Oleh Nazruzila Razniza Mohd Nadzri

Islam menganjurkan pencarian ilmu kepada penganutnya sebagai tonggak utama dalam meneruskan hidup. Ini jelas terbukti melalui wahyu pertama Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail. Perkataan Iqra’ (bacalah) dalam surah al-‘Alaq ayat 1 – 5 seperti maksud di bawah adalah simbolik kepada peri pentingnya usaha mendapatkan ilmu melalui pembacaan. Ilmu memastikan penerusan sesebuah bangsa, bahkan status kemajuan bangsa. Ketinggian ilmu sesebuah bangsa meninggikan darjatnya di mata dunia.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq:1 – 5)

Dalam ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah mengajar manusia melalui pena dan tulisan yang bermaksud ilmu akan diperoleh melalui pembacaan dan selanjutnya boleh dipanjangkan. Penerusan berlaku melalui penulisan. Disebarkan dan pada masa yang sama memapankan pemahaman dan penguasaan dan menambah nilai kepada ilmu yang sedia ada.

Pemerolehan ilmu boleh juga berlaku dengan perantara seperti guru. Konsep ini disebut sebagai pengajaran dan pembelajaran. Penerokaan ilmu melalui cara ini, sama ada secara formal atau tidak formal pastinya melibatkan etika, prinsip, adab dan proses serta teknik tertentu. Bagi seseorang Muslim semuanya terkandung dalam sumber sah yang ditetapkan agama terutama ayat suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Tunjang dalam proses pemerolehan ilmu secara tradisional umumnya melibatkan interaksi antara guru dan pelajar. Personaliti ilmuwan kebangsaan seperti Tok Kenali (Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani) dan Syed Mohd Idris Abdul Rauf al-Marbawi, contohnya menapak ke serata ceruk pondok di Tanah Melayu untuk menimba ilmu. Mereka gigih merantau jauh semata-mata untuk mencari guru. Namun, konsep ini mungkin tidak tepat sekali pada masa kini.

Limpahan maklumat daripada media cetak, elektronik dan maya, mempengaruhi teknik mendapatkan ilmu pada masa kini. Seseorang individu terutamanya generasi muda belia lebih suka berinteraksi menggunakan komputer riba, telefon mudah alih, telefon pintar, tablet dan sebagainya berbanding dengan berkomunikasi dengan guru. Semua maklumat boleh diperoleh dengan cepat, mudah, fleksibel, variasi dan tanpa had dengan pergerakan fizikal yang minima. Akhirnya guru dilihat sebagai terlalu dominan, membosankan, terhad, leceh, kaku dan tradisional.

Persoalannya, tepatkah proses ini dengan konsep menuntut ilmu dalam Islam dan relevankah guru dalam proses penerokaan ilmu pada era maklumat di hujung jari ini? Oleh hal yang demikian, kajian dan penelitian kepada konsep menuntut ilmu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran sebenar yang dianjurkan oleh Islam perlu diperhalusi.

Perkataan ilmu berasal daripada bahasa Arab, iaitu “alima”. Menurut perspektif Islam, ilmu didefinisikan sebagai pendapat yang terbukti kepastian tepatnya dengan hakikat yang sebenar. Penghuraian ini diberikan di dalam Mustika Hadith melalui nota kakinya pada maksud ilmu dalam ayat al-Quran di bawah:

“Maka hendaklah engkau berusaha mendapat ilmu yang meyakinkanmu: “Bahawa tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah (Surah Muhammad:19).

Ilmu mengikut perspektif Islam mestilah tidak bersalahan dengan sumber sah agama Islam iaitu al-Quran, sunah mahupun ijmak dan kias. Ilmu mencakupi semua cabang dan bidang tidak hanya terhad kepada agama contohnya ilmu perubatan, pendidikan, kemanusiaan, komunikasi, astronomi, pembinaan, agrikultur, kajian lautan dan sebagainya. Selanjutnya, Islam memperuntukkan garis panduan untuk memperoleh ilmu melalui proses pengajaran dan pembelajaran iaitu mestilah daripada individu yang benar-benar menguasai ilmu tersebut. Hal ini terang sekali di dalam maksud firmah Allah seperti di bawah:

Firman Allah Taala, maksudnya: “.. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah An-Nahl: 43 dan Al-Anbia’: 7).

Hadis Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari daripada guru” (Mastika Hadis di dalam nota untuk Hadis ke-20) menegaskan dan memperkukuhkan hal ini. Kesannya, pemerolehan ilmu melalui buku, sumber digital dan Internet adalah boleh diragui kebenaran, kesahihan dan ketepatan pemahamannya. Ini bersalahan dengan maksud ilmu yang dinyatakan terdahulu.

Namun begitu, tidak tepat juga untuk menyatakan sumber di atas bukan sumber sahih penimbaan ilmu. Individu mesti bijak membezakan sumber yang benar melalui beberapa faktor seperti, penulisnya (mestilah seorang yang dalam lingkungan kemahirannya), dalil maklumat yang ditulis, huraian yang tepat dan lengkap dengan ilustrasi, jelas antara fakta dan pendapat. Namun, ada kalanya informasi yang didapati daripada sumber tersebut tidak jelas, keliru, berlawanan atau pun susah untuk difahami. Maka rujukan kepada individu yang selayaknya amat perlu untuk mengatasi semua isu ini.

