WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.227.104.40' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.227.104.40','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Siapa Tiru Siapa? ','/?p=1961','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Razeman Jamaludin

Asia menerima perkhabaran yang cukup menggembirakan apabila pasukan bola sepak wanita Jepun berjaya menamatkan penantian lebih 20 tahun dengan menjuarai Piala Dunia wanita yang berlangsung di Jerman bermula 26 Jun dan berakhir pada 17 Julai yang lalu. Kemenangan pasukan yang mendapat julukan Nadeshiko Japan ini bukan sahaja membanggakan seluruh rakyat negara matahari terbit itu, malah masyarakat Asia juga turut menerima tempias kejayaan tersebut. Masakan tidak, buat julung kalinya, piala berprestij ini berjaya dirangkul dan “dikuasai” oleh negara Asia.

Sebelum itu, Jepun telah beberapa kali mencuba, namun gagal meraih kejayaan. Bermula edisi pertama di China pada tahun 1991, pasukan Jepun bukanlah sebuah pasukan yang mampu memberikan saingan sengit kepada kuasa besar bola sepak wanita seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Brazil. Namun, atas daya usaha yang tidak pernah jemu, serta susunan pembangunan bola sepak wanitanya yang berterusan menyebabkan Jepun bukan lagi hadir sebagai pasukan yang hanya mengisi slot pertandingan.

Jika dilihat pembangunan bola sepak wanita Jepun, ia bermula pada tahun 1980 apabila All-Japan Women’s Football Championship diadakan bagi memilih wanita terbaik mewakili pasukan kebangsaan Jepun. Ekoran sambutan yang begitu menggalakkan dengan tertubuhnya kelab bola sepak wanita di Jepun, langkah drastik telah diambil bertujuan memastikan usaha melahirkan bakat yang mampu menjulang nama Jepun dalam arena bola sepak ini benar-benar dilaksanakan dengan jayanya.

Pada tahun 1989, Persekutuan Bola Sepak Jepun (JFA) bersetuju untuk mewujudkan pertandingan secara liga bertaraf profesional kepada peminat bola sepak wanita. Maka, Japan Women’s Football League (L.League) mula diadakan dan hasil pertamanya dapat disaksikan apabila pada tahun 1991, Jepun berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia Wanita yang berlangsung di China.

Selepas kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia Wanita tersebut, Jepun tidak menoleh ke belakang lagi dan terus menyusun program pembangunan bola sepak yang tersusun sebagaimana yang dilakukan oleh pasukan kebangsaan lelakinya. Jika dilihat, pembangunan yang direncanakan cukup rapi dan teratur sehinggakan pasukan bawah 20 tahun dan 17 tahun negara tersebut berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia bagi kategori masing-masing.

Kini, Jepun antara pasukan yang bukan sahaja digeruni lawan, malah terkenal sebagai pasukan Asia yang sukar ditumbangkan. Menurut Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), pasukan wanita Jepun sehingga Mac 2011 menduduki kedudukan keempat terbaik dunia dalam ranking FIFA. Selepas memenangi Piala Dunia baru-baru ini, ranking Jepun mungkin meningkat lagi.

Seperti pasukan kebangsaan wanitanya, skuad Blue Samurai yang diberikan kepada pasukan kebangsaan lelakinya juga tidak kurang hebatnya. “Raja Asia” ini bukan sahaja berjaya pada peringkat Asia, malah sejak layak buat julung kalinya ke pusingan akhir Piala Dunia pada tahun 1998 di Perancis, Jepun antara negara “wajib” yang tersenarai sebagai 32 pasukan terbaik di dunia ke pertandingan utama di muka bumi ini.

Yang menariknya, pemain dari negara yang terkenal dengan semangat “kamikaze” ini bukan sahaja menarik minat kelab utama di Asia, malah turut diminati beberapa kelab utama dunia yang bersaing di Eropah. “Hasil” ini menunjukkan pembangunan yang sistematik yang dijalankan oleh JFA telah berjaya dan menemukan kecemerlangan yang berterusan. Persoalannya, mengapakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh mengikuti jejak langkah yang dijalankan oleh JFA?

