Oleh Mohd Nadzri Kamsin

Pembentukan Republik Turki dan perlantikan Mustafa Kemal Ataturk sebagai presiden pertama pada 29 Oktober 1923 merupakan tarikh bersejarah buat rakyat Turki. Sebelumnya, pada 17 November 1922, khalifah terakhir empayar Islam Uthmaniyyah, Sultan Mehmed IV meninggalkan Turki dan hidup dalam buangan. Hal ini menyebabkan kesedihan kepada umat Islam. Berakhirlah empayar Islam Uthmaniyyah dan lahirlah sebuah negara Turki sekular.

Ataturk disanjung semasa hayatnya dan dikenang selepas kematiannya, sebagai Bapa Turki moden dan pengasas fahaman sekularisme kepada negara Turki baharu yang lahir selepas kejatuhan empayar Islam Uthmaniyyah. Beliau adalah presiden, perdana menteri, dan speaker parlimen pertama Turki moden. Untuk menjadi moden, Ataturk percaya, Turki perlu mengikut Barat sama ada dalam politik mahupun budaya. Apa yang Ataturk percaya itulah yang perlu dijadikan panduan bagi negara Turki dan rakyatnya.

Pemakaian Barat dipromosikan secara habis-habisan. Rakyat Turki digalakkan untuk berpakaian mengikut fesyen Barat yang nampak lebih moden. Ataturk merasakan pemakaian tudung sebagai simbol kemunduran. Sesuatu yang agak menjelikkan, pemakaian tudung diharamkan di semua bangunan milik kerajaan termasuk di universiti. Pada bulan Mei 1999, seorang ahli parlimen wanita dilarang mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen kerana memakai tudung. Kakitangan wanita yang bekerja dengan kerajaan tidak dibenarkan memakai tudung. Negara sekular dan bukan Islam seperti Amerika Syarikat sendiri tidak mengharamkan pemakaian tudung.

Semua pengganti Ataturk berpegang kuat kepada sekularisme. Sebarang campur tangan agama dalam hal ehwal kerajaan ditentang. Penubuhan parti politik yang mewakili agama diharamkan. Setakat ini, sudah dua parti politik diharamkan iaitu Parti Refah pada tahun 1998 dan Parti Fazilet pada tahun 2001. Kedua-dua parti ini dikatakan cuba melenyapkan sekularisme di Turki dengan aktiviti parti yang cenderung kepada Islam. Parti pemerintah sekarang, Parti Adalet ve Kalkınma, dipantau kerana dilihat cenderung ke arah menerapkan nilai Islam secara perlahan-lahan kepada rakyat Turki.

Ramai tidak tahu, di sebalik wajah Turki sebagai sebuah negara sekular, kerajaan yang memerintah sekarang adalah sebuah kerajaan yang giat mempromosikan nilai Islam dan secara perlahan-lahan menghakis sekularisme di Turki. Kerajaan Turki yang dibentuk oleh Parti Adalet ve Kalkınma (AKP), dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan, yang kini menjadi Perdana Menteri Turki. Kebanyakan pemimpin di dalam AKP adalah aktivis Islam dan bekas ahli parti politik Islam yang diharamkan sebelum ini. Perdana Menteri, Erdogan yang aktif dalam aktiviti menyuburkan nilai Islam di Turki pernah dipenjarakan kerana bacaan puisi yang disifatkan sebagai membakar semangat orang ramai untuk kembali kepada Islam dan mengabaikan sekularisme.

Turki sebelumnya pernah mempunyai perdana menteri yang sama seperti Erdogan. Perdana Menteri Necmettin Erbakan adalah seorang aktivis Islam dan Perdana Menteri Turki yang pertama yang menolak fahaman sekularisme. Kerana tindak-tanduknya yang banyak berlawanan dengan sekularisme, beliau menerima tekanan daripada tentera untuk meletak jawatan. Lebih parah lagi beliau kemudian diharamkan daripada menyertai politik. Erbakan hanya sempat menjadi perdana menteri selama setahun.

Adakah Erdogan akan menerima nasib seperti Erbakan? Erdogan bernasib lebih baik daripada Erbakan. Walaupun sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Erdogan adalah seorang yang kuat menyokong perjuangan Islam dan penentang sekularisme, genap 14 Mac 2011, Erdogan sudah 8 tahun menjadi Perdana Menteri. Sungguh menakjubkan. Erdogan berjaya mempertahankan kedudukannya di samping meneruskan perjuangan menyuburkan nilai Islam di Turki secara agresif tetapi teratur. Perjalanan Erdogan bukan mudah. Parti pimpinannya, AKP hampir sahaja diharamkan pada tahun 2008 kerana aktiviti Islam mereka. AKP diberi amaran keras dan dikenakan penalti dengan dana awam disekat kepada separuh. AKP dan Erdogan membuka lembaran baharu untuk Turki.

