Oleh MUHAMMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN dan FADLI AL-AKITI

PROFIL SHOBANA NAIR
Umur: 19 tahun.

Pencapaian Akademik: Sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Asasi Pengurusan di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Kegiatan:
- Peserta (wakil Malaysia) 1st Microsoft Innovative Students’ Forum, Kuala Lumpur (Mei 2009)
- Peserta (wakil TakingITglobal) Youth Engagement Summit, PICC Putrajaya (November 2009)
- Peserta One Young World, London (Februari 2010)
- Mentor 2nd Microsoft Innovative Students’ Forum, Singapura (Mac 2010)

Hobi: Membaca, mengembara dan menjelajah Internet.

Buku Kegemaran: Teusdays with Morrie oleh Mitch Albom.

DM: Apakah sebenarnya yang mendorong saudari melibatkan diri dalam wacana antarabangsa?

Shobana: Faktornya ialah pendidikan. Saya berminat tentang isu pendidikan. Sebenarnya dari zaman sekolah lagi saya suka bercakap di hadapan orang ramai. Sebelum memberi ucapan, saya perlu bersedia dan membuat penyelidikan untuk mendapatkan fakta hujah terlebih dahulu.

Saya selalu berfikir, mengapakah sesetengah orang yang mahu bersekolah, tetapi tidak diberi peluang itu. Kemudian, mengapakah orang yang diberi peluang bersekolah tetapi tidak menghargai peluang tersebut. Saya cuba memahami keadaan ini. Bermula daripada situlah, saya mula melakukan penyelidikan tentang hal ini secara maya.

Oleh sebab itu juga saya berhubung dengan komuniti belia antarabangsa melalui dalam talian. Pandangan mereka sangat berbeza dengan pandangan saya. Saya tetapkan pertemuan bersama mereka secara fizikal kerana saya tahu jika saya berbual secara maya, saya tidak akan dapat mencapai persefahaman bersama. Kami perlu bertemu, membawa visi dan pandangan kami untuk diperdebat dan diperhalusi. Dari situ, perjalanan saya dalam wacana ini akan pergi lebih jauh. Saya juga merasakan corak pendidikan di sini telah menghalang saya daripada berhadapan dengan masalah. Atas sebab itu saya selalu berusaha untuk pergi ke semua persidangan. Saya terpilih bukan sahaja untuk berkongsi idea tetapi untuk belajar dengan mereka. Kadangkala, saya dapat melihat mengapa masyarakat antarabangsa boleh menyelesaikan sesuatu isu itu dengan baik, dan mengapa kita tidak boleh melakukannya. Apabila saya ke sana, saya belajar sesuatu yang baru dan pulang dengan ilmu itu.

DM: Bagaimanakah tanggapan belia antarabangsa terhadap saudari yang mewakili Malaysia?

Shobana
: Orang di sana tidak begitu mengenali Malaysia. Tetapi mereka sangat terbuka dan mahu mempelajari sesuatu yang mereka tidak tahu. Malah kami banyak bertukar pendapat, melihat perbezaan dan persamaannya serta mendapatkan penyelesaian terbaik daripada beberapa isu yang diangkat.

DM: Apakah yang saudari kongsikan semasa berada di sana?

Shobana
: Bergantung pada topik. Selalunya saya pilih isu pendidikan. Saya memberitahu mereka, kami mengikut sistem yang lama di Malaysia. Matematik dan Sains tidak diajar dalam bahasa Inggeris, dan selepas itu digunakan pula, dan sekarang ini ditukar kembali ke Bahasa Melayu.

DM: Dari segi perbandingan, apakah perbezaan pendidikan negara luar dengan Malaysia?

Shobana: Kebanyakan sistem pendidikan di Barat lebih membuka kesedaran politik. Mereka banyak didedahkan pada isu global. Di Malaysia, walaupun kita belajar Pendidikan Sejarah, subjek ini lebih terfokus kepada Malaysia. Isu berkenaan negara luar tidak banyak disentuh seperti peperangan benua lain atau sejarah Rusia. Kadang-kadang saya berasa kecil apabila berhadapan dengan mereka. Saya perlu belajar benda baharu, saya perlu mengubah cara saya berfikir. Jika mereka mahu mengenali Malaysia pun, mereka perlu tahu arah tuju negara kita sebelum mereka membincangkan dan menyumbangkan isu-isu yang berkaitan dengannya.

DM: Apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendidikan negara kita?