Dari satu sudut yang lain, guru mungkin memperoleh ilmu daripada pelajarnya dan hal inilah yang merupakan keindahan proses pembelajaran dan pengajaran. Walau bagaimanapun sedikit salah faham sering tercetus apabila pelajar menganggap guru perlu tahu semuanya dan guru pula percaya dia lebih tahu daripada pelajar.

Oleh itu, satu penyelesaian kepada konflik ini perlu dirungkaikan. Sekali lagi agama Islam yang serba sempurna menetapkan etika tertentu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pematuhan ketat kepada etika akan memastikan ilmu yang diperoleh membawa manfaat kepada kedua-dua pihak. Manfaat berkait rapat dengan ajaran Islam dan tidak terhad bagi konteks kebaikan duniawi semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai bekalan ukhrawi.

Pembelajaran atau belajar melibatkan perubahan dalam diri pelajar. Belajar dapat didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku pada diri individu hasil daripada interaksi antara individu dengan individu dan individu dengan lingkungannya sehingga mereka lebih mampu berinteraksi dengan lingkungannya. “Perubahan” bermaksud, seseorang yang telah mengalami proses belajar akan mengalami perubahan tingkah laku, baik dalam aspek pengetahuannya, keterampilannya, mahupun dalam sikapnya.

Seterusnya, “mengajar” pada prinsipnya ialah membimbing pelajar dalam kegiatan belajar. Mengajar pula merupakan suatu usaha mengorganisasikan sekitarnya dalam hubungannya dengan pelajar dan bahan pengajaran sehingga menimbulkan terjadinya proses belajar pada diri pelajar. Proses belajar ini walau bagaimanapun mesti menyeluruh, bukan hanya terhad kepada penambahan intelek semata-mata bahkan mesti merangkumi aspek emosi. Proses belajar dan mengajar juga memerlukan interaksi antara satu sama lain.

Al-Quran telah memberikan beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan antara seseorang dengan seseorang insan yang lain. Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang perkara di atas termasuklah:

“Perkataan yang baik dan perbuatan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya dan maha penyantun”. (Surah Al-Baqarah: 263)

“Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu harapkannya, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati”. (Surah Al-Isra’ : 28)

“Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”. (Surah Al-’Imran: 159)

“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya…..” (Surah An-Nahl : 125)

Al-Quran di atas telah menggariskan bahawa hikmah kebijaksanaan, lemah lembut dan percakapan dan bahasa yang baik adalah menjadi asas bagi mewujudkan komunikasi dan interaksi berkesan antara sesama insan. Jelas sekali, ayat al Quran di atas merupakan garis panduan umum dalam apa jua bentuk interaksi sesama manusia. Oleh itu, ia tepat untuk diaplikasikan dalam hubungan antara guru dengan pelajar. Manakala sifat keras dan kasar serta kata yang menyakitkan adalah dilarang.

Hal yang menarik untuk diketengahkan bentuk interaksi yang berlaku antara tokoh ilmuwan agung Islam seperti Imam Shafi’i dengan gurunya Imam Malik. Imam Shafi’i ada kalanya telah menyanggah pendapat gurunya. Tiada salahnya untuk pelajar mengutarakan pendapat yang kadangkala berlawanan dengan guru mereka kerana hal ini merupakan proses pembelajaran dan dunia akademik berkisar tentang pendapat yang kritis bersandarkan hujahan dan dalil yang jelas dan tepat. Prinsip ini menjadi nadi utama dalam dunia akademik dan sebarang pendapat yang rapuh hujah dan dalilnya dianggap antiakademik. Undang-undang ini tersebar luas dan terpakai secara global. Seorang bekas Presiden Universiti Harvard, Lawrence Summer contohnya dikritik hebat dan terpaksa mengakhiri tugasnya sebagai presiden universil berkenaan kerana memberikan kenyataan tanpa bukti.

Sikap keterbukaan guru walau bagaimanapun, sangat penting untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua pihak ini dan juga memberikan keyakinan kepada pelajar untuk terus mengajukan idea dan pendapat. Pengalaman tokoh akademik seperti Tan Sri Dr. Nordin Kardi dalam tulisannya, meluahkan kekaguman kepada gurunya kerana sikap menerima pendapat yang berlainan daripada apa-apa yang dipercayai mereka yang hasilnya telah melahirkan budaya menuntut ilmu dan mencintai ilmu yang tiada tolok bandingnya. Dengan itu, terhasillah tokoh akademik tersebut yang kini berjaya menempatkan diri dalam kalangan tokoh akademik terkemuka.

Guru dengan itu mestilah sentiasa bersedia menerima pandangan para pelajarnya dan sebarang kesilapan atau kekurangan padanya mestilah diperbetulkan juga dengan cara yang berhikmah bukannya dengan sindiran sinis atau memperlekehkannya. Di dunia tanpa batas ini, guru perlu bersedia melakukan transformasi. Tidak perlu untuk mengikuti setiap inci perkembangan dan minat pelajar tetapi cukup kiranya memiliki sedikit sebanyak pengetahuan tentang minat dan perkembangan terkini dunia muda belia. Hal ini pastinya dapat merapatkan jurang perbezaan pemikiran antara pelajar dengan guru serta memudahkan interaksi.

Guru masih terlalu penting kerana nilai kepada ilmu hanya boleh diperoleh melalui guru dan tidak akan hadir dengan hanya melayari internet, membelek lembaran buku, menyentuh skrin telefon pintar atau apa-apa jua peralatan digital. Bagi melahirkan generasi yang seimbang akhlak dan intelektualnya, guru ialah mekanisme induk yang tidak boleh terlepas pandang kepentingannya.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.