Presiden Turki, Abdullah Gul yang juga merupakan barisan pimpinan AKP menjadi Presiden Turki yang pertama daripada kalangan Islamis, bukan daripada kalangan golongan sekular sejak Ataturk. Kedua-dua isteri kepada Presiden Gul dan Perdana Menteri Erdogan memakai tudung, sesuatu yang sangat jelik untuk diterima golongan sekular. Pencalonan Gul sebagai presiden ditentang golongan sekular termasuk tentera. Majlis angkat sumpah Gul sebagai Presiden Turki memang penuh kontroversi. Barisan tertinggi tentera yang sepatutnya menghadiri majlis angkat sumpah presiden, tidak menghadiri majlis tersebut sebagai tanda protes.

Di Turki, selain daripada kerajaan yang berkuasa, ada dua pihak lagi yang mempunyai pengaruh besar kepada negara. Pihak tentera dan mahkamah perlembagaan adalah dua entiti berpengaruh. Kerajaan demokratik yang dipilih rakyat pernah digulingkan oleh tentera sebanyak empat kali semenjak tahun 1960. Tentera Turki mempunyai rekod mencampuri urusan kerajaan atas nama mempertahankan sekularisme di Turki. Mahkamah perlembagaan pula berkuasa dalam memastikan sebarang undang-undang yang diluluskan parlimen adalah selari dengan agenda sekularisme yang dipertahankan. Mahkamah perlembagaan di Turki mempunyai rekod mengharamkan parti politik dan ahli politik daripada bertanding di pilihan raya jika didapati boleh menggugat prinsip sekularisme, warisan Ataturk yang dipertahankan selama ini.

Perdana Menteri Erdogan sendiri pernah menjadi mangsa dihumbankan ke dalam penjara dan dihalang untuk berpolitik untuk beberapa tahun. Pada 9 Februari 2008, parlimen yang dikuasai AKP telah meluluskan pindaan perlembagaan untuk tidak lagi menyekat pemakaian tudung di universiti. Pindaan perlembagaan ini menjadi sangat kontroversi dan dibawa ke mahkamah perlembagaan. Seperti dijangka, mahkamah perlembagaan memutuskan pindaan perlembagaan yang diluluskan parlimen adalah tidak sah dan bertentangan dengan prinsip sekularisme yang dipertahankan.

Turki adalah bangsa yang mempunyai lebih separuh penduduk  yang taat kepada ajaran Islam. Namun Ataturk dan sekularisme yang dibawa telah memusnahkan rakyat Turki. Sekularisme masih hidup walaupun ada yang menentangnya kerana pihak tentera, mahkamah perlembagaan, parti politik, golongan elit dan ahli akademik yang sekular masih mempertahankannya. Di dalam tentera, jelik untuk kita mendengar bahawa anggota tentera yang didapati bersembahyang dan mempunyai isteri yang memakai tudung akan dikenakan tindakan disiplin. Ini terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya AS ke atas Kebebasan Beragama 2008. Sudah menjadi kebiasaan anggota tentera terutamanya barisan tertinggi tentera makan secara terbuka pada siang hari ketika bulan Ramadhan. Yang lebih teruk adalah ada antara mereka yang minum arak tanpa rasa malu dan bersalah pada bulan puasa. Ataturk sendiri seorang peminum minuman keras yang tegar.

Ketegangan antara puak sekular dan Islam semakin memuncak sejak AKP mengambil alih pentadbiran kerajaan. AKP telah banyak menaikkan kemarahan puak sekular. Ketika memegang kuasa dalam kerajaan, AKP telah dibawa ke mahkamah perlembagaan untuk mengharamkan AKP. Majalah The Economist telah menyatakan kerajaan Turki di bawah pimpinan AKP merupakan pentadbiran kerajaan Turki yang terbaik dalam beberapa dekad ini. Hiperinflasi yang melanda Turki selama tiga dekad telah berjaya dikurangkan secara agresif sejak AKP mengambil alih pentadbiran. AKP juga dilihat sebagai pentadbiran kerajaan yang paling bersih berbanding kerajaan Turki sebelumnya yang banyak terlibat dengan rasuah.

