Oleh Farizal Razalli

Ketika makalah ini ditulis, Perancis sedang dalam persiapan untuk menyambut hari ulang tahun negaranya. Pada 14 Julai 1789, tarikh keramat dalam sejarah Perancis, menyaksikan tumbangnya sistem pemerintahan monarki mutlak di Perancis. Bastille yang pada ketika itu merupakan bangunan penjara utama di Paris menjadi nilai simbolik penting dalam Revolusi Perancis (1789 – 1799).

Peristiwa Bastille menjadi titik tolak penting dalam sejarah Perancis. Golongan Proletariat (golongan rakyat kelas bawahan dan menengah) menyanggah golongan aristokrat Bourjuasi Perancis. Tiga konsep terbit hasil pembentukan Republik Perancis ─ fraternité (persaudaraan), égalité (kesaksamaan) dan liberté (kebebasan). Warga Perancis amat berbangga dengan keupayaan negara bangsa berasaskan pemerintahan republik yang berteraskan tiga konsep ini.

Tersirat di sebalik kemegahan bangsa negara kedua terbesar (berdasarkan luas kawasan) di Eropah ini ialah kekuatan jati diri mereka ─ merujuk sikap terhadap bangsa dan budaya. Penubuhan Republik Pertama [la première République (1792 - 1804)] secara langsung memperkukuh konsep negara bangsa. Malah konsep “bangsa” itu sendiri boleh dilihat sebagai mekanisme penting dalam memperkukuh konsep “negara”.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Perancis pastinya tidak pernah gagal memerhati bagaimana megahnya bangsa Perancis terhadap bahasa mereka. Malah dek kerana kemegahan ini, warga asing yang tinggal di Perancis baik atas dasar profesional dan akademik diwajibkan belajar untuk bertutur dan memahami bahasa Perancis.

Daripada tanda arah sehingga ke papan tanda kedai, pasti berbelit-belit lidah pelancong asing untuk cuba membunyikannya. Waima menu di rantaian restoran makanan segera seperti McDonald’s dan KFC juga pasti menggusarkan pelancong asing untuk membuat pesanan lantaran takut tersalah sebutan lantas tersalah membuat pesanan di kaunter. Jika bukan kerana menara Eiffel dan kunjungan membeli-belah di butik berjenama terkenal Perancis, Paris pastinya tiada dalam senarai lawatan pelancong asing!

___

Farizal Razalli merupakan calon pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Paris Institute of Political Studies (Sciences Po, Paris).

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Ogos 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.