penjelasan mengenai kedudukan orang Melayu di negara ini.

Hal ini bertambah kacau apabila fahaman komunis yang wujud selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu mula perlahan-lahan menjadi duri dalam daging dengan menggalakkan pergolakan yang berlaku antara kaum di negara ini.

Apa-apa pun, bagi mereka yang menyayangi keamanan yang terbina sejak sekian lama, buku ini adalah rentetan sejarah yang membantu semua pihak mengenali erti perpaduan dan keharmonian di negara bertuah ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat November 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.