WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.224.103.239' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.224.103.239','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Gerakan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perjuangkan Kepentingan Masyarakat','/?p=1957','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Zaheruddin Othman

Tidak ramai dalam kalangan rakyat yang benar-benar faham metodologi (kaedah) gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebaliknya, ramai beranggapan bahawa pertubuhan bukan kerajaan hanyalah sebuah gerakan yang hanya menumpukan kepada hal menjaga kebajikan warga tua ataupun kanak-kanak sahaja. Namun begitu, perkembangan mutakhir politik negara yang menyaksikan penglibatan besar badan bukan kerajaan bersama parti pembangkang menganjurkan demonstrasi, telah membuka mata serta mengubah pandangan banyak pihak. Antara persoalan yang dilontarkan ialah, apakah pertubuhan badan bukan kerajaan sudah berubah arah, dari menjaga kebajikan kepada politik? Atau, apakah makna sebenarnya pertubuhan bukan kerajaan ini?

Di Malaysia, pada umumnya pertubuhan merujuk kepada persatuan, kelab atau badan yang bergerak berasaskan keahlian mengandungi sekurang-kurangnya tujuh orang ahli atau lebih serta mempunyai tujuan tertentu, sama ada kekal atau sementara dan didaftarkan mengikut Seksyen 7, Akta Pertubuhan, 1966. Pertubuhan bukan kerajaan merujuk kepada sebuah organisasi terdiri daripada ahli yang dikumpulkan untuk memenuhi keperluan masyarakat melalui penyediaan perkhidmatan. Organisasi ini merupakan sebuah badan yang sah dan berdaftar, iaitu semua urusan berpandukan kepada dasar dan peraturan pertubuhan seperti mana ditetapkan dalam perlembagaan dan undang-undang.

Lazimnya, pertubuhan bukan kerajaan dicirikan melalui beberapa petunjuk. Pertama, penubuhannya dilakukan oleh sekumpulan individu dengan tujuan melindungi kepentingan masyarakat awam; kedua, penubuhannya bukan bertujuan kebendaan dan keahliannya lebih bersifat sukarela. Tiada sebarang syarat khusus dikenakan kepada individu yang ingin menyertainya. Jika adapun, hanya terikat kepada objektif dan motif organisasi yang ingin disertainya sahaja; dan ketiga, aktiviti dijalankan tidak bersifat mencari keuntungan, malahan lebih menjurus memenuhi tanggungjawab sosial. Penglibatan ahli dalam aktiviti pertubuhan bukan kerajaan banyak dilakukan pada masa lapang seperti pada cuti hujung minggu.

Kemunculan pertubuhan bukan kerajaan bermula di Eropah Barat dan Amerika Utara pada abad ke-19, dalam bentuk kumpulan sekerja, koperasi, pelindungan pengguna dan wanita. Di Asia Tenggara, pertubuhan bukan kerajaan telah lama wujud seperti mana di Indonesia, Filipina dan Thailand. Di Malaysia, kewujudan pertubuhan bukan kerajaan hanya terkesan selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Peristiwa 13 Mei 1969, telah menyebabkan parlimen Malaysia digantung dan pemerintahan negara diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Ketika di bawah pemerintahan MAGERAN, kegiatan parti pembangkang hampir lumpuh. Penguatkuasaan undang-undang dan akta oleh pemerintah telah menyebabkan kebanyakan pemimpin parti pembangkang berada dalam trauma politik terutama dalam perkara menyentuh soal perhubungan kaum. Hal ini berlaku kerana ketika itu isu perkauman sangat sensitif dan dilarang keras untuk dibincangkan secara terbuka.

Akibat dari kelembapan parti pembangkang bertindak sebagaimana sepatutnya dan proses demokrasi yang semakin suram, beberapa individu telah mula bertindak menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan. Usaha ini dilakukan dengan harapan dapat menyuburkan kembali sistem demokrasi serta memastikan kepentingan umum akan terus terpelihara. Di samping itu, diharapkan penubuhan badan bukan kerajaan ini akan dapat berfungsi sebagai pemantau dasar dan tindakan oleh pihak kerajaan. Kemuncak kepada perkembangan ini, pada tahun 1981 sejumlah 115 buah pertubuhan bukan kerajaan diketuai Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) telah membentuk sebuah Jawatankuasa Penyelaras Akta Pertubuhan menentang pindaan Akta Pertubuhan 1966 seperti mana yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada April 1981. Jawatankuasa Penyelaras Akta Pertubuhan berpendapat Akta Pertubuhan 1966 (pindaan 1981) bertujuan untuk menyekat hak pertubuhan untuk mengemukakan pandangan tentang hal ehwal negara dan bersifat mengekang kebebasan hak asasi manusia. Justeru, jawatankuasa berpandangan bahawa jika akta ini diteruskan, ia boleh mengakibatkan pemerintahan negara terjerumus ke dalam corak pemerintahan kuku besi.

