Oleh HARIS ZALKAPLI

Keganasan yang dicetuskan oleh Anders Behring Breivik di Oslo, Norway pada 24 Julai lalu menjadi satu bukti nyata pengaruh fahaman militan sayap kanan yang kuat didasari fahaman Kristian. Sebelum itu, insiden serangan pengganas di Bandar Oklahoma, Amerika Syarikat pada tahun 1995 oleh seorang militan Kristian antikerajaan memberi gambaran tentang potensi serangan ganas golongan tersebut.

Kedahsyatan serangan militan kulit putih di Amerika Syarikat, walau bagaimanapun ditenggelami serangan 11 September enam tahun kemudian, yang mengalih tumpuan hampir sepenuhnya kepada orang Muslim. Di kedua-dua belah Lautan Atlantik, potensi besar terorisme didasari fahaman Kristian, kini amat dirasakan, lebih-lebih lagi ekoran perkembangan terkini yang menyaksikan kebangkitan individu dan kumpulan ekstremis berhaluan kanan.

Seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders, secara konsisten menyuarakan pendirian anti-Islam secara terbuka dan mendapat sokongan, walaupun dalam jumlah yang agak kecil. Malah Wilders turut terlibat dalam pembikinan filem anti-Islam berjudul Fitna pada tahun 2008, yang mencetuskan kemarahan ramai umat Islam di seluruh dunia.

Di Jerman sejak beberapa tahun lalu, kumpulan Kristian antipendatang mengadakan kempen agresif bagi menentang pembinaan masjid oleh komuniti Muslim di negara tersebut. Perancis pula pada tahun lalu menghalakan tumpuan kepada rakyat Muslimnya apabila mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam. Di seluruh Eropah, sentimen anti-Muslim dan antiimigran – yang sering menjadi satu perkara yang sama – semakin kerap diperhatikan dalam arus perdana negara rantau tersebut. Kumpulan ultra nasionalis, neo-Nazi dan pelbagai lagi muncul menyertai debat dan mengambil posisi antiimigran.

Eropah menjadi destinasi migrasi utama dunia pada masa kini, yang meningkat sejak tertubuhnya Kesatuan Eropah. Menurut laporan, pada 2005, dianggarkan 64 juta pendatang mendiami Eropah, 42 peratus lebih tinggi berbanding dengan kedua-dua destinasi popular lain, iaitu Amerika Syarikat dan Kanada.

Hakikatnya, imigran ke Eropah terdiri daripada pelbagai etnik, termasuk yang berpindah dari Eropah Timur ke Eropah Barat. Walau bagaimanapun, kedatangan Muslim ke benua majoriti Kristian itu mencetuskan keresahan yang tidak sepadan, dan persepsi terorisme oleh Muslim yang juga tidak sepadan. Menurut tinjauan Europol, antara tahun 2006 hingga 2008, empat peratus cubaan serangan ganas di Eropah dilakukan oleh kumpulan Muslim. Majoritinya, sebanyak 85 peratus, dilakukan oleh mereka yang bermotif pemisah.

Perkembangan ini selari dengan perubahan global yang melanda Eropah yang semakin hebat sejak lebih sedekad lalu. Kedatangan beramai-ramai imigran Muslim, perubahan politik dan ekonomi global menjejaskan pengaruh Eropah secara relatif. Kebanjiran imigran dari Afrika Utara dan Asia Barat mengubah realiti sosial Eropah dengan lebih dramatik sejak kebelakangan ini. Minoriti Algeria di Perancis dan minoriti Turki di bandar besar Jerman menjadi tumpuan dalam wacana nasional, pada peringkat akademik dan juga popular.

Pelbagai isu, termasuk hambatan terhadap ekonomi negara dan isu politik mewarnai debat berkaitan kaum pendatang terbabit. Islamofobia, tidak dapat dielakkan lagi, menyertai wacana isu ini, membawa kepada satu pandangan yang menyifatkan Muslim sebagai ancaman dan bakal menguasai Eropah. Hal ini mencetuskan keresahan kumpulan sayap kanan, sehingga mendorong mereka muncul di ruang politik, bersama mesej anti-Islam dan anti-imigran.

Kemunculan individu seperti Breivik yang bertindak melakukan serangan ganas terhadap orang awam tidak dapat dielakkan daripada dikaitkan dengan peningkatan penerimaan fahaman militan Kristian. Idea yang dibawa Breivik dan pengulas anti-Islam di Barat mempunyai elemen Kristian yang kuat, dengan perancangan luar biasa seperti membawa penganut Kristian di Asia Barat ke Eropah. Tindakan ganas Breivik yang mengorbankan lebih 70 nyawa, perlu menjadi satu sebab kukuh untuk menilai semula fahaman berleluasa yang mengaitkan terorisme secara eksklusif dengan Islam. Hal ini jelas kerana apa yang mendasari tindakan militan etnik Norway itu ialah fahaman berhaluan kanan dan Kristian – walaupun menurut satu tafsiran yang ekstrem – dan bukan sosialisme atau ideologi lain.

Di Amerika Syarikat, satu perkembangan bersejarah menjadi satu titik perubahan yang memberi kesan kepada kumpulan militan Kristian. Kemenangan Barack Hussein Obama sebagai presiden Amerika Syarikat lebih dua tahun lalu disambut berbeza oleh dua kelompok berbeza ideologi. Golongan liberal menganggapnya sebagai catatan sejarah penting dalam politik Amerika Syarikat, yang didakwa membuka pintu sikap lebih inklusif dan lebih “buta warna.”

