Oleh Naziree Md Yusof

Fenomena terkini dalam teknologi perubatan begitu mempengaruhi gaya hidup manusia. Walaupun matlamat asalnya untuk rawatan dan penjagaan kesihatan kini pelbagai kaedah diperkenalkan dalam produk kecantikan, kelangsingan badan, gaya pemakanan seimbang dan lain-lain bagi tujuan komersial. Perbahasan hukum syarak turut dibincangkan secara khusus mengenai sesetengah perkara, seperti pemindahan anggota, pendermaan organ, pengguguran janin, eutanasia, dan masalah khunsa. Permasalahan semasa seperti bayi tabung uji, bank sperma, ibu tumpang, klon, penentuan jantina anak memerlukan kajian mendalam sebelum tahap keharusan di sisi agama boleh diputuskan.

Islam sangat menekankan pemeliharaan keturunan dan pertambahan zuriat. Seruan supaya meningkatkan kesuburan amat digalakkan dengan menggunakan kaedah yang dibenarkan syarak selain mengambil pendekatan berpoligami. Namun, sebarang langkah yang bertujuan untuk menyimpang daripada fitrah kemanusiaan atau bercanggah dengan prinsip aqidah dan nas syariat adalah diharamkan. Hal ini dikatakan demikian kerana aspek zuriat sangat berkaitan rapat dengan perkahwinan, kesahtarafan anak, konsep perwalian, pewarisan harta, batasan aurat, zakat fitrah, kewajipan nafkah, hubungan kekeluargaan, pentarbiahan akhlak dan lain-lain yang setiap satunya mempunyai ketetapan nas dalam syariat.

Dalam hal ini, kaedah ibu tumpang mempunyai persamaan dengan kaedah bayi tabung uji kerana kedua-duanya tidak memerlukan ibu yang asal mengandung. Cuma yang membezakannya ialah ibu tumpang memerlukan bantuan secara langsung seorang wanita lain untuk mengandungkan anaknya manakala bayi tabung uji hanya melibatkan penggunaan alat semata-mata.

Adakah kaedah ini bertujuan untuk mengelakkan fitrah seorang ibu yang sepatutnya merasai segala kesulitan semasa mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Jika itulah motifnya, makna seseorang ibu hanyalah untuk mengeluarkan sel telur sahaja. Mengenai kaedah ini, secara umumnya Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan, haram amalan ibu tumpang dan menganggapnya sebagai suatu jenayah. Lazimnya, setiap bangsa amat menekankan status keturunan dan penentuan nasab. Seseorang ibu bukan sekadar menghasilkan sel telur yang membawa ciri khusus keturunan (genetik) malah perlu merasai erti kepedihan kehamilan, derita mengidam dan pelbagai kesulitan.

Dalam kes di Barat, pasangan William Stern dan isterinya Elizabeth yang tidak mempunyai anak ingin rahim seorang wanita untuk bagi tersebut. Pasangan itu mengupah Mary Whitehide sebanyak $20 ribu dolar. Lalu sperma Stern dimasukkan ke dalam rahim Mary. Pada waktu melahirkan bayinya, naluri keibuan Mary memberontak dan dia menolak untuk menyerahkan bayi tersebut kepada Stern dan isterinya. Akhirnya perkara ini dibawa ke mahkamah yang menganggap hal ini sebagai masalah transaksi sosial. Berdasarkan dokumen perjanjian mereka, mahkamah memutuskan bayi tersebut mesti diserahkan kepada keluarga Stern. Ketika Stern dan lima anggota polis sampai di rumah Mary, dia bertindak melarikan diri dengan membawa bayinya melalui pintu belakang. Akhirnya dia ditangkap di sebuah bandar lain dan bayi tersebut diambil dan diserahkan kepada keluarga Mr. Stern.

Jika diperhatikan pandangan Dr. Yusof al-Qaradhawi ini boleh dipersoalkan atas alasan sepatutnya kebajikan anak itulah yang lebih diutamakan. Beliau mengharamkan kerana menyeksa jiwa keibuan wanita, itu disebabkan wanita tersebut tiada hubungan keluarga dengan ibu yang membekalkan benih. Ini berbeza halnya jika seseorang perempuan tidak dapat mengandung kerana masalah rahimnya, lalu diambil benihnya dan diminta saudara perempuannya yang lain untuk mengandungkan anak tersebut, maka tidak timbul mana-mana pihak yang teraniaya apabila anak itu dilahirkan.

