“Bagai buku bertemu ruas.” Pepatah Melayu tersebut paling tepat untuk menggambarkan usaha kerajaan baru-baru ini untuk meminda Akta Pemaju Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966.

Dewan Masyarakat keluaran Jun lalu dalam Ruangan Prihatin (halaman 38-40) membangkitkan pelbagai masalah dan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa projek perumahan terbengkalai.

Ada mangsa yang ditemu bual oleh Dewan Masyarakat menangis teresak-esak menceritakan beban kewangan yang mereka tanggung, ada mangsa yang membentak marah, dan ada yang tidak mampu lagi bercakap apa-apa.

Rata-rata mangsa projek perumahan terbengkalai secara terang-terangan menyimpan rasa tidak puas hati dan dendam kepada pemaju perumahan yang didakwa menganiaya mereka.

Bagi pemaju, mereka tidak ambil kisah dengan nasib pembeli kerana walaupun mereka gagal dan gulung tikar semasa menjalankan sesebuah projek perumahan, mereka boleh sahaja membuka syarikat pemaju perumahan lain menggunakan nama yang baharu. Tiada akta yang boleh mendakwa dan menghukum mereka di mahkamah.

Namun apabila Akta Pemaju Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966 bakal dipinda dalam masa terdekat ini, pemaju yang gagal menyiapkan projek pasti tidak boleh tidur lena.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, menerusi pindaan tersebut, pemaju yang gagal menyiapkan projek dalam tempoh perjanjian yang ditetapkan atau menyebabkan suatu projek perumahan terbengkalai boleh didenda maksimum RM500 000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Bahkan tidak cukup dengan itu, kerajaan juga bercadang mewujudkan peraturan yang boleh mengaitkan pemaju perumahan dengan kesalahan jenayah jika didapati cuba melarikan diri atau sengaja menyebabkan sesuatu projek perumahan terbengkalai kerana hal ini menimbulkan masalah jangka panjang kepada pembeli yang perlu membayar faedah pinjaman dengan bank.

Dari sudut politik, pindaan akta ini sebