Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa merasmikan fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2011 – 2015 ini telah melontarkan satu cabaran yang cukup besar dan signifikan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara agar dapat melahirkan pemenang Hadiah Nobel pada masa akan datang. Cabaran ini boleh dikatakan lebih tertumpu kepada golongan akademik. Pensyarah dan profesor di IPT dicabar menjadi “hero” dalam bidang masing-masing. Menurut Khaled, kekurangan “hero” yang ingin mempamerkan diri menyebabkan IPT negara ini belum berani membuat pengakuan bahawa mereka mampu mengeluarkan pemenang Hadiah Nobel menjelang 2020. Sehubungan itu, beliau mencabar semua IPT tempatan bersaing dengan menyediakan aktiviti yang boleh menghasilkan pemenang Hadiah Nobel yang menjadi kebanggaan negara dan dunia.

Cabaran ini tepat pada masanya kerana desas-desus dan impian negara untuk melahirkan seorang pemenang Hadiah Nobel dalam kalangan anak tempatan sudah kedengaran sekian lama dan idea ini boleh dikatakan ada pasang surutnya apabila sekejap timbul dan sekejap tenggelam mengikut situasi dan senario semasa pengajian tinggi negara. Walau apa-apa pun, hal ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah melupakan impian tersebut. Oleh itu, melalui penghayatan dan pelaksanaan secara terperinci dan efektif Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, kita berharap impian tersebut mampu dijadikan kenyataan dan dapat direalisasikan sepenuhnya. Untuk itu semua IPT wajar memainkan peranan yang berkesan agar dapat mengorak langkah dalam melahirkan seorang “hero” yang sangat diidam-idamkan itu. Dalam hal ini komitmen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat cukup jelas dan sanggup melakukan apa-apa saja demi memenuhi impian tersebut.

Menurut Khaled lagi, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bersama IPT akan melihat semula pelan yang telah dibangunkan untuk diperkasa dan diperkukuhkan bagi melahirkan saintis muda yang berani dan berjiwa besar, sekali gus boleh diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Nobel. Kementerian juga sanggup memastikan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menampung program ini. Ternyata harapan KPT ini mempunyai asas yang cukup kukuh kerana IPT tempatan dilihat sudah pun memiliki keperluan asas untuk tujuan tersebut dan mereka kini cuma perlu melipatgandakan usaha sahaja. Maka kedua-dua pihak yang terlibat, iaitu KPT dan juga IPT sewajarnya duduk semeja berbincang dan memperincikan pelan yang sedia ada seterusnya mewujudkan satu formula yang terbaik yang boleh melahirkan pemenang Hadiah Nobel menjelang tahun 2020, seperti yang diimpikan.

Kita perlu ingat bahawa hanya tinggal sembilan tahun sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun 2020 yang sekali gus menunjukkan kita tidak mempunyai banyak masa dalam menzahirkan impian terbabit. Oleh yang demikian kita memerlukan satu formula dan ramuan yang berkesan, cekap dan yang paling penting memberikan hasil dengan segera. Misalnya, kita perlu memperincikan bidang sasaran ataupun tumpuan yang menjadi pilihan kita. Dalam hal ini elemen fokus dan analisis SWOT (strengths, weaknesses, opportunities, dan threats) yang merangkumi keperluan untuk menganalisis kekuatan yang kita miliki, kelemahan yang sedia ada, peluang yang boleh diterokai atau direbut dan juga ancaman yang boleh menggagalkan impian kita tersebut perlu dilaksanakan dengan segera secara terperinci mengikut pelan perancangan yang strategik. Hal ini dikatakan demikian kerana mungkin tidak begitu logik dan praktikal untuk kita impikan kelahiran pemenang Hadiah Nobel dalam setiap bidang seperti pertanian ataupun sains sosial yang lain mahupun dalam bidang yang berasaskan sains dan teknologi. Jadi kita perlu perancangan rapi agar dapat memilih bidang yang kita benar-benar yakin, mampu melahirkan seorang pemenang Hadiah Nobel dan perlu mengenal pasti bidang yang dapat memberikan kelebihan kepada kita, yang mampu mengangkat nama negara.

Dalam hal yang demikian, peranan IPT dilihat cukup penting dan bakal menjadi tulang belakang kepada kejayaan tersebut. Hal ini demikian kerana hanya IPT masing-masing yang kenal dan tahu akan kelebihan dan kepakaran pensyarah mereka sendiri.

Dalam menjayakan impian ini juga, peranan Profesor Ulung dan juga Majlis Profesor Negara wajar digembleng kepada tahap yang maksimum agar mereka juga dapat memainkan peranan yang aktif dengan memberikan idea dan juga input yang diperlukan supaya kita dapat menjayakan misi nasional ini. Untuk itu kumpulan cerdik pandai ini perlu dilantik sebagai kumpulan pemikir dalam menjayakan misi nasional ini. Penulis juga ingin mencadangkan agar pihak KPT bersama-sama dengan IPT dan Majlis Profesor Negara membentuk sebuah jawatankuasa yang boleh dikenali sebagai Jawatankuasa Pencarian Calon Hadiah Nobel agar akan ada sebuah pasukan kerja khas yang mengambil inisiatif untuk mencari dan mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk diketengahkan. Pasukan ini perlu memulakan tugasan mereka mulai sekarang dengan segera. Ahli jawatankuasa ini juga boleh berperanan menghasilkan formula yang diidamkan.

Semoga kerjasama erat pihak-pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung seperti KPT, IPT, golongan akademia, Profesor Ulung dan juga Majlis Profesor Negara mampu mencipta formula mujarab untuk merealisasikan impian negara melahirkan pemenang Hadiah Nobel menjelang tahun 2020.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.