Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

Judul : Ajaran Sesat
Pengarang : Abdulfatah Haron Ibrahim
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Tahun : Edisi Kelima 2010
Harga : RM15 (144 Halaman)

“Barang siapa yang murtad dalam kalangan kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” -Surah al-Baqarah 2:217

Surah di atas menerangkan betapa seriusnya kesan yang menimpa sesiapa yang cuba mencari agama selain Islam. Sekali terjebak, mereka bakal tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi. Itulah yang sering terjadi sejak dari dahulu apabila berbicara tentang isu ajaran sesat yang merosakkan akidah umat Islam.

Sejak zaman Khulafa’ Al- Rashidin, musuh-musuh Islam berusaha merosakkan Islam dari pelbagai sudut dan kaedah. Namun, tidak dapat dinafikan mereka berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam mengikuti langkah songsang mereka. Ajaran sesat ini berlanjutan dari satu generasi ke satu generasi dan merebak dari satu tempat ke satu tempat yang lain tanpa dapat disekat oleh pihak berkuasa sepenuhnya. Kini, ajaran sesat semakin menular dan mempengaruhi sebilangan masyarakat khususnya di Malaysia.

Terdapat pelbagai kategori ajaran sesat di negara ini, tetapi kategori yang diberikan penekanan oleh pengarangnya didapati melibatkan ajaran yang berlatarkan Tasawuf Wahdatul-Wujud dan Batiniyah. Semua ajaran sesat ini mungkin mempunyai perbezaan mahupun persamaan dengan ajaran sesat yang lain.

Usaha pengarang buku ini, Abdul fatah Haron Ibrahim sewajarnya diberikan pujian kerana sejak 1979 beliau mula membuat kajian berhubung dengan senario ajaran sesat yang terdapat di Malaysia. Dalam kajiannya, beliau cuba merumuskan bahawa ajaran sesat ini mempunyai perkaitan dengan ajaran Hamzah Fansuri dan gerakan al-Batiniyah yang pernah berkembang di Iran dan India pada abad ke-10 Masihi.

Buku ini cuba merungkaikan beberapa persoalan mengenai kewujudan ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam. Abdulfatah membahagikan penulisan buku ini kepada empat bahagian yang merangkumi Tasawuf, Batiniyah, Ajaran Sesat serta Kajian Kes.

Teori yang diketengahkan dibuat oleh Abdulfatah diharapkan dapat  dijadikan asas untuk mana-mana pihak membuat satu kajian yang lebih meluas berhubung dengan cara membanteras ajaran sesat.

Cabaran menangani ajaran sesat di negara ini begitu getir. Masih ada pihak yang bebas menyebarkan ajaran karut ini sewenang-wenangnya. Jadi, buku ini diharapkan mampu membawa kebaikan kepada orang Islam agar sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam yang satu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat November 2011.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.