Apabila pejabat pendakwa raya mengheret AKP ke mahkamah perlembagaan, isu ini telah mendapat perhatian Kesatuan Eropah (EU). Mahkamah perlembagaan merasakan tekanan yang besar yang akan diterima jika mahkamah mengharamkan AKP yang mendapat mandat besar daripada rakyat. Turki adalah negara yang memohon untuk menyertai EU. Antara perkara yang diberi perhatian EU adalah demokrasi dan kebebasan berpolitik. Situasi sekarang adalah berbeza dan tidak sama dengan apa yang berlaku beberapa dekad dahulu. EU sendiri secara jelas tidak mahu AKP diharamkan dan akan menggantung sebarang perbincangan lanjut tentang keanggotaan Turki ke dalam EU jika AKP diharamkan.

Ketegangan antara pihak sekular dan AKP semakin menjadi-jadi. Tangkapan demi tangkapan yang dilakukan polis terhadap sebilangan golongan sekular atas tuduhan ingin menumbangkan kerajaan pimpinan AKP melalui jalan keganasan. Dalam bukti yang dibawa ke mahkamah, beribu-ribu kertas dokumen, senjata yang dirampas yang mempunyai kesan cap jari, perbualan telefon yang dirakam, dokumen bertandatangan menunjukkan plot yang dirancang untuk menggulingkan kerajaan. Golongan ini dilabel sebagai ‘ergenokon’. Mereka terdiri daripada bekas pimpinan tertinggi tentera, sebilangan kecil pimpinan tentera yang masih berkhidmat, bekas ahli Majlis Keselamatan Negara, bekas ketua polis, ahli akademik, pemimpin mafia dan wartawan. Ada yang telah dibicarakan dan ada perbicaraan yang masih berjalan.

Berpandukan kepada bukti, golongan ini antaranya pernah merancang untuk meletupkan dua masjid di Istanbul dan menyemarakkan provokasi dengan negara Greece. Mereka juga merancang untuk membunuh ahli politik, hakim, pemimpin agama, ahli akademik, staf tentera, dan pemimpin negara jiran dan kemudian ‘ditunjukkan bukti’ untuk meletakkan kesalahan kepada orang lain. Semua ini dirancang dengan rapi untuk mencipta suasana huru-hara di Turki. Hal ini kemudiannya akan memberikan laluan kepada tentera untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan pimpinan AKP.

Tangkapan demi tangkapan dilakukan dari tahun ke tahun. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Turki. Ini pertama kali berlaku kerana di satu pihak, AKP sebagai kerajaan yang memerintah memperjuangkan Islam secara halus dan masih mempunyai sokongan rakyat yang kuat. Pihak tentera pula yang menyokong sekularisme pula merasakan bahayanya AKP dibiarkan berkuasa. Sesuatu perlu dilakukan secara rahsia dan terancang. Namun semua ini tidak memihak kepada tentera kerana kerajaan dapat menghidu plot yang dirancang dan dengan segera memintas.

Pihak penyokong sekular menuduh kerajaan AKP menyalahgunakan kuasa untuk melenyapkan semua penentangnya. Tangkapan dibuat kononnya bermotifkan politik. Di pihak kerajaan pula, perkara serius sebegini perlu ditangani dengan serius kerana tidak mahu melihat Turki sekali lagi terjebak ke lembah kekacauan dan kerajaan digulingkan melalui cara yang tidak demokratik. Turki sudah menyaksikan beberapa kali kerajaan yang dipilih rakyat digulingkan oleh pihak tentera.

Erdogan dan AKP setakat ini berjaya melalui segala liku memimpin kerajaan Turki. Beliau dan AKP berdepan dengan pilihan raya Jun pada tahun ini. Pendapat umum menunjukkan AKP akan menang sekali lagi dengan majoriti yang besar. Mandat yang besar daripada rakyat memang diperlukan AKP yang dilihat berusaha untuk membuat reformasi pada perlembagaan Turki dan membawa tentera ke era baru. Apakah Erdogan akan berjaya dengan misinya atau pihak tentera sudah bersiap sedia merancang dengan teliti suatu lagi usaha rampasan kuasa secara halus? Apa pun rakyat Turki akan menjadi saksi apa yang terjadi. EU turut memerhatikan perkembangan Turki. Sama-sama kita lihat.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.