Oleh Basirone Basri

Islam sangat menitikberatkan kebersihan diri. Agama syumul ini menyediakan panduan lengkap agar umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sama ada rohani atau jasmani. Kebersihan rohani boleh dicapai melalui ibadat yang dilakukan ikhlas kepada Allah manakala kebersihan jasmani boleh dicapai antaranya melalui mandi dan menjaga persekitaran supaya kekal bersih dengan cara tidak membuang sampah merata-rata.

Sungai yang dahulunya boleh diminum airnya sudah tidak selamat lagi sekarang. Pelbagai sampah sarap baik mudah dilihat terapung dibawa arus sungai. Sangat menjijikkan apabila sungai yang sepatutnya ditatang seperti minyak yang penuh kini dianaktirikan oleh masyarakat kita.

Identiti masyarakat boleh dinilai melalui kebersihan tempat tinggal dan lebih besar lagi kebersihan negara. Setelah berakhir sambutan sesuatu perayaan, kawasan yang sebelumnya sesak dengan orang diganti dengan sesak dengan sampah. Oh … malangnya! Jiwa kita masih tidak merdeka dalam aspek kesedaran kebersihan dan kecintaan kepada negara.

Apabila mula membaca majalah Dewan Masyarakat keluaran Januari bertajuk kita semakin pengotor, mula-mulanya saya menganggap sidang editor seperti sudah tiada isu lain yang boleh diperkatakan. Namun setelah menghabiskan pembacaan, baru saya terfikir kepentingan isu ini. Tidak dinafikan isu sebegini mungkin sudah basi dan dianggap klise dalam masyarakat tetapi hakikatnya isu ini perlu sentiasa diketengahkan. Hal ini demikian kerana dengan cara itulah dapat mengingatkan masyarakat yang sering “terlupa” akan hal yang penting ini.

Penjagaan kebersihan bermula daripada kecil. Didikan yang sempurna dan pendedahan yang cukup oleh orang dewasa terutamanya ibu bapa dan guru memainkan peranan yang besar dalam memastikan anak yang meningkat usia dilatih menjadi insan yang pembersih dari segi diri dan persekitaran.

Kelab pencinta alam (KPA), yang dilancarkan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia adalah salah satu bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan alam dijaga dengan sebaiknya. Namun kelab sahaja tidak berguna jika tiada pengisian yang aktif dan berterusan dalam memastikan objektif penubuhannya tercapai.

Setelah negara hampir menuju sambutan kemerdekaan yang ke-54 akhir bulan ini, tiada maknalah jika kita hanya bersorak melaungkan kata-kata keramat “merdeka” tetapi dalam masa yang sama meninggalkan sisa buangan sampah sarap sebagai bukti cinta kepada negara.

Share

1 Maklum Balas

  1. Elina Sohor Komen:

    Salam,

    Buat saya, isu kebersihan merupakan isu yang penting buat bila-bila masa kerana kerelevannya melebihi kepentingan politik dan kemasyarakatan sesuatu negara. Kebersihan merangkumi bukan sahaja hal kemasyarakatan, tetapi alam flora dan fauna yang sangat berkait dengan tujuan Tuhan menciptakan manusia di bumi sebagai wakilnya. Satu hal lagi mengapa isu ini tidak patut dipandang remeh dan perlu selalu disiarkan oleh pihak editorial adalah, hal ini juga berkait rapat dengan sikap (yang juga dipanggil akhlak atau adab dalam Islam). Sikap kebersihan amat memancarkan betapa “betul”nya perjalanan masyarakat kita untuk mencapai “masyarakat madaniah” atau memenuhi wawasan masyarakat berilmu dan bertamadun. Rahsia sebenar masyarakat yang “hebat” adalah atas penjagaan mereka terhadap adab ketertiban dan akhlak yang betul, baik untuk diri sendiri, keluarga, dan masyarakat amnya. Kebersihan merupakan “hasil” nilai ukur yang dapat kita lihat, betapa “berjaya” atau “gagal” masyarakat kita memenuhi asppirasi untuk menunjukkan mereka boleh menjadi masyarakat berbudaya cemerlang. Jika dilihat dengan kekotoran yang ada di sekeliling kita, dengan sikap pembuangan kita yang tidak terjaga dan sambil-lewa, persoalan “masyarakat madaniah” ini masih boleh dipersoalkan, akan berjayakah kita mencapainya?

    Dihantar pada 8 September, 2011, 10:31 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.