Wanita yang mengandungkan anak tersebut masih boleh “bersama” anak itu kerana wujudnya pertalian keluarga. Persoalan menyeksa jiwa dan batin keibuan tidak timbul kerana anak yang dikandungkan itu adalah dalam kalangan ahli keluarganya sendiri. Oleh itu, adalah perlu seseorang perempuan membantu saudara perempuannya yang lain memandangkan ketidakmampuannya berbuat demikian. Di pihak anak itu akan diberikan lebih keistimewaan kerana mempunyai dua orang ibu serentak. Kebajikan anak tersebut akan lebih terjamin kerana kedua-dua ibunya akan mengambil berat segala perihalnya dari segi tempat tinggal, makan pakai, pendidikan dan perubatan. Risiko perebutan hadanah agak tipis kerana senario sebegini amat jarang diamalkan oleh masyarakat kita. Sebaliknya, masalah perebutan hadanah sering berlaku di antara suami isteri itu sendiri, seseorang wanita dengan ibu mertuanya dan lain-lain walaupun kadang-kala menganiaya kebajikan anak tersebut.

Jika diperhatikan justifikasi pendapat yang kedua adalah lebih praktikal kerana telah menepati maqasid syariah iaitu kebajikan anak diutamakan. Kedua, tidak timbulnya risiko penganiayaan kepada ibu yang mengandung kerana turut mendapat hak ‘penjagaan’ bersama-sama dengan ibu yang membekalkan benih. Ketiga, ibu yang mengandung juga telah membantu saudara perempuannya mendapatkan zuriat dan ini akan mengeratkan lagi perhubungan di kalangan ahli keluarga.

Hakikatnya, Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Fatawa al-Muasarah bukanlah menyatakan pengharaman amalan ibu tumpang secara total. Sebaliknya, beliau telah meletakkan beberapa syarat agar amalan tersebut lebih berhati-hati dalam menepati kehendak syarak. Beliau turut menyatakan bahawa apabila sains telah sampai ke kemuncaknya dan penyewaan rahim benar-benar terjadi, beberapa langlah perlu diambil bagi mengurangkan kemudaratan dan meringankan implikasi negatifnya (bukan sebagai tanda menghalalkannya), antaranya:

1) Ibu tumpang itu mestilah di kalangan wanita yang bersuami, yang sudah mempunyai beberapa orang anak, bukan anak dara atau janda. Hal ini dikatakan demikian kerana wanita yang mengandung tanpa suami akan berhadapan dengan fitnah dan tanggapan serong masyarakat.

2) Wanita itu juga wajib mendapatkan keizinan suaminya, kerana kehamilan akan menghalangnya daripada menyempurnakan beberapa hak suaminya sepanjang tempoh kehamilan dan nifas seperti hubungan seks dan sebagainya.

3)  Wajib bagi ibu tumpang beriddah dari suaminya, bimbang masih terdapat benih yang disenyawakan pada rahimnya yang akan menyebabkan berlaku percampuran nasab.

4)  Nafkah ibu tumpang, kos rawatan dan penjagaannya sepanjang tempoh kehamilan dan nifas adalah tanggungjawab suami pemilik benih, atau wali selepasnya, kerana janin tersebut membesar daripada darahnya. Justeru, wajib bagi bapa tersebut membayar kadar kehilangan darah itu.

5)  Sabit kesemua hukum penyusuan pada ibu tumpang dengan menggunakan qias aula (perbandingan yang lebih utama) kerana ibu tumpang lebih berat tanggungannya daripada ibu susuan, kecuali suami ibu tumpang tersebut tidak dikira sebagai bapa susuan kepada bayi itu. Ini kerana bapa susuan dikira sebagai bapa bagi anak susuannya kerana susu itu terhasil apabila ibu susuan itu melahirkan anak hasil hubungan mereka suami isteri, berbeza dengan suami ibu tumpang yang tidak memiliki apa-apa hubungan dengan bayi yang dilahirkan.

6) Ibu tumpang berhak untuk menyusukan bayi itu jika beliau ingin berbuat demikian kerana membiarkan susu pada badannya akan memudaratkan fizikal, sebagaimana perasaannya juga terkesan apabila anak itu diambil daripadanya kerana Allah s.w.t. menjadikan penyusuan itu berkaitan dengan proses kelahiran.

7) Akhirnya, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan pendapatnya bahawa wajar bagi ibu tumpang ini mendapat keistimewaan yang lebih berbanding ibu susuan, seumpama nafkah daripada anak ini kepada ibu yang melahirkannya sekiranya beliau berkemampuan dan ibunya berhajat kepada nafkah kelak.

