Kerap kali pandangannya melawan arus. Baginya, tiada kompromi dalam menegakkan sesuatu yang hak dan menentang sesuatu yang batil. Bukan mudah mematahkan hujah-hujah konstruktif tokoh budayawan yang sarat dengan fakta, kritikan dan pengalaman ini.

Penulis masih ingat peristiwa dalam sebuah seminar yang penulis hadiri di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada penghujung 2004. Seminar yang diadakan sempena penubuhan IIM itu antara lain membicarakan keberkesanan kempen memerangi rasuah yang dijalankan di negara ini.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan turut dihadiri kebanyakan Menteri Kabinet. Selepas menyampaikan ucap utama dalam majlis perasmian tersebut, Perdana Menteri “bermurah hati” untuk membuka sesi soal jawab dengan peserta seminar.

Penulis masih ingat, peserta pertama yang bangun bertanya soalan di tengah-tengah ratusan orang peserta itu ialah seorang tokoh budayawan yang sangat penulis kenali. Beliau secara sinis bertanya Perdana Menteri tentang keberkesanan program yang dianjurkan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah, sedangkan pemimpin politik dan penjawat awam sendiri cukup sinonim dengan amalan terkutuk itu.

Beliau mengemukakan banyak bukti dan fakta yang diambil daripada pelbagai sumber untuk mengukuhkan persoalannya. Bahkan, beliau turut membandingkan kempen memerangi rasuah di negara ini dengan beberapa buah negara di dunia yang menjalankan kempen yang sama.

Semua peserta terdiam mendengar ketajaman soalan dan hujahnya. Bahkan, Perdana Menteri turut “mengalah” dan mengakui bahawa masih banyak perkara yang perlu diteliti dalam usaha memantapkan kempen memerangi rasuah di negara ini.

Namun suara lantang dan kritikan pedas budayawan terbilang tersebut pasti tidak kedengaran lagi. Beliau kembali menghadap pencipta-Nya pada petang 31 Ogos 2011, bersamaan dengan 2 Syawal 1432 Hijrah.

Penulis berasa seolah-olah baru semalam “berdebat” dengannya tentang topik penulisannya yang mahu diterbitkan dalam Dewan Masyarakat. Sebagai salah seorang kolumnis majalah Dewan Masyarakat, setiap bulan beliau menghantar penulisannya untuk dinilai dan disunting oleh penulis.

Yang menariknya, kadangkala dalam bulan tertentu penulis terpaksa “berdebat” dengan beliau jika penulis terpaksa memotong penulisannya yang terlalu panjang. “Operasi” memendekkan tulisannya ini bukan mudah kerana setiap perkataan, ayat, mahupun perenggan yang terkandung dalam penulisannya mempunyai pertautan yang cukup kemas dan sarat dengan mesej yang tersurat mahupun tersirat.

Penulis khuatir jika tindakan penulis memotong tulisannya tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu menjejaskan koherensi tulisannya. Sering kali kami terpaksa “berdebat” terlebih dahulu sebelum memutuskan perenggan atau ayat yang mana patut dipotong dalam penulisannya. Bagi penulis, kesempatan berdebat dengannya merupakan pengalaman yang cukup berharga untuk memantapkan pemikiran penulis.

Penulis pasti merindui untuk mendengar, menyunting, dan membaca lagi hujah-hujah hebatnya. Beliau benar-benar mempunyai kelas pemikirannya yang tersendiri. Beliau benar-benar seorang tokoh budayawan yang sukar dicari ganti – Dato’ Dr. Hassan Ahmad, bekas kolumnis Dewan Masyarakat, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, bekas Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, dan bekas Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan. AlFatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat.

- Mohd. Shukri Mohd. Ariff

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.