WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.227.104.40' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.227.104.40','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Penjawat Awam Perlu Neutral','/?p=2260','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Muhammad Nizam Ab. Ghani

Konsep neutral berdasarkan perspektif sains ialah sesuatu bahan yang tidak bersifat alkali atau asid. Bahan yang dikatakan neutral ditentukan oleh ujian pH yang mempunyai skala 1 hingga 7 dan neutral terletak di tengah-tengah skala tersebut. Dalam konteks perkhidmatan awam, bersikap neutral, iaitu tidak memihak kepada sebarang fahaman politik dalam menjalankan tugas merupakan sifat yang wajib dimiliki setiap penjawat awam di Malaysia yang bilangannya pada masa ini mencecah seramai 1.2 juta orang.

Kecenderungan berpolitik merupakan salah satu fitrah dalam kehidupan manusia. Namun, penjawat awam perlu mempunyai nilai dan etika yang tersendiri dalam kamus kehidupan mereka. Tonggak utama etika penjawat awam diterangkan dengan jelas dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dalam perkara 4.(1), iaitu “Seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa dan setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP), negara dan kerajaan”. Hakikatnya, maksud falsafah ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan perkara yang wajar dihayati. Pertama, pelantikan setiap penjawat awam tanpa mengira skim dan gred adalah menerusi perkenan YDP Agong melalui penurunan kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Dengan keadaan sedemikian, maka setiap penjawat awam perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi termasuk ideologi politik yang mereka dambakan.

Dalam sistem birokrasi perkhidmatan awam yang berteraskan susunan hierarki sebagai mekanisme pengurusan awam, sesuatu tindakan yang diambil hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat terutamanya dalam soal pengurusan wang awam. Apabila timbul sesuatu isu yang mengakibatkan berlakunya konflik antara kepentingan perkhidmatan dengan peribadi, maka keutamaan kepada kepentingan negara perlu didahulukan.

Suasana politik mutakhir ini yang diwarnai dengan usaha menghidupkan demonstrasi jalanan dan kempen yang membakar api perkauman merupakan cabaran terhadap penjawat awam. Era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang serba canggih dan kepantasan maklumat yang tersebar hanya di hujung jari menyebabkan cara berfikir penjawat awam hari ini tidak seperti penjawat awam dekad terdahulu. Acuan pemikiran penjawat awam yang banyak dipengaruhi media sosial, seperti Facebook dan Twitter boleh menggelincirkan mereka ke arah menentang kerajaan sama ada secara senyap mahupun terang-terangan. Penjawat awam perlu memahami dengan jelas bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk melaksana dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Sebarang rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan perlu disalurkan melalui kaedah yang betul tanpa menimbulkan kritikan terbuka supaya tidak terzahir konflik dan pertentangan antara penjawat awam sebagai pelaksana sesuatu dasar dengan dasar yang diamalkan dalam perkhidmatan awam.

Keperluan bersikap neutral dalam kalangan penjawat awam merupakan cabaran yang kini melanda perkhidmatan awam Malaysia. Keputusan Pilihan raya Umum 2008 telah menyebabkan empat negeri dikuasai parti pembangkang, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Oleh itu para penjawat awam di empat buah negeri berkenaan perlu bertindak dengan bijak dalam menangani sesuatu isu yang melibatkan kepentingan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. Dalam hal ini juga pemikiran rasional perlu diterapkan dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan memandangkan sesuatu tindakan yang kelihatan dwistandard akan menimbulkan persepsi negatif terhadap imej perkhidmatan awam. Gesaan supaya penjawat awam tidak menunjukkan sebarang kecenderungan fahaman politik dalam melaksanakan tugas harian pernah disuarakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Menurut beliau, sebuah perkhidmatan awam yang neutral perlu melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah (government of the day). Pada masa yang sama, Mohd Sidek turut mengingatkan penjawat awam agar mempunyai fokus yang jelas dalam menjalankan tugas, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan tidak tunduk kepada tekanan ahli politik.

Dalam perkhidmatan awam Malaysia, terdapat beberapa senario yang menguji sikap neutral penjawat awam serta ketaatan mereka terhadap kerajaan yang memerintah pada sesuatu masa yang tertentu. Semasa Kelantan berjaya diperintah oleh parti PAS pada November 1990, wujud kesukaran dalam kalangan anggota perkhidmatan awam Kelantan yang sudah biasa dengan gaya pemerintahan parti Barisan Nasional untuk menerima corak pemerintahan PAS. Situasi tersebut menyebabkan kerajaan PAS berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan kerjasama sepenuhnya daripada pegawai tadbir negeri Kelantan yang sudah berpengalaman dalam selok-belok pentadbiran negeri. Dalam perkembangan lain, pada awal tahun 2011, negara telah digemparkan dengan isu pelantikan Dato Mohamed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor kerana wujud pertikaian antara kehendak Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa bahawa pelantikan Khusrin sebagai SUK Selangor tidak dirujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu, sedangkan pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor telah mempunyai senarai pegawai yang berpotensi untuk menduduki kerusi nombor satu perkhidmatan awam negeri Selangor. Isu hangat ini telah berjaya diredakan dengan ketetapan oleh Sultan Selangor yang berkenan menerima pelantikan Khusrin sebagai SUK Selangor menerusi istiadat angkat sumpah pada 6 Januari 2011.

Penjawat awam yang berperanan sebagai agen transformasi negara wajar memahami falsafah pelbagai “pantang larang” yang terkandung dalam Perintah Am dan Arahan Perbendaharaan yang sepatutnya sudah sebati dalam minda mereka terutama yang berkaitan hubungan penjawat awam dengan ahli politik dan penglibatan mereka sendiri dalam kegiatan politik. Oleh hal yang demikian, pendekatan kesederhanaan yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri mutakhir ini merupakan mekanisme yang sesuai untuk dipraktikkan oleh setiap penjawat awam. Elemen utama kesederhanaan ialah kepentingan bertindak secara rasional dan tidak taasub kepada sesuatu fahaman politik supaya amanah kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.