Oleh MUHAMMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN dan FADLI AL-AKITI

PROFIL KHAIRUN NISA
Umur: 24 tahun.

Persatuan: Malaysian Youth Climate Justice Network (MyCJN).

Pencapaian Akademik: Menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2009. Menerima Anugerah Siswi Harapan UiTM 2008, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pelajar Terbaik Perhubungan Awam 2009 serta Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media 2009.

Biasiswa/Anugerah:
- Pendebat Terbaik National Novice Debating Championships 2005
- Pendebat Terbaik Women’s Intervasity Debating Championships 2006
- Anugerah Bayer Young Enviromental 2006
- Anugerah Biasiswa Astro 2007
- Anugerah KLue Blue Chilli 2009
- Anugerah CLEO Young Achiever 2010

Kegiatan:
- Peserta (wakil Malaysia) di Global Youth Meet on Health, India (September 2006)
- Ahli Panel (wakil Asia Tenggara) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (September 2006)
- Aktivis Perubahan Iklam di British Council Youth Climate Leadership, Bogor, Indonesia (Oktober 2008)
- Peserta (wakil Malaysia) di 14th United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC), Poznan, Poland (Disember 2008)
- Ahli Panel Dialogue on Challenge for Climate Action: Is the Industry Really Serious anjuran DiGi, Pusat Konvensyen KLCC (Mac 2010)
- Ahli Panel Forum Filem Age of Stupid sempena Hari Bumi, Universiti Malaya (Mac 2010)
- Ahli Panel Youth Leaders Forum di Youth’10, PWTC, Kuala Lumpur (Mei 2010)
- Peserta PopIN PopOUT, Galeri Annexe, Kuala Lumpur (Jun 2010)

Hobi: Menonton filem, berlibur dengan kawan.

Buku Kegemaran
: The Plot to Save the Planet: How Visionary Entrepreneurs and Corporate Titans Are Creating Real Solutions to Global Warming oleh Brian Dumaine.

DM: Berapa lamakah saudari terlibat dalam aktiviti wacana antarabangsa?

Khairun: Saya telah lama menceburi bidang ini, umumnya tentang isu alam sekitar dan tumpuan tentang perubahan iklim. Masalah perubahan iklim ini baru timbul, dalam masa satu hingga dua tahun. Hal ini terjadi dengan agak terbuka, sebab sebelum ini kita hanya melihat masalah yang berlaku di sekeliling kita. Selama ini kebanyakan masalah di negara kita boleh diselesaikan sendiri, walaupun mengaitkan pihak antarabangsa, seperti fenomena jerebu.

Perubahan iklim juga berkaitan dengan perbuatan manusia. Misalnya, dalam masa lima hingga sepuluh tahun, beberapa buah negara akan mula mengendalikan sumber air bersih. Sesetengah negara seperti Bolivia, harga sebotol Coke mereka lebih murah daripada harga air bersih. Mereka menghadapi krisis air yang agak menakutkan di sana.

Sewaktu saya berada di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), satu isu telah ditimbulkan dalam kalangan belia di India. Akhbar mereka melaporkan salji tidak akan ada lagi di Gunung Everest dalam masa beberapa tahun lagi. Isu ini sangat membimbangkan kerana kawasan banjaran itu merupakan sumber air utama kepada sekitar 1.3 billion masyarakat di China dan India. Jikalau anda melihat isu kekurangan makanan, hal ini berkaitan dengan tahap kelaparan. Tetapi isu antara hidup dengan mati berkaitan dengan sumber air.

Apabila sesetengah masyarakat itu menanggung sendiri isu pencemaran, seperti yang berlaku di negara ini atas sebab permintaan para penduduknya, perkara ini agak merisaukan kami. Apabila saya kembali ke Malaysia, saya bertanya kepada diri saya, apakah masalah-masalah ini tidak disiarkan? Di Malaysia, masyarakat kita lebih banyak berdiam diri. Kita tahu masyarakat kita ada masalah, tetapi kita tidak mahu membangkitkannya. Itulah budaya kita.

Kini saya telah berumur 24 tahun. Apabila saya berumur 50 tahun pada 2050, mereka kata kita akan kehabisan minyak. Pendapatan Negara Kasar (GDP) Malaysia bergantung pada sumber minyak sekitar 60 peratus. Apakah yang akan terjadi pada saya pada masa itu? Saya membuat jangkaan andainya saya berumur 60 tahun dan bekalan minyak kita benar-benar sudah habis, di manakah kita akan memperoleh sumber kewangan untuk menampung tenaga di jalan raya, tenaga untuk sekolah-sekolah? Itulah sebabnya saya perlu melibatkan diri dan saya tidak akan biarkan orang lain membuat keputusan untuk saya jika saya sendiri tidak pasti apakah yang akan berlaku pada masa depan. Saya perlukan kepastian itu dan saya akan sebarkannya kepada para remaja, lihat, inilah masa depan kita, inilah hasil daripada mereka yang mengambil berat. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada 20 hingga 30 tahun lagi dan saya rasa kita patut berbuat sesuatu tentangnya.

