Oleh Hassan Ahmad

Pada 31 Ogos 2011, genaplah 54 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada kerajaan British.

Namun sesetengah ahli sejarah mendakwa bahawa British sebenarnya tidak “menjajah” Tanah Melayu. Mereka cuma campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Tanah Melayu melalui Perjanjian Pangkor dengan raja dan para pembesar Perak pada 1874. Atau dikatakan juga bahawa British cuma menjadikan negeri Melayu sebagai protected Malay States atau “Negeri-negeri Melayu yang “dilindungi” oleh British. Dalam Perjanjian Pangkor disebut;

Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan menjamin hasil usaha mereka, dan bahawasanya sebilangan besar orang Cina yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk, dan bahawasanya sesetengah pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketidakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang …

[Teks yang diterjemahkan daripada teks asal dalam bahasa Inggeris, diterbitkan dalam buku Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia, terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2008].

Pihak British dikatakan menggunakan “kekacauan” yang berlaku di Perak itu sebagai alasan bagi mereka untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran negeri Melayu. Mereka berkata bahawa Raja Melayu tidak pandai mentadbir negeri atau tidak berupaya menyelesaikan huru-hara akibat pergaduhan dalam kalangan puak yang merebut kekayaan hasil bumi Tanah Melayu.

Hakikatnya, rancangan British adalah menguasai ekonomi Tanah Melayu atau untuk melindungi kepentingan perniagaan mereka di Perak. Mereka tidak mahu kuasa lain, misalnya Belanda, menguasai ekonomi Tanah Melayu. Jadi, untuk mencapai matlamat itu mereka perlu menguasai negeri Melayu.

___

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Ogos 2011. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal.

Share

2 Maklum Balas

  1. Elina Sohor Komen:

    Adakah rencana ini karya terakhir allahyarham? Masyaallah.. Al-Fatihah buat beliau.

    Dihantar pada 8 September, 2011, 10:33 am

  2. admin Komen:

    Ya.

    Dihantar pada 9 September, 2011, 7:47 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.