Di Malaysia, perjalanan organisasi pertubuhan bukan kerajaan secara amnya terikat dengan Perlembagaan Malaysia serta beberapa akta dan undang-undang bertujuan mengawal kegiatan pertubuhan tersebut. Pengawalan pihak kerajaan ini dikenakan secara langsung dan tidak langsung. Akta dan undang-undang yang mengawal secara langsung antaranya ialah Perlembagaan Malaysia, Akta Hasutan 1948; Akta Rahsia Rasmi 1972; Akta Hak cipta 1987; Akta Fitnah; Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960; Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971; dan Akta Polis 1967. Manakala akta-akta lain yang turut mengawal secara tidak langsung kegiatan badan bukan kerajaan ialah Akta Syarikat 1965. Oleh yang demikian, pada umumnya dapat dilihat bahawa kegiatan badan bukan kerajaan telah dikawal menerusi penguatkuasaan undang-undang dan akta tertentu sebagaimana yang telah dinyatakan. Persoalannya, dengan kawalan yang dikenakan oleh pihak kerajaan, bagaimanakah pihak badan bukan kerajaan dapat menjalankan kegiatan untuk memenuhi matlamat organisasi masing-masing? Apakah metodologi gerakan yang digunakan oleh mereka?

Walaupun pertubuhan bukan kerajaan terikat kepada segala macam undang-undang dan akta yang dikenakan kepada mereka, namun itu tidak menghalang pertubuhan tersebut untuk terus bergerak aktif. Di Malaysia, sejak dulu sehingga sekarang, pertubuhan bukan kerajaan masih tetap bergiat sebagai sebuah organisasi memperjuangkan kepentingan masyarakat. Sehubungan dengan itu, terdapat sarjana yang menyenaraikan kegiatan-kegiatan pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia kepada sekurang-kurangnya empat jenis kegiatan. Pertama, memberi perkhidmatan komuniti; kedua, mengadakan program berbentuk pendidikan dan latihan; ketiga, membuat penyelidikan dan penerbitan; dan keempat, memperjuangkan hak asasi manusia. Bagi kegiatan pertama, tumpuan pertubuhan bukan kerajaan adalah kepada komuniti di luar bandar dan miskin. Di antara perkhidmatan yang diberi ialah berkenaan dengan penjagaan kesihatan, pelajaran, industri kecil dan sederhana, belia dan wanita serta kanak-kanak.

Kegiatan kedua pula tertumpu kepada aktiviti mengatasi masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat luar bandar seperti di kampung dan kawasan setinggan. Di samping mengadakan kelas pembasmian buta huruf, pertubuhan bukan kerajaan turut terbabit dalam mengadakan ceramah, forum, dan persidangan. Kegiatan ketiga pertubuhan bukan kerajaan ialah membuat penyelidikan dan penerbitan. Penyelidikan yang sering dijalankan membabitkan isu ekonomi dan sosial. Misalnya, isu pencemaran alam sekitar, pembalakan haram, masalah kenaikan harga barangan dan sebagainya. Hasil penyelidikan akan diterbitkan dalam akhbar, jurnal, risalah, buku dan sebarang bentuk media massa sama ada bercetak ataupun sebaliknya.

Dalam usaha mencapai matlamat penubuhan organisasi, pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia menggunakan beberapa taktik dan strategi yang bertujuan mengurangkan kebarangkalian melanggar undang-undang dan akta yang dikenakan terhadap mereka. Tidak semua pertubuhan bukan kerajaan yang ada pada masa sekarang bersifat “anti establishment”, sebaliknya banyak daripada mereka bekerjasama dengan pihak kerajaan. Justeru, tanggapan bahawa pertubuhan bukan kerajaan sebagai “trouble maker” oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan tidaklah benar sama sekali. Hal ini demikian kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat aktif di Malaysia telah mengambil pendekatan bekerjasama dengan pihak kerajaan seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B) dan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Namun begitu, terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang seboleh-bolehnya mengurangkan kerjasama dengan pihak kerajaan, terutama terbabit secara langsung dalam menerima sebarang bentuk bantuan, pembiayaan dan sebagainya. Pertubuhan bukan kerajaan jenis ini telah mengambil beberapa pendekatan sendiri dalam memastikan matlamat mereka tercapai. Antara pendekatan tersebut ialah menggunakan taktik dan strategi seperti membuat penerbitan sendiri, menghantar memorandum, mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara, mengadakan demonstrasi, mengambil tindakan undang-undang, menggunakan ruang siber dan turut membina binaan fizikal seperti sekolah, tadika, pusat setempat dan sebagainya. Malah mereka turut bersama-sama dengan parti politik tertentu untuk menyatakan pendirian organisasi mereka. Hal ini dapat dilihat dengan tertangkapnya beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dalam Operasi Lalang (1987) dan terbaru dalam demonstrasi Bersih 2 pada 9 Julai 2011.

Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan dalam persekitaran masyarakat tidak harus dipandang mudah. Pertubuhan ini mampu berfungsi sebagai sebuah parti politik yang dapat membantu menyelesaikan masalah masyarakat. Dan pada masa yang sama berkeupayaan mempengaruhi pemikiran masyarakat. Apa yang membezakan pertubuhan ini dengan parti politik ialah pertubuhan ini tidak bertanding dalam pilihan raya. Namun terdapat pemimpin mereka yang bertanding dalam pilihan raya menggunakan parti politik sedia ada. Justeru dengan memahami metodologi gerakan pertubuhan bukan kerajaan ini diharapkan masyarakat sedar bahawa ungkapan pertubuhan bukan kerajaan sebagai “third force” dalam masyarakat bukanlah ungkapan kosong semata-mata.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.