WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.167.29.208' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.167.29.208','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Malaysia: Kesepaduan dalam Kepelbagaian','/?p=2263','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Zaheruddin Othman

Melihat raut wajah Muammar Gadaffi pada ketika saat akhir hayatnya sedikit sebanyak menelurkan rasa sebak. Bagaimanakah seorang pemimpin yang memerintah selama 42 tahun, akhirnya diperlakukan sebegitu rupa oleh rakyatnya sendiri. Terdapat pelbagai pandangan yang dilontarkan oleh orang ramai mengenai perkara tersebut. Masing-masing mempunyai hujah sama ada menyokong atau sebaliknya terhadap tindakan tentera kerajaan sementara Libya yang memperlakukan bekas pemimpin utama negara mereka. Yang pasti, sebagai seorang pemimpin yang lama memerintah, Muammar Gadaffi telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri dalam suasana yang penuh tragis. Negara Libya sedang mengalami keruntuhan dari segi institusi negara dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Sementara itu, akhbar The Guardian yang berpangkalan di London versi dalam talian melaporkan setelah tiga hari Muammar Gadaffi dibunuh, mayat beliau masih belum dikebumikan sebaliknya diletakkan di tempat untuk dipertontonkan kepada orang ramai-satu tindakan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam pada itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur kerana dikurniakan Tuhan sebuah negara yang aman dan stabil. Biarpun penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, adat, agama dan budaya, kerukunan hidup masyarakat masih terpelihara sehingga kini. Namun begitu, biarpun peristiwa yang dialami oleh Muammar Gadaffi diharapkan tidak akan berlaku di Malaysia, masyarakat tidak harus menganggap perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negara ini tidak akan tergugat. Hal ini ditegur oleh Profesor Ulung Negara, Profesor Datuk Dr.Shamsul Amri Baharuddin dalam siri Syarahan Kepimpinan Profesor Ulung yang berlangsung di ibu negara beberapa hari sebelum Muammar Gadaffi dibunuh. Dalam syarahan tersebut, Shamsul Amri menyebut bahawa Malaysia sering digambarkan sebagai sebuah negara yang berpotensi berlakunya pertelingkahan etnik terutamanya oleh media asing. Akibatnya terdapat sebilangan penduduk di negara ini yang menggunakan perbezaan etnik sebagai pelantar ideologi untuk memperjuangkan kesukuan dan chauvanisme melalui keganasan. Hal ini jika tidak dipantau, dikhuatiri akan menggugat perpaduan dan keselamatan negara.

Kebimbangan Profesor Ulung Negara ini berpunca daripada kekeliruan banyak pihak dalam mengenali wajah sebenar masyarakat Malaysia. Menurut beliau lagi, di negara ini tidak wujud perpaduan dalam kepelbagaian sebagaimana yang difahami umum tetapi sebaliknya yang wujud ialah kesepaduan dalam kepelbagaian. Menggunakan imaginasi sosiologikal (sociological imagination) sebagai satu konsep besar mengamati masyarakat, beliau berhujah perpaduan dalam kepelbagaian yang diidamkan dan belum wujud itu berasaskan suatu matlamat akhir yang bersifat Utopia, yang tidak boleh dilaksanakan, iaitu unity is uniformity, atau ‘perpaduan’ – adalah kesamaan atau kesatuan – satu bangsa, satu agama, satu bahasa dan satu negara. Sebaliknya, seperti negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia, yang wujud dan terus-menerus dinikmati oleh sebilangan besar anggota masyarakat majmuk itu ialah “kesepaduan”. Kesepaduan merujuk suatu fenomena sosial yang dipacu oleh keinginan mendalam terhadap perpaduan yang seterusnya pula mempengaruhi para anggota masyarakat yang dianggap sebagai prasyarat untuk mencapai perpaduan tersebut. Himpunan usaha ini sering tanpa disedari telah membawa kepada keamanan, keharmonian dan kestabilan masyarakat biarpun masih belum mencapai perpaduan idaman.

