Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

Demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan – begitulah sistem pemerintahan di Malaysia. Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan setiap lima tahun sekali apabila Parlimen secara rasminya dibubarkan dan mendapat perkenan oleh Yang diPertuan Agong.

Apabila berlangsungnya PRU, kuasa rakyat mengatasi segala-galanya. Bagi rakyat, inilah detik yang ditunggu-tunggu untuk mereka menterjemahkan kehendak mereka di kertas undi. Mereka berhak “menghukum” mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak memenuhi kehendak mereka.

Pendek kata, bagi pemimpin yang gagal melunaskan tanggungjawab, jangan bermimpi untuk terus berada di kerusi empuk sama ada di peringkat Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bukti yang nyata sudah pun diterjemahkan dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, apabila berlakunya tsunami politik dengan perubahan pentadbiran seperti yang berlaku dalam PRU pada 1968. Pada PRU ke-12, parti pemerintah kehilangan majoriti dua per tiga dan pada masa yang sama kehilangan lima buah negeri yang dikuasai sebelum itu.

Namun, keadaan ini dianggap sebagai “percubaan” rakyat untuk merasai sendiri detik perubahan yang dijanjikan oleh pihak pembangkang melalui manifesto yang mereka canangkan. Rakyat membuat percaturan terhadap masa depan mereka untuk memberikan peluang kepada parti baharu melaksanakan tanggungjawab.

Hakikatnya, keadaan ini tidak bersifat kekal kerana jika perkara yang dijanjikan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya, maka tunggulah PRU ke-13, rakyat sekali menterjemahkan hasrat mereka di kertas undi.

Sebut sahaja pilihan raya, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat besar dalam memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, badan bebas ini juga tidak terlepas daripada tohmahan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya.

SPR sering kali dituduh menjadi “alat” untuk memastikan parti pemerintah terus berkuasa. Malah, terdapat suara yang membuat andaian kononnya jika SPR benar-benar telus, Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja mampu merampas lima buah negeri dan menambah bilangan kerusi Parlimen, tetapi mereka sudah pun berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan sekali gus memerintah Malaysia!

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.