Merujuk kepada Rencana Utama Dewan Masyarakat bertajuk “Belanjawan 2010: Tuntutan Model Ekonomi Baharu” oleh Aninah Janang pada keluaran Disember 2009, penulis melihat kaitannya dengan tulisan saudara Karim Raslan, “Warung Kopi Terbaik Dunia”.

Malaysia sebenarnya semakin terdesak mengejar wawasannya yang bakal menjelang pada tahun 2020, iaitu 10 tahun sahaja dari sekarang. Justeru Belanjawan 2010 yang berteraskan Model Ekonomi Baharu yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi telah diperkenalkan baru-baru ini. Persoalannya, adakah rakyat negara ini memahami maksud Model Ekonomi Baharu yang menggunakan istilah teknikal seperti inovasi, kreativiti dan nilai tambah? Adakah mereka bersedia untuk berasimilasi dengan Model Ekonomi Baharu ini?

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegur rakyat negara ini yang menginginkan prasarana kelas pertama tetapi pada hakikatnya mereka masih mengekalkan minda kelas ketiga. Jika dilihat kaitannya dengan pandangan teman lama Karim yang mengatakan pembangunan Indonesia tidak akan bergerak pantas biarpun dengan pelantikan pemerintah baharu, kerajaan perlu memikirkannya.

Buat sementara waktu, kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan memperuntukkan hampir RM30 bilion dalam Belanjawan 2010 kepada sektor pendidikan. Hal ini sangat penting kerana generasi pelapis pada peringkat sekolah inilah yang bakal menerajui negara pada tahun 2020 nanti. Tetapi bagaimana pula dengan golongan kelas menengah? Majoriti golongan ini terdiri daripada ibu dan bapa kepada lebih 5.5 juta pelajar di Malaysia. Adakah mereka sudah bersedia dengan ilmu pengurusan tentang gaji yang tinggi berbanding yang sedia ada kini?

Penulis risau jika impak positif hasil daripada pendapatan tinggi gagal diuruskan dengan baik oleh golongan berkenaan. Bayangkan sahaja berapa harga bayaran bagi semua jenis perkhidmatan dan produk setelah negara ini menjadi negara berpendapatan tinggi? Jika jumlah gaji pada aras sederhana pun gagal diuruskan, pembaca boleh bayangkan impaknya terhadap struktur sosial negara pada masa negara mencapai status berpendapatan tinggi. Dalam kata-kata lain, ibarat memberikan wang saku RM100 kepada murid tahun satu untuk dibelanjakan tanpa bimbingan.

Mohd Zaim Jaafar
Kapit, Sarawak.

___

Surat Pembaca ialah ruangan khusus bagi pembaca memberikan pandangan tentang isu yang diperkatakan dalam Dewan Masyarakat bercetak dan dalam talian. Segera kirimkan pandangan anda kepada Editor Dewan Masyarakat dalam talian dengan menyertakan maklumat peribadi yang lengkap. Hantarkan kepada: fadhli@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.