Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Jam di tangan menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Ketika itu penulis berada di salah sebuah bank untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik. Apabila keluar dari bank tersebut, datang seorang kanak-kanak lingkungan umur 10 tahun, rambutnya kusut-masai, bajunya lusuh, berseluar sekolah, dan berselipar Jepun. Di tangannya, tergenggam sebuah tabung tertera tertera “Sumbangan Pembinaan Rumah Anak Yatim …”.

Terdetik di hati penulis, sampai begini sekalikah yang perlu dilakukan oleh anak kecil ini untuk memungut derma? Mengemis dan merayu sehingga lewat malam demi memastikan sebuah bangunan yang mampu menyediakan tempat untuk anak yatim berteduh. Di manakah perginya tokoh hartawan yang memiliki aset jutaan ringgit? Tidakkah terlintas di hati mereka untuk membantu golongan seperti ini, lebih-lebih lagi anak yatim? Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda, marfhumnya;

“Orang-orang yang memelihara anak yatim, baik daripada keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak. Dan baginda memberikan isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”

Daripada hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa anak yatim merupakan golongan yang sepatutnya dilindungi dan dibantu dengan sewajarnya, bukan dipaksa melakukan kerja yang tidak sepatutnya.

Meminta sedekah, merayu di kaki lima, dan menjual barangan dari rumah ke rumah merupakan fenomena biasa yang seringkali dilihat dilakukan oleh anak yatim di negara ini. Adakah mereka ini “diarahkan” oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab?

Baru-baru ini sebuah akhbar arus perdana memaparkan perilaku kurang elok di mata masyarakat apabila sebuah pusat tahfiz anak yatim yang berpangkalan di Kuala Kedah mengarahkan penghuninya untuk menjalankan kegiatan “meminta sedekah” di sekitar Lembah Klang. Pusat tahfiz berkenaan sudah beroperasi lebih daripada 15 tahun dan lebih daripada 105 orang penghuni yang berusia dari tujuh hingga 12 tahun di pusat tahfiz itu “dipaksa” menjual produk yang dibekalkan oleh pusat tersebut.

Namun, dakwaan itu disangkal sekeras-kerasnya oleh pengetua pusat tahfiz berkenaan, Muslim Ab. Karim yang menyatakan bahawa mereka bukan menjalankan kegiatan meminta sedekah, sebaliknya cuba melatih pelajar mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. “Kanak-kanak ini bukan meminta sedekah tetapi menjual produk, seperti cekera padat agama, madu, buku agama, dan beberapa barangan lain sebagai jualan amal yang sedikit sebanyak membantu membiayai kos perbelanjaan pusat tahfiz ini,” jelas Muslim. Kanak-kanak sentiasa mahukan perhatian dan kasih sayang.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Oktober 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Video Berkaitan Satu Keluarga Satu Anak AngkatSatu Daerah Satu Pusat PerlindunganSambutan Program JKM,Rumah Anak Yatin di Hulu LangatPenyelamatan Kanak-kanakPengemis Masih RamaiPenerimaan Komuniti Terhadap Program JKMPencapaian Kanak-kanak bawah Institusi JKMPenambahbaikan JKMInstitusi Kebajikan Tanpa DiskriminasiBantuan JKM

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.