Oleh Muhammad Abi Sofian Abdul Halim

Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyuarakan pandangan berkenaan dengan pembiayaan subsidi yang perlu dikurangkan secara beransur-ansur dalam usaha kerajaan menambah baik kewangan kerajaan.

Antara pendekatan yang lebih efektif dalam hal ini termasuklah mengurangkan subsidi dan bantuan kepada golongan usahawan Melayu melalui peningkatan keupayaan mereka menguruskan perniagaannya sendiri dan mampu berdikari untuk bergerak dengan lebih jauh.

Sebelum ini, kerajaan mengambil tanggungjawab penuh untuk membangunkan usahawan Melayu supaya lebih berupaya mengawal lokus kawalan dalaman supaya lebih berdikari, berani mengambil risiko, mempunyai keyakinan diri, berupaya mengawal diri sendiri, serta keinginan untuk merealisasikan idea kepada kenyataan.

Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk membangunkan usahawan Melayu kepada satu tahap yang boleh dibanggakan dan setaraf dengan bangsa lain sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara.

Beberapa badan dan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pembangunan Luar Bandar, dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), dipertanggungjawab untuk membina sikap usahawan Melayu berfokuskan kepada peningkatan kemahiran dan membentuk usahawan yang berilmu dan bijak dalam berniaga. Selari dengan matlamat ini, pihak kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memberi latihan keusahawanan dan subsidi perniagaan. Persoalannya, benarkah usahawan Melayu lemah lokus kawalan dalaman?

Beberapa ahli akademik ilmu keusahawanan dari Barat seperti McClelland, Littunen, Rotter, dan Schumpter dalam penyelidikan yang dilakukan menyatakan bahawa pendekatan lokus kawalan dalaman adalah antara faktor utama pembentukan personaliti usahawan yang baik.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.