Oleh Ismail Ibrahim

Malaysia menyambut ulang tahun hari kemerdekaannya pada 31 Ogos setiap tahun. Menjelangnya 31 Ogos 2011, bererti negara ini mencapai usia 54 tahun sebagai negara merdeka. Dari segi usia, negara ini masih lagi muda berbanding dengan negara lain, tetapi dalam masa yang sama agak matang dalam pembangunannya.

Sambutan hari kemerdekaan negara pada Ogos ini disambut pada bulan yang penuh bermakna bagi umat Islam. Ibadah puasa bererti memerdekakan diri daripada belenggu hawa nafsu dan bisikan syaitan. Sekali gus tepat masanya untuk bertanyakan persoalan,  adakah umat Islam dan dunia Islam pada hari ini benar-benar merdeka daripada unsur negatif dan mungkar?

Melihat kepada perkembangan terakhir yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, ternyata dunia Islam sedang mengalami krisis politik dan kemanusiaan yang serius. Yang paling tragis, krisis ini menjelma dengan pertumpahan darah akibat daripada perselisihan sesama sendiri serta campur tangan kuasa luar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Misalnya, krisis yang berlaku di Iraq dan Afghanistan sedekad lalu mengundang pihak Barat untuk “menawan” negara tersebut atas alasan memerangi keganasan dan kononnya mahu menyelamatkan generasi manusia akan datang daripada keganasan rejim pemerintahan ketua negara tersebut.

Hal yang sama berulang mutakhir ini apabila kuasa Barat bertindak mencampuri urusan dalaman Libya yang sedang bergolak untuk membantu pemberontak menjatuhkan ketua negara mereka sendiri, Muammar Ghadafi. Krisis yang berlaku disebabkan oleh unsur dalaman berkembang dengan cepatnya sehingga mendesak rakyat Libya mengambil tindakan memberontak terhadap Ghadafi .

Pemberontakan ini bermula apabila terdapat faktor dalaman yang dilakukan oleh pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya. Antaranya Ghadafi menahan sewenang-wenangnya rakyat yang mempunyai potensi untuk memusuhi pemerintahannya dan memenjarakan mereka tanpa justifikasi perundangan.

___

Datuk Dr. Ismail Ibrahim bekas Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bekas Duta Besar Malaysia di Arab Saudi. Beliau sekarang penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Ogos 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.