Umum mengetahui, negara ini telah pun mempunyai skuad kebangsaan yang digeruni bermula era 1950-an yang dikenali sebagai pasukan bola sepak Malaya. Ketika itu, sebut sahaja pasukan dari Asia, mudah sahaja dijinakkan oleh skuad “Harimau Malaya” ini. Malah, yang paling membanggakan, skuad kebangsaan ini berjaya mara ke sukan Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1972 di Jerman dan 1980 di Moscow, Russia.

Pencapaian ini suatu rekod yang sungguh membanggakan negara kerana berjaya berdiri sebaris dengan pasukan-pasukan handalan dunia. Situasi ini semuanya bermula dan berpunca daripada tertubuhnya liga domestik yang berjaya mencungkil bakat-bakat luar biasa di Malaya pada masa itu. Piala Malaya merupakan piala yang mula dipertandingkan sejak 1920-an lagi.

Kejohanan tertua di Asia ini sebenarnya menjadi titik tolak kejayaan skuad kebangsaan di arena antarabangsa. Daripada kejohanan ini jugalah, Harimau Malaya pernah menjinakkan nama-nama besar kuasa bola sepak pada masa ini seperti England, Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan pasukan hebat di Asia yang lain. Persoalannya, mengapakah kini, prestasi negara kian merosot dan masih terkial-kial melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia?

Jika diamati dengan teliti, J-League yang diperkenalkan bermula pada tahun 1992 adalah “klon” yang dipelajari daripada Malaysia. Melalui liga domestik yang berjaya disusun dan direncanakan dengan baik, Jepun berjaya muncul sebagai kuasa Asia. Bukan sahaja liganya berjaya menarik minat nama besar dan pemain kebangsaan negara lain berhijrah ke Jepun, malah pemain Jepun sendiri “laris” di pasaran pemindahan pemain menjelang musim baharu liga, terutama Eropah.

Agak lucu bunyinya, Jepun yang meniru cara dan kaedah pertandingan di negara ini telah pun berjaya dan menempah nama pada peringkat yang lebih tinggi, tetapi negara yang “gah” dengan kejohanan tertua di Asia ini masih kekal pada takuk yang lama dengan perubahan format pertandingan pada setiap tahun.

Baru-baru ini pula, setelah sekian lama menjadi skuad belasahan dalam setiap kejohanan yang disertai, FAM baru bangun daripada “tidurnya” dengan memperkenalkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan yang berlangsung dalam bentuk karnival dari 24 Julai hingga 30 Julai 2011. Tujuan utamanya tidak lain mencari bakat baharu untuk menyarung jersi kebangsaan negara.

Langkah ini menampakkan “kematangan” FAM dalam usaha meningkatkan kualiti permainan dan pemain wanita. Namun yang menjadi tanda tanya ialah mengapakah kejohanan ini baru diperkenalkan? Bukankah lebih baik jika setiap negeri yang bertanding dalam Liga Super mempunyai skuad wanita, jika benar-benar ingin meningkatkan dan memajukan bola sepak wanita?

Seperti biasa, dilihat FAM seolah-olah tidak habis-habis dengan melakukan “testimonial” terhadap apa-apa yang dilakukan. Baik dalam liga semi pro hinggalah ke Liga Super yang diperkenalkan. Keadaan ini sebenarnya membantut dan merencatkan pembangunan yang ingin dirancang oleh negeri mahu pun kelab yang menyertainya.

Jika dilihat J-League waima liga di negara mana sekalipun, mereka tidak akan menukar format pertandingan dalam tempoh terdekat mahupun setahun dua. Hal ini kerana setiap apa-apa yang ingin ditambahbaikkan memerlukan perlaksanaan serta kajian yang terperinci bukannya sekadar “mencuba” format baharu.

Dulu Jepun meminjam konsep liga yang dilakukan oleh FAM untuk pembangunan bola sepak kebangsaannya. Kini, tidak mustahil pula FAM perlu “berguru” dengan JFA untuk meneliti dan melihat rancangan pembangunan bola sepak wanitanya jika benar-benar ingin memastikan pasukan bola sepak wanita negara berjaya.

Mungkin formula “klon” yang dilaksanakan oleh Jepun boleh diaplikasikan oleh negara dan membawa kejayaan kepada skuad kebangsaan. Jepun berjaya kerana meniru Malaysia dalam format liga domestiknya. Tiba masanya, Malaysia “meniru” format Jepun dalam membina pasukan wanita kebangsaannya, siapa tiru siapa, tepuk dada tanya mereka.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.