Penulis tertarik untuk memberikan reaksi terhadap Rencana Utama Dewan Masyarakat keluaran Januari 2010, bertajuk “Misi Penting Projek PERMATA Negara”. Penulis juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dewan Masyarakat kerana memberi maklumat yang jelas sekali mengenai PERMATA dan PERMATApintar.

Menurut fakta, kadar jenayah pada tahun 2003 telah meningkat kepada 156 315 kes berbanding 149 042 kes pada tahun sebelumnya. Seyogia, perkembangan ini dititikberatkan oleh seluruh rakyat. Peningkatan ini bukan sahaja mampu memberi dampak yang buruk kepada keselamatan negara, malah merencatkan aspirasi negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan kes jenayah kekerasan termasuk kes rogol dan mendatangkan kecederaan di daerah Padang Besar telah meningkat sebanyak 15 peratus dan kebanyakan individu yang terlibat dalam kes ini adalah juvenil. Sementelahan itu, akhbar yang sama pada 2 Disember 2009 pula melaporkan kadar jenayah melibatkan penipuan di Sarawak telah meningkat sebanyak 189 kes dengan kerugian sebanyak RM4 juta berbanding 168 kes pada tahun 2008. Dua fakta ini sedikit sebanyak menterjemahkan betapa pentingnya Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (PERMATA) dan PERMATApintar dilaksanakan.

Kita sedia maklum program ini dapat meningkat dan mengeksploit sepenuhnya kepakaran kanak-kanak pintar seperti Adi Putra Abdul Ghani dan Gloson Teh You Haeng. Sejarah telah mengajar betapa perlunya kita menggunakan kepakaran mereka untuk kemajuan negara agar mereka tidak terbiar begitu sahaja. Sebagai bukti, Mohd Shukri Hadafi yang dahulunya terkenal sebagai kanak-kanak pintar yang luar biasa kini hanya bekerja sebagai penebar roti canai. Alangkah ruginya!

Dalam nada yang berbeza, program ini mampu mengurangkan kadar jenayah di negara kita. Rencana Utama ini juga telah melaporkan lebih 100 ribu orang kanak-kanak di Chicago yang berusia tiga hingga empat tahun tidak terlibat dengan jenayah setelah menyertai National Assiosiation for the Edicational or Young Children (NAEYC) – satu program seperti PERMATA. 70 peratus daripada 1000 orang kanak-kanak yang tidak menyertainya pula terlibat dengan berbagai-bagai jenayah selepas berusia 18 tahun. Bukti ini menjelaskan kita bahawa melalui PERMATA, modal insan kelas pertama yang bermoral positif dapat dibentuk, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Secara tuntas, penulis mendukung sepenuhnya program PERMATA dan PERMATApintar demi kemapanan negara dan rakyat seluruhnya. Pengurangan kadar jenayah juga dapat mencapai hasrat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Sehubungan dengan itu, sektor korporat perlu menyumbangkan dana untuk program ini kerana perkembangan program tidak akan tercapai sekiranya pihak kerajaan sahaja yang berinisiatif melaksanakannya. Sokongan daripada pelbagai pihak amat dialu-alukan demi kelangsungan program tersebut.

Muhammad Mohamad Idris
Rompin, Pahang.

___

Surat Pembaca ialah ruangan khusus bagi pembaca memberikan pandangan tentang isu yang diperkatakan dalam Dewan Masyarakat bercetak dan dalam talian. Segera kirimkan pandangan anda kepada Editor Dewan Masyarakat dalam talian dengan menyertakan maklumat peribadi yang lengkap. Hantarkan kepada: fadhli@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.