WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.227.104.40' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.227.104.40','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Lee Kuan Yew Lima Dekad','/?p=1911','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Muhammad Nizam Ab. Ghani

Tegas, lantang dan tidak mudah mengalah. Demikianlah sifat yang sesuai untuk memerihalkan peribadi seorang yang bernama Lee Kuan Yew atau lebih dikenali sebagai Harry Lee dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai. Selang seminggu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Singapura 2011, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong yang masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Mentor dan Menteri Kanan Singapura telah melepaskan jawatan mereka dalam kabinet. Pengunduran kedua-dua veteran Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu membuka peluang kepada generasi baharu untuk menerajui tampuk kepimpinan republik pulau itu. Keputusan Lee Kuan Yew mengundurkan diri dari kabinet yang dipimpin anaknya, Lee Hsien Loong telah menamatkan era penglibatannya dalam politik Singapura selama 52 tahun.

Kuan Yew merupakan legenda Singapura yang layak digelar Bapa Pengasas Singapura. Beliau telah memimpin negara tersebut dalam tiga zaman iaitu semasa Singapura masih di bawah koloni British (1959 – 1963), era Malaysia (1963 – 1965) dan era Singapura berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat (1965 – 1990). Dari tahun 1990 sehingga 2004 Kuan Yew masih kekal dalam Kabinet Singapura dengan portfolio Menteri Kanan sebelum bertukar portfolio sebagai mentor pada tahun 2004 selepas Goh Chok Tong bersara sebagai perdana menteri. Tempoh 52 tahun berkecimpung dalam persada siasah Singapura telah mendedahkan Kuan Yew kepada pelbagai pengalaman yang bercampur baur antara pahit dan manis.

Walaupun Kuan Yew sememangnya sudah boleh dikatakan menikmati kehidupan selesa sebagai seorang peguam muda yang memiliki firmanya sendiri namun, wawasannya cukup jauh, iaitu ingin melihat Singapura menjadi sebuah negara yang merdeka daripada cengkaman British. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1954 Kuan Yew dan rakan-rakannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial telah menubuhkan Parti Tindakan Rakyat  atau PETIR. PETIR merupakan platform terbaik untuk Kuan Yew memperjuangkan kemerdekaan Singapura. Oleh yang demikian Kuan Yew telah mempersiapkan PETIR bagi menyertai pilihan raya umum Majlis Undangan Singapura pada tahun 1955. Dalam pilihan raya tersebut PETIR hanya memenangi tiga kerusi berbanding 13 kerusi  yang dimenangi Parti Barisan Pekerja pimpinan David Marshall. Perjuangan PETIR ketika itu adalah ideologi sosialis yang menjadi pegangan Kuan Yew sejak beliau sedang menuntut ilmu undang-undang  di London.

Dalam PRU Singapura tahun 1959  PETIR memperoleh kemenangan yang besar dan sekali gus berjaya membentuk kerajaan yang baharu serta memperoleh status pemerintahan sendiri daripada British. Kejayaan memperoleh mandat untuk memerintah Singapura itu digunakan Kuan Yew untuk menggerakkan usaha ke arah penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu yang terlebih dahulu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Idea penggabungan kedua-dua wilayah itu tidak kesampaian apabila ditolak oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, idea ini benar-benar terlaksana pada tahun 1963 apabila negara Malaysia ditubuhkan. Penggabungan Singapura dalam Malaysia hanya bertahan selama setahun dan 11 bulan apabila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada bulan Ogos 1965.

 Sungguhpun perpisahan Singapura daripada Malaysia meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat di kedua-dua buah negara itu namun peristiwa ini membakar semangat Kuan Yew untuk merencana masa depan Singapura yang sememangnya tandus sumber asli. Pada awal era kemerdekaan Singapura aspek pertahanan telah menjadi keutamaan Kerajaan Kuan Yew.  Hal ini dikatakan demikian kerana  faktor geografi Singapura yang kecil serta dikelilingi dua negara jiran yang besar. Gong Kheng Swee yang telah diamanahkan portfolio pertahanan Singapura ketika itu telah menjadikan Israel sebagai model dan pakatan yang ideal dalam aspek menguruskan pertahanan negara. Bagi memastikan Singapura bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman dari dalam dan luar negara, Kuan Yew telah memperkenalkan program Khidmat Negara yang mewajibkan belia berusia 18 tahun mengikuti program latihan ketenteraan.