DM: Apakah sebenarnya yang mendorong saudari melibatkan diri dalam wacana antarabangsa?

Khairun: Ibu saya berkerja dengan kanak-kanak istimewa. Beliau banyak membantu saya melihat budaya dan persekitaran yang menyumbang sesuatu untuk kebaikan orang lain. Apabila saya berusia 15 tahun, saya berpendapat yang saya sudah penat menyertai aktiviti perkelahan dan kitar semula. Saya nak lakukan sesuatu yang lebih mencabar. Saya mahu keluar, mencari dan membuat sesuatu. Saya mula melibatkan diri dengan Valley Raleigh International, mereka mengalu-alukan rakan baru. Saya berkelana di sebuah penempatan di Kuala Gula, Perak lebih kurang sebulan. Kami membantu penduduk di situ, membina infrastruktur untuk mereka dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

DM: Bagaimanakah tanggapan belia antarabangsa apabila melihat saudari mewakili Malaysia?

Khairun: Saya tidak boleh kata saya mewakili Malaysia. Saya boleh kata, cara di PBB, orang muda dan ahli perwakilan tidak berunding bersama-sama. PBB itu sendiri adalah sebuah firma rundingan. Kami (para belia) tidak boleh memberi apa-apa pun pandangan sewaktu rundingan. Cara lain yang boleh kami lakukan ialah dengan berkempen. Contohnya kami menghantar wakil kami untuk berucap pada pembukaan dan penutup suatu rundingan. Secara tidak langsung, kami sebenarnya menyumbangkan sesuatu. Kami diberikan satu hingga dua minit untuk berucap. Saya bersama-sama dengan lebih kurang 500 orang muda di seluruh dunia dan saya seorang sahaja dari Malaysia.

Kata kunci di sini ialah jumlah peserta yang ramai. Kumpulan peserta ini merupakan sekumpulan orang muda yang progresif dan tidak menjadikan umur mereka sebagai penghalang. Tidak berlaku amalan membeza-bezakan seorang individu berdasarkan negara dan budaya. Kami semua mesti mendengar pandangan daripada pelbagai sudut kerana kami sebenarnya berdebat perkara yang sama. Hal ini memerlukan kredibiliti. Kami sebenarnya mewakili generasi muda dunia.

DM: Apakah perbezaan para belia di Malaysia berbanding dengan belia dari luar negara?

Khairun: Kita perlu berjuang bagi menyedarkan golongan belia kita bahawa kita mampu berhadapan dengan masyarakat luar negara. Hal ini juga berkaitan dengan budaya kita. Saya rasa Malaysia adalah salah sebuah negara yang terbaik di dunia kerana sikap kita yang terbuka dan bertolak-ansur. Kita tidak biasa menggunakan keganasan atau pergaduhan untuk mencapai sesuatu.

Contohnya cara kita mendapatkan kemerdekaan dari Britain. Kita adalah negara pertama yang mendapat kebebasan dengan cara ini. Di rantau Asia juga kita berpegang pada sikap neutral dengan mana-mana pihak luar. Sememangnya hal ini merupakan budaya yang kita warisi dari dahulu lagi.

Masalahnya, secara politik, belia kita lebih cenderung mengamalkan sikap neutral terhadap pelbagai masalah di negara kita. Mereka lebih suka jika kita tidak banyak menyoal. Contohnya di universiti, ada beberapa perkara yang saya timbulkan tidak boleh diterima oleh rakan sekelas, tetapi apabila saya berada di platform antarabangsa, perkara yang saya timbulkan boleh diterima. Jika kita merasakan kita berada di landasan yang betul, dengan pengetahuan yang betul, teruskan saja. Jangan terapkan dalam pemikiran bahawa kita tidak dibenarkan bertanya.

DM: Apakah pandangan saudari apabila golongan belia digelar antikerajaan, kerana mereka sering memberi pendapat secara terbuka?

Khairun: Saya tidak rasa begitu. Saya tidak rasa kerana memberi pendapat kami dipanggil antikerajaan. Kerajaan kena faham yang kami tidak menentang mereka. Kami sebenarnya membantu dasar kerajaan, dan kerajaan sebenarnya memiliki dasar yang bagus. Tetapi dasar itu perlu dijalankan oleh siapa?