Shobana: Kita perlu membuat penilaian semula ke atas sukatan mata pelajaran kita yang lebih banyak berfokus kepada Malaysia. Saya berpendapat, kerajaan perlu menyediakan para pelajar kita untuk berfikiran global. Jika saya sampaikan isu antarabangsa kepada pelajar Malaysia, biasanya mereka tidak dapat menguasainya kerana mereka tidak belajar tentangnya. Saya sendiri perlu mencari maklumat ini melalui Google tetapi tidak semestinya perubahan ini hanya berlingkar tentang luar negara. Sekurang-kurangnya, apabila kita berkomunikasi dengan pihak antarabangsa, kita telah berada di haluan yang betul.

DM: Masyarakat selalu beranggapan bahawa para belia kita sedang mengalami masalah sosial yang parah. Apakah pendapat saudari?

Shobana: Para belia kita mengamalkan sikap ambil mudah. Apabila kita sudah ada sesuatu, kita tidak tahu menghargainya. Kita hidup dalam persekitaran yang serba senang sejak kecil. Misalnya kita mendapat buku teks secara percuma. Oleh sebab itu kita tidak memahami nilainya.

Masalah kawan sebaya juga adalah antara faktornya. Tetapi masalah paling utama adalah apabila kami di sekolah. Kami tidak didedahkan dengan aktiviti luar yang berfaedah dan positif serta boleh menggalakkan para pelajar ikut serta. Jika sekolah mengumumkan suatu aktiviti, aktiviti itu sahajalah yang dikenali oleh para pelajar. Kalau kita selidiki Internet, ada pelbagai persidangan yang boleh dihadiri oleh para pelajar. Mereka mungkin akan berminat kerana ini merupakan peluang bagi mereka berkomunikasi dengan rakan sebaya dari luar negara.

Sebenarnya bukan semua belia bermasalah. Ada juga yang melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah. Contohnya, ada seorang pelajar berumur 14 tahun yang menghantar e-mel kepada saya dan bertanyakan bagaimanakah beliau boleh melibatkan diri dengan persidangan dan boleh berdebat tentang isu global.

DM: Apakah pandangan saudari apabila golongan belia digelar antikerajaan, kerana mereka sering memberi pendapat secara terbuka?

Shobana: Kami bukan antikerajaan. Jika ada sesuatu yang kami hendak lakukan, tujuannya adalah untuk membantu kerajaan. Jikalau kami bersuara, itu bermakna kami sekadar memberi cadangan untuk memperbaiki keadaan dan bagaimana caranya kami boleh membantu. Kami bukan membantah semua yang dilaksanakan oleh kerajaan. Kami cuma mahu perkembangkan idea, kerana idea ini datang daripada orang muda. Idea-idea yang baharu ini mungkin tidak disedari oleh kerajaan.

DM: Apakah kelebihan yang ada pada belia Malaysia yang dilihat oleh belia di luar negara?

Shobana: Kelebihan kami ialah kami boleh bersatu walaupun kami berlainan bangsa, walupun saya rasa itu bukanlah satu kekuatan utama kami. Sebenarnya golongan belia kita mempunyai semangat patriotik yang kuat. Jika kita melawat ke luar negara, kita dapat melihat belia Malaysia akan ke hadapan dan bercakap tentang isu semasa kerana mereka juga mahu menunjukkan yang mereka juga mengambil berat dan mahu bersuara. Di situlah saya rasa kekuatan utama kita.

DM: Apakah pendapat saudari tentang Satu Malaysia?

Shobana: Pada pandangan saya, konsep Satu Malaysia yang dianjurkan kerajaan tidak terlalu penting buat generasi muda sekarang. Kini, generasi muda lebih bersatu daripada generasi tua. Apabila kita bercakap dengan golongan muda, mereka merasakan perpecahan dan mengkategorikan bangsa itu Melayu, Cina atau India sebagai membuang masa, walaupun ada juga segelintir daripada mereka yang tidak boleh bergaul antara satu sama lain kerana berlainan bangsa. Tetapi berbanding dengan generasi lama, orang muda sekarang lebih bersatu.

DM: Apakah harapan saudari sebagai golongan belia, terhadap kerajaan?

Shobana: Kami mengharapkan kerajaan dapat menerima konsep dan cadangan kami. Hal ini tidak bermakna kerajaan mesti mengambil dan mengikut semua cadangan kami, tetapi sekurang-kurangnya dengarkanlah suara kami terlebih dahulu. Tidak semestinya idea baharu orang muda itu tidak baik. Itu saja permintaan kami.

___

RENCANA BERKAITAN Belia Malaysia Bertaraf Dunia, Wawancara Khairun Nisa, Wawancara Michael Teoh, Perhimpunan Belia Sedunia.

VIDEO BERKAITAN Shobana Nair di One Young World.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.