Kelompok konservatif pula melihat kemenangan lelaki kulit hitam yang disangka sesetengah mereka sebagai beragama Islam itu sebagai petanda buruk keruntuhan nilai-nilai konservatif, termasuk nilai kekeluargaan. Pandangan itu disebabkan sokongan kuat liberal – termasuk golongan gay – terhadap Obama, disertai kecaman teruk terhadap konservatif dalam pelbagai bidang.

Dalam kelompok konservatif, rata-rata orang berkulit putih termasuk dalam kumpulan militia sayap kanan Kristian yang memenuhi kawasan barat dan tengah Amerika Syarikat. Kehadiran Obama di Rumah Putih disertai dengan perkembangan besar dalam politik dunia, termasuk peningkatan kuasa politik dan ekonomi China dan pertambahan wacana berkaitan Islam yang dikait dengan terorisme yang semakin meluas. Perkembangan itu mencetuskan keresahan golongan konservatif kulit putih Amerika Syarikat.

Di bawah Obama, isu keganasan yang dikait dengan Islam tidak berbeza berbanding dengan permulaan era yang disifatkan sebagai pasca-911 di bawah pimpinan George W. Bush. Cubaan pengeboman di ruang udara Detroit, Michigan pada penghujung 2009, operasi tentera Amerika Syarikat di Pakistan, Afghanistan dan Iraq yang muncul di arus perdana politik Amerika Syarikat menjadikan berita berhubung terorisme yang dikait dengan Islam mudah diperhatikan.

Malah, pada tahun lalu, ulang tahun kesembilan serangan 11 September, 2001 diingati oleh seorang pemimpin agama Kristian, Paderi Terry Jones dengan rancangan membakar al-Quran. Kejadian di Michigan menjelang Hati Natal itu, dalam perkembangan ini, mempunyai signifikan tersendiri. Negeri itu, menurut sebuah badan bukan kerajaan yang memantau kumpulan pelampau tempatan, mempunyai jumlah militia kedua terbesar selepas Texas.

Menurut kumpulan tersebut, Pusat Perundangan Kemiskinan Selatan (SPLC), Texas mempunyai 57 kumpulan militia antikerajaan manakala Michigan mempunyai 47 kumpulan. Menurut SPLC lagi, sejak kemunculan Obama untuk menguasai Rumah Putih, kumpulan militia kulit putih sayap kanan meningkat, iaitu daripada 149 kepada 512 sepanjang 2008 hingga 2009. Menurut pemerhati itu, kumpulan militia berkembang dan menjadi lebih aktif apabila kerajaan pusat di Washington dikuasai kumpulan liberal.

Jabatan Negara Amerika Syarikat turut mengeluarkan satu laporan memberi amaran tentang potensi bahaya kumpulan militia sayap kanan tersebut yang semakin meningkat jumlahnya. Perkembangan terbaharu ini mendedahkan satu penyelewengan dalam wacana berkenaan terorisme hari ini, yang mengaitkan terorisme secara sangat rapat dengan Islam dan pengikutnya. Akhbar berpengaruh seperti New York Times, Washington Post, Financial Times dan Telegraph terjerumus dalam perangkap Islamofobia mereka sendiri apabila sejak awal mengaitkan kejadian itu dengan kumpulan Muslim, tanpa sebarang bukti atau petunjuk yang jelas.

Satu contoh jelas ialah kolumnis konservatif akhbar Washington Post, Jennifer Rubin yang dengan yakin mengaitkan serangan itu dengan kumpulan Muslim, dan mengambil kesempatan mengkritik usaha mengawal peningkatan peruntukan pertahanan Amerika Syarikat. Pendedahan bahawa suspek kejadian adalah seorang etnik Norway beragama Kristian, menjadi berita yang mengejutkan kerana pesalahnya bukan Muslim.

Malah, selepas pendedahan itu, masih banyak media terus menyebut al-Qaeda tidak mempunyai kaitan dengan kejadian itu, malah menyebut pelaku pembunuhan itu mengambil contoh daripada kumpulan pengganas tersebut. Tafsiran ekstrem Islam yang menyeleweng oleh sekumpulan kecil boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang berpunca daripada Islam atau sebahagian ajaran Islam, lalu pengganas Muslim disebut sebagai terlibat dalam “terorisme Islam.”

Pada masa yang sama, jarang sekali istilah “terorisme Kristian” digunakan, dan ajaran agama itu cuba untuk tidak dikait dengan tindakan ganas pengikutnya. Komentar segera dan tergesa-gesa ekoran serangan di Oslo itu juga mendedahkan pandangan yang salah berhubung isu terorisme. Malah mereka turut mengelak menggunakan istilah terorisme apabila tidak melibatkan Muslim.

Peristiwa berdarah di Norway itu memberi peringatan tentang potensi ekstremisme Kristian sayap kanan di dunia Barat, yang selama ini agak tidak diberi perhatian berbanding dengan kumpulan yang dianggotai Muslim. Insiden tersebut memberi bukti terbaharu tentang wacana yang terpesong yang dikuasai kepentingan politik dan juga ekonomi sekelompok elit kuasa Barat.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.