Sumbangan Lee Kuan Yew terhadap ekonomi Singapura cukup besar, iaitu kejayaannya membangunkan sektor industri perkilangan dan perkhidmatan yang cukup gah di rantau Asia Tenggara. Pada asalnya, keperluan mewujudkan kawasan perindustrian di Singapura adalah sebagai persediaan negara berkenaan untuk menghadapi pengunduran Pasukan Tentera British dari negara itu bermula 1971. Pengunduran tersebut sepatutnya berlaku sejak tahun 1968 namun tertunda selama tiga tahun ekoran permintaan Kuan Yew kepada kerajaan British yang telah menimbangkan kesan pengunduran tersebut terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar dan peluang pekerjaan rakyat Singapura ekoran pengunduran berkenaan.

Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dari akhir 1960-an hingga 1970-an telah berjaya menarik pelaburan asing ke Singapura sekali gus meningkatkan hasil pendapatannya. Bukti keberkesanan inisiatif tersebut ialah perwujudan kawasan perindustrian di Woodlands dan Jurong yang menempatkan kilang syarikat bertaraf MNC. Peluang pekerjaan yang wujud hasil pembukaan kilang-kilang berkenaan bukan sahaja dinikmati oleh penduduk Singapura malahan menarik minat rakyat Malaysia di seberang Tambak dan warga Indonesia. Tidak hairanlah sepanjang dekad 1970-an hingga awal 1990-an menyaksikan banyak rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Kota Singa terutama sebagai buruh binaan.

Sebagai seorang yang mengagumi kepercayaan Confucius, banyak pendekatan yang  diambil Kuan Yew bersifat tegas sebagai satu cara mendisiplinkan rakyat Singapura yang berbilang bangsa dan mendiami negara pulau yang kecil saiznya. Contohnya, sesiapa yang ingin memijakkan kaki ke sana perlu berwaspada dengan peraturan yang melarang penggunaan gula-gula getah. Peraturan ini bertujuan untuk memelihara kebersihan dan keindahan Singapura. Walau bagaimanapun, dasar penguasaan kerajaan Singapura terhadap media massa yang diamalkan sejak era pemerintahan Lee Kuan Yew menimbulkan polemik di kalangan rakyat republik tersebut.

Umum mengetahui apabila terdapat individu atau tokoh politik daripada parti pembangkang  yang menyelar atau mengeluarkan kenyataan berbau kecaman terhadap Kuan Yew, nescaya akan menerima padah dikenakan tindakan saman malu yang nilainya jutaan Dolar Singapura. Terdapat dalam kalangan musuh politik Kuan Yew yang menerima tindakan sedemikian diisytiharkan muflis dan tidak layak bertanding pilihan raya seperti yang dihadapi oleh Dr Chee Soon Juan pemimpin Parti Demokratik Singapura (SDP).

Meritokrasi merupakan perkara yang sinonim dengan Lee Kuan Yew. Acap kali beliau menyuarakan pandangannya yang optimis bahawa hanya mereka yang cemerlang dan cekap sahaja layak untuk diketengahkan sebagai pemimpin. Dalam sistem yang diamalkan oleh PAP, Kuan Yew telah menggariskan calon pilihan raya yang akan mewakili parti berkenaan dalam pilihan raya umum disyaratkan penerima ijazah kelas pertama. Pada masa yang sama beliau juga komited dengan pelaksanaan mekanisme pembayaran gaji anggota kabinet, ahli parlimen, dan penjawat awam Singapura yang kadarnya menghampiri nilai yang diperoleh oleh pekerja  sektor swasta. Matlamat dasar tersebut adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara sektor awam dan swasta serta bagi mengelakkan gejala rasuah berleluasa dalam sistem pemerintahan negara.

Harry Lee tidak mengalami sebarang kerugian apabila beliau berundur dari kabinet Singapura. Penat lelah beliau yang telah berperanan sebagai “arkitek” Singapura bakal diabadikan dalam lipatan sejarah. Suara generasi muda Singapura yang ingin perubahan corak pemerintahan negara bukanlah bermakna mereka ibarat kacang lupakan kulit terhadap jasa yang telah ditaburkan oleh Kuan Yew. Namun, hal ini merupakan manifestasi mereka yang tulus ingin melihat Singapura terus bergerak dinamis dan sentiasa relevan dalam arena global.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.