Aplikasi ibu tumpang sememangnya berbeza dengan kaedah pengklonan. Amalan klon, iaitu pembentukan makhluk bernyawa sama kejadian asal dan dari segi bentuknya ia seperti kembar. Ia terbahagi kepada dua bentuk; pengklonan janin atau embrio (embryo cloning) dan teknik pemindahan nucleus (nucleus transfer technology). Melalui kaedah inilah mana-mana wanita boleh mendapatkan anak sekalipun tanpa benih lelaki. Lantas gaya hidup lesbianisme menjadi asas untuk meneruskan ‘survival’ ekoran tidak perlunya lelaki dalam hidup mereka. Berikutan itu perhubungan seksual akan dijadikan bahan permainan hanya untuk memenuhi nafsu manusia. Dalam hal ini Majlis Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa pengklonan pembiakan manusia adalah haram kerana bertentangan dari aspek aqidah dan syariat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bahawa apa-apa kaedah yang bertujuan untuk bertentangan dengan fitrah kejadian adalah haram. Amalan pengklonan ini sudah pasti akan mengakibatkan manusia merasai dirinya mempunyai kuasa dan mampu mencipta serta menentukan kejadian manusia lain menurut kehendak dirinya. Hakikat kelahiran insan atau keturunannya melalui perkahwinan sudah pasti akan lenyap, sedangkan itulah tujuan Allah SWT menciptakan manusia serta meningkatkan darjat mereka kepada sebaik-baik kejadian. Bahkan fenomena tersebut dapat diandaikan bahawa apakah ini antara usaha manusia dalam mengkaji roh, sedangkan ianya jelas hanya urusan Allah SWT semata-mata.

Dari segi syariat, manusia sebagai khalifah di muka bumi tidak sewajarnya menjadi bahan eksperimen, sepertimana dilakukan terhadap binatang, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan. Oleh itu, pengklonan manusia akan menjadikan taraf manusia itu sama seperti binatang sedangkan Allah SWT mencipta manusia dengan penuh kesempurnaan dan manusia diberikan tanggungjawab untuk mentadbir dunia ini sebaik-baiknya.

Selain itu, anak yang diklon bukanlah lahir daripada perkahwinan yang sah. Dia tidak mempunyai bapa yang sepatutnya bertanggungjawab memberinya nafkah, dan dia juga tidak boleh menuntut hak untuk membela kebajikannya lantaran ketidaksahan statusnya sebagai anak. Dari segi perwalian, keadaan ini akan menjadi rumit ketika anak tersebut akan berkahwin. Siapakah yang sepatutnya menjadi wali nikahnya jika anak tersebut perempuan? Bagaimanakah pula hubungannya dengan kerabat yang lain, seperti adik-beradik, ipar dan sebagainya?

Begitu juga dengan batasan aurat dan pergaulan dengan kaum kerabat, sedangkan dia bukanlah sama statusnya seperti mahram kerana nasab, susuan atau musaharah (perkahwinan seperti menantu dan mertua)? Statusnya dari segi nasab juga tidak boleh dikaitkan kerana anak klon tidak dapat diangkat menjadikan anak sendiri. Dari segi pusaka, anak pengklonan tiada hubungan darah atau kerabat yang sebenar, dan ini menyebabkan dia tidak layak untuk mendapatkan pusaka atau memperoleh sebarang warisan.  Ringkasnya, amalan pengklonan adalah haram di sisi Islam kerana ternyata bertentangan dengan fitrah kejadian yang ditetapkan Allah SWT dan akan merosakkan sistem kehidupan manusia itu sendiri.

Dalam permasalahan ibu tumpang, jika motif seseorang perempuan menggunakan kaedah ibu tumpang semata-mata untuk menafikan fitrah keibuan, maka hukumnya adalah haram. Tetapi jika perempuan itu mempunyai masalah rahim dan ternyata akan menjejaskan nyawa dan janinnya ekoran kandungan tersebut, maka amalan ibu tumpang adalah harus dan menepati dengan kaedah fiqh yang menyatakan iaitu sesuatu kemudaratan perlu dihilangkan sedaya mungkin. Isu menafikan fitrah keibuan tidak timbul kerana kaedah fiqh juga menyarankan agar memilih antara yang paling ringan jika terdapat dua kemudaratan tersebut.  Ini bermakna, mengelakkan diri daripada risiko kematian adalah lebih utama daripada mengekalkan kehamilan semata-mata bagi memenuhi fitrah keibuan.

Kemajuan teknologi dunia hari ini menjadikan undang-undang semakin unik kerana berubah mengikut tuntutan semasa. Tetapi bagi perundangan Islam yang bersifat murunah (fleksibel) tetap relevan dan kekal sebagai agama fitrah yang menepati dengan keperluan hidup manusia pada setiap masa dan setiap tempat.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.