Sejarah sekali lagi ditafsir mengikut selera orang politik. Jika dahulu ada “suara” orang politik yang mendakwa orang Melayu sebenarnya kaum “pendatang” di Tanah Melayu, baru-baru ini timbul pula suara sumbang yang menegaskan Mat Indera, seorang pengganas komunis sebagai wira nasionalis sebenar di negara ini.

Mat Indera atau nama sebenarnya Muhamad (Ahmad) bin Indera (1920-1953), merupakan ketua platun komunis Melayu yang bertanggungjawab mengatur dan mengarahkan sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas Keempat menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor, pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, semua anggota polis dan keluarga mereka berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama dengan anggota polis yang lain sehingga kehabisan peluru.

Dalam pertempuran itu, Mat Indera mengarahkan anggotanya membakar berek kelamin dan balai polis yang menyebabkan dua orang wanita dan anak-anak mereka rentung terbakar.

Akhirnya serangan itu menyaksikan 26 orang terkorban yang terdiri daripada 14 orang anggota polis, tiga orang pengawal kampung, lima orang polis bantuan, dua orang isteri anggota polis, dua orang kanak-kanak.

Pada 21 Ogos lalu, semasa menyampaikan ceramah di Gelugor, Pulau Pinang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu), secara terbuka mendakwa Mat Indera dan kumpulan pengganas komunis yang menyerang, membakar, dan membunuh anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong sebenarnya layak diberikan gelaran “wira negara”.

Alasannya semasa kejadian tersebut berlaku, anggota polis yang berjuang sehingga di penghujung nyawa tersebut berkhidmat untuk British, sedangkan pengganas komunis merupakan wira sebenar negara yang menentang British.

Tahniah kepada Mat Sabu kerana mentafsir sejarah tanpa mengikut etika penilaian yang sewajarnya. Beliau berjaya menyangkal pandangan karyawan ulung sejarawan dunia seperti Edwart Hallet Car dalam karyanya bertajuk, What is History (1961), mahupun Ibn Khaldun melalui bukunya, Muqaddimah, yang menekankan betapa pentingnya seseorang membuat pengadilan moral secara objektif ketika mentafsir sejarah.

Mat Sabu secara tegas dan penuh bangga mempertahankan hujah yang mengikut seleranya itu – setegas Amerika Syarikat yang mendakwa Israel di pihak yang benar walaupun terang-terangan rejim Zionis itu menyembelih dan berlaku zalim terhadap rakyat Palestin.

Apabila pentafsiran sejarah dicampur-aduk dengan putar-belit politik, hujah seperti Mat Sabu pasti terpacul keluar. Bagi golongan ini, tiada etika dalam periwayatan sejarah. Jauh sekali untuk melihat sesuatu fakta sejarah secara objektif.

Oleh sebab itu, jangan terperanjat apabila muncul hujah pelik seperti pengganas komunis didakwa sebagai wira; Isreal di pihak yang benar menzalimi rakyat Palestin; tentera

Serbia pejuang nasionalis Serb sejati kerana menyembelih etnik Bosnia; Rejim Khamer Rouge lambang kekuasaan pemerintahan moden kerana sanggup membuat apa-apa sahaja terhadap rakyatnya demi mempertahankan kuasa.

Semua pentafiran sejarah sebegini lahir daripada golongan yang tidak memahami kaedah dan etika mentafsir sejarah. Mereka melihat sejarah mengikut selera politik mereka. Mereka menilai sejarah hanya untuk manfaat dan kepentingan diri semata-mata.

- Mohd. Shukri Mohd. Ariff

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.