Detik 2:15 petang, tanggal 31 Ogos 2011, selesailah segala urusan duniawi Dato’ Dr. Hassan Ahmad, tokoh bahasa yang berwibawa dan disegani ramai. Pemergian Allahyarham menemui Ilahi meninggalkan kenangan yang amat bernilai bagi seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Impaknya terhadap dunia kebahasaan cukup mendalam; gagasan dan semangatnya yang tinggi menyirnakan keraguan terhadap keteguhan perjuangan bahasa.

Falsafah peribahasa pantang berundur sebelum selesai berjuang terpancar pada semangat juangnya yang tinggi dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bumi Malaysia. Bahasa menunjukkan bangsa, bahasa jiwa bangsa. Maka baginya, selagi hayat dikandungi badan, menjadi amanah dan tanggungjawabnya untuk terus mara mempertahankan jati diri bangsa sekalipun terpaksa menongkah arus yang penuh getir.

Demikian cintanya terhadap bahasa dan bangsanya yang semakin hari semakin hilang kekuatan dan keyakinan. Dalam soal bahasa juga, masing-masing goyah dan bertentangan pendirian, sedangkan bahasa yang diperjuangkan itulah yang mengangkat martabat bangsa sesebuah negara. Atas semangat bahasa mengekalkan jati diri bangsa itulah, Allahyarham tidak pernah berganjak dari landasan perjuangannya.

Penentangannya terhadap pengenalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimanifestasikan melalui Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuainya. Dalam usia sudah menjangkau 70-an, Allahyarham bersama-sama dengan rakan seperjuangan nekad mengadakan Perhimpunan Aman pada 7 Mac 2009 dan berarak membawa memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Akhirnya Kabinet memutuskan PPSMI dimansuhkan pada 2012 kerana gagal membina dan membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) diperkenalkan,bagi menggantikan PPSMI. Dewasa ini, tuntutan keperluan melaksanakan dasar PPSMI hangat ditimbulkan semula. Hal ini amat mengecewakan Allahyarham.

Kini suara lantang nama besar itu tidak akan kedengaran lagi; namun ketiadaannya tidak akan membungkam anak bangsa yang memahami erti hak, budi dan setia. Hal ini adalah kerana juzuk keberaniannya meresap ke dalam saraf dan memberikan kekuatan kepada mereka yang patriotik untuk meneruskan perjuangan yang nyata belum selesai.

Ketokohan dan keberaniannya menjadi kenangan abadi keluarga, sahabat handai dan mereka yang berpengalaman bersamanya. Pengalaman semasa menjadi Editor Dewan Budaya dan Allahyarham kolumnisnya mengajar supaya berani bertindak serta bijak menangani isu dan mengendalikan situasi. Pernah kami berhujah tentang etika kewartawanan, kebebasan menulis, dasar penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan tentulah bahasa.

Sehingga tarikh peninggalannya, Allahyarham kolumnis Dewan Masyarakat. Sesungguhnya banyak yang kami pelajari daripada teguran dan tunjuk ajar mantan Ketua Pengarah kami ini.

Al-Fatihah. Doa buat Allahyarham agar dirahmati-Nya dan berada di sisi orang yang beriman.

- Padilah Haji Ali

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.