Sepanjang lebih 30 tahun dalam dunia akademik,.Shamsul Amri telah membina dan melahirkan sekelompok “alat analisis” yang difikirkan dapat membantu memberikan gambaran wajah sebenar masyarakat Malaysia. Shamsul turut menegaskan bahawa, kini perpaduan di Malaysia berada pada peringkat “kerja dalam perkembangan”. Dengan mengambil kira keadaan konflik, keamanan dan kestabilan masyarakat dalam tiga era, iaitu era konflik (1945 – 1960), era stabil tapi tegang (1961-70) dan era kesepaduan sosial (1971 – 2011), Malaysia jika dibandingkan dengan Sri Lanka ternyata menikmati lebih banyak waktu dalam keadaan aman dan stabil. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada waktu ketiga-tiga era berlangsung Sri Lanka telah menghadapi konflik etnik berdarah yang mengorbankan lebih 150 ribu nyawa. Namun begitu, hal ini tidak bermakna Malaysia tidak berhadapan dengan sebarang konflik yang sesetengahnya meragut nyawa penduduk. Misalnya, pada masa penguasaan Bintang Tiga selama 14 hari sejurus tamatnya penaklukan Jepun yang menjejaskan hubungan antara kaum di Malaysia. Malah untuk beberapa ketika selepas itu, hubungan antara kaum Melayu dengan Cina terutamanya di Malaysia mengalami episod pasang-surut. Walau bagaimanapun, semua ini telah mematangkan masyarakat Malaysia. Hal ini dibuktikan dengan penubuhan beberapa jawatankuasa, parti politik dan badan tertentu yang menggabungkan pelbagai kaum dalam organisasi tertentu.

Sehubungan dengan hal itu, beliau menegaskan kunci kesepaduan sosial masyarakat Malaysia ialah kematangan rakyatnya. Selain daripada usaha oleh pihak berkuasa melalui gabungan keahlian pelbagai kaum dalam sesebuah organisasi, rakyat Malaysia jelas gembira dengan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen yang diamalkan. Buktinya, sejak Pilihan Raya Umum keempat pada 1974 (PRU4 1974) sehingga PRU12 2008, sebanyak sembilan kali pilihan raya telah diadakan namun tiada sebarang kekacauan besar berlaku. Tiada pihak yang kalah yang mencetuskan perbalahan walaupun melibatkan pilihan raya kecil yang diadakan secara berulang kali. Rakyat Malaysia bebas menyalurkan perasaan tidak puas hati mengenai sesuatu perkara melalui medium terkini seperti sistem mesej singkat (SMS), e-mel dan pelbagai saluran siber yang lain. Dalam suasana ini timbul satu pola yang jelas, iaitu rakyat Malaysia sangat suka bertikam lidah tetapi tidaklah sampai berbunuhan. Keterbukaan rakyat Malaysia ini hujah beliau lagi telah menimbulkan salah sangka besar pemerhati dari dalam dan luar negara.

Di bahagian akhir syarahan beliau telah mengingatkan supaya kesepaduan sosial di Malaysia diperkukuh. Hal ini dikatakan demikian kerana kesepaduan sosial di Malaysia telah terbina di atas lapisan jaringan hubungan yang rumit dan kompleks. Kesepaduan sosial masyarakat Malaysia sedia ada tidak boleh diambil seperti sesuatu yang alamiah dan tidak diambil peduli akan keadaan sebenarnya. Beliau menyarankan supaya rancangan jangka panjang diambil untuk mengukuh dan mengekalkan kesepaduan sosial yang wujud sekarang. Oleh itu tindakan menubuhkan jawatan kuasa pada ketika terjadinya masalah dalam masyarakat, haruslah digantikan dengan sistem pemantauan yang lebih kekal sifatnya. Sehubungan dengan hal itu, masanya untuk Malaysia memperkenalkan konsep pembangunan dan penyelidikan sosial, di samping pembangunan dan penyelidikan dalam bidang Sains dan Teknologi yang sedia ada sekarang.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.