Oleh Sivamurugan Pandian
Bandar Raya Kuala Lumpur sepi pada 9 Julai 2011. Suasana sepi ini berlaku ekoran meletusnya perhimpunan haram yang dianjurkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Warga kota terpaksa membatalkan rutin harian mereka untuk mengelak daripada berlakunya peristiwa yang tidak diingini.
Kedai, kompleks beli-belah, dan sistem pengangkutan awam dihentikan sementara operasinya. Yang kelihatan hanyalah mereka yang menyertai perhimpunan haram serta kumpulan pemerhati yang mahu melihat sendiri peristiwa bersejarah itu.
Hujan yang turun pada tengah hari 9 Julai itu mungkin ada hikmahnya. Kuala Lumpur yang gah pada mata dunia menjadi kerdil pada hari itu. Bagi peserta perhimpunan haram dan pihak berkuasa keselamatan, masing-masing ada peranan dan watak yang perlu dimainkan.
Dari jalanan hingga ke alam siber, isu perhimpunan haram ini menjadi perhatian. Panas di alam siber tidak ada perubahan suhu berbanding dengan hujan yang turun pada 9 Julai yang menyejukkan suasana persekitaran Kuala Lumpur.
Pelbagai isu sampingan memberikan ruang kepada perhimpunan haram ini mendominasi topik perbincangan di ruang media arus perdana mahupun alternatif. Masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengupas perjalanan perhimpunan haram tersebut. Sama ada kesemua pihak memahami kesan penganjuran perhimpunan haram hanya mampu dijawab oleh penganjurnya.
Apakah yang boleh dipelajari daripada perhimpunan haram kali ini sekalipun bilangan yang hadir tidak sama berbanding dengan perhimpunan haram sebelumnya? Adakah pihak keselamatan yang menjalankan tanggungjawab mereka mempertahankan “keselamatan” terus menerus dikritik?
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat September 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.