Kitalah yang dapat meneliti keberkesanan sesebuah dasar kerajaan kerana kitalah yang menerapkan dasar tersebut. Jika kerajaan tidak faham perkara yang mereka cuba sampaikan, hal ini akan menimbulkan masalah apabila hendak mengimplementasikan dasar tersebut. Contoh yang mudah seperti konsep Satu Malaysia.

Saya tidak boleh kata yang kita semua tidak ada tolak ansur. Sebenarnya kita bertolak ansur tetapi saya fikir konsep Satu Malaysia adalah idea tolak ansur dua hala. Orang Melayu mempunyai kelebihan dalam sistem kuota. Kami bukan menolak sistem kuota tetapi kami perlu memahami situasi dan cerita orang lain juga. Kami perlu tahu kisah kedua-duanya untuk membuat keputusan sama ada kami sokong atau tidak dasar kerajaan. Idea sama ada kami mencurigai atau mencabar dasar bukan bermakna kami menentang mereka. Cuma kami ingin tahu mengapa orang Melayu diutamakan, dan mengapa kerajaan membuat keputusan ini. Maka jika kami tidak setuju dengan keputusan ini, kerajaan perlu menanggung risikonya.

DM: Ertinya, saudari tidak menerima konsep Satu Malaysia?

Khairun: Bukanlah maksud saya tidak menerima konsep ini, tetapi oleh sebab saya membesar di Subang, jiran tetangga saya semuanya bukan sahaja Melayu. Semasa saya di sekolah rendah pun tidak ada orang yang kata saya Melayu. Mereka tahu saya Melayu tetapi tidaklah perlu dilaung-laungkan. Hanya apabila saya masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) barulah saya benar-benar faham tentang polarisasi kaum.

Saudara bertanya tadi apakah kelebihan Malaysia dan saya nyatakan sikap bertolak ansur. Orang kita mempunyai sikap tolak ansur yang sangat tinggi berbanding negara luar kerana negara lain mempunyai satu bangsa yang hegemoni. Jadi mereka agak susah untuk bertoleransi dengan kaum lain di dalam negara mereka sedangkan kami sudah biasa berteloransi, malah sebelum wujudnya konsep Satu Malaysia lagi.

DM: Bagaimanakah pula dengan tanggapan sesetengah orang bahawa para belia kita sedang mengalami masalah sosial yang parah?

Khairun: Saya pernah menghadiri sebuah persidangan beberapa minggu lalu, Forum Islam Sedunia. Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut hadir. Tun Musa Hitam bercakap berkenaan orang muda yang merempit, dan siapa yang patut terlibat membantu kerajaan membendung masalah ini.

Sebenarnya, bukan kami tidak mahu terlibat, cuma kami tidak bersetuju dengan sistem pengurusan mereka yang agak tradisional membendung masalah ini.

Apabila kita melihat di sekeliling, ramai golongan muda yang menjalankan perniagaan mereka sendiri. Tetapi tempoh hayatnya tidak tetap kerana golongan muda cepat fleksibel dan kerap bertukar haluan. Hal ini biasa kerana kami berada dalam tahap percubaan, kami mahu mencuba pelbagai perkara. Salah satunya ialah usahawan Internet. Sebenarnya, golongan mudalah yang sangat mengamalkan sikap individu dan berdikari. Jika mereka nampak ada satu ruang yang boleh mereka ceburi, mereka akan sertai dan berjuang untuknya.

Para remaja yang memilih untuk merempit sebenarnya tidak tahu ruang mana mereka boleh pergi. Mereka tidak dibimbing. Mereka tidak ada model untuk dijadikan contoh. Di sekolah, para pelajar sudah ditekan, hanya dengan kejayaan akademik yang boleh membawa mereka ke menara gading. Hal ini jugalah yang selalu disogokkan ke dalam pemikiran mereka. Tetapi sebenarnya ada kemahiran lain yang boleh diceburi olah para pelajar selain daripada kemahiran akademik. Tetapi sistem pendidikan kita yang berorientasikan peperiksaan tidak membenarkan mereka menunjukkan bakat yang terpendam. Saya tidak fikir hal ini adalah salah mereka semata-mata.

___

RENCANA BERKAITAN Belia Malaysia Bertaraf Dunia, Wawancara Shobana Nair, Wawancara Michael Teoh, Perhimpunan Belia Sedunia.

Share

2 Maklum Balas

  1. Nur Komen:

    Rencana yang baik.

    Dihantar pada 28 Oktober, 2010, 2:55 pm

  2. fatimah Komen:

    kagum dgn beliau!berani!kritis…first time rase kagum dgn pelajar uitm..yg xracist ni.. environmentally aware, have a big heart..n just amazing!keep up the good work..if u ever run for PM one day,i will gv my support!:)

    Dihantar pada 12 Mac, 2012, 9:18 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.