Oleh Mohd Fadzil Mohd Akhir
Pada petang 12 Mac 2011, sepanjang pesisir pantai Terengganu dikejutkan oleh bunyi siren kenderaan polis yang berselang-seli dengan amaran supaya kawasan di sekitar pantai dikosongkan segera. Amaran berkenaan merupakan isyarat awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia selepas beberapa jam bencana gempa bumi dan tsunami melanda Jepun. Tindakan pantas pihak berkuasa menyampaikan amaran berkenaan adalah satu langkah persediaan awal yang patut dipuji.
Hampir setiap negara di sekitar lautan Pasifik menerima amaran bahaya tsunami yang dikeluarkan termasuk negara yang kritikal seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, Taiwan, Filipina dan Chile. Amaran supaya mengosongkan kawasan pantai dilihat bertambah serius apabila saluran berita antarabangsa sudah mula menayangkan liputan tsunami yang melanda Jepun.
Tindakan pantas kebanyakan negara dalam mengeluarkan amaran awal ini antara yang menarik perhatian banyak pihak. Bayangkan, hanya dalam tempoh sekitar tiga jam selepas bencana tsunami melanda kawasan yang terletak kira-kira 7000 kilometer dari pantai Malaysia, amaran berjaya disampaikan terus kepada penduduk di kawasan pantai. Sedangkan, kira-kira enam tahun dahulu, ketika tsunami melanda Banda Aceh dan Lautan Hindi, hampir tiada sebarang amaran diperoleh. Keadaan inilah yang membezakan kejadian tsunami yang berlaku di antara Indonesia dengan Jepun.
Kejadian tsunami di Indonesia pada 2004 sebenarnya menjadi satu titik tolak kepada perubahan paradigma pandangan manusia terhadap bencana tsunami. Bencana tsunami pada 2004 menelan hampir 200 ribu jiwa dan mengakibatkan kemusnahan yang cukup besar pada negara yang terlibat seperti Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan Maldives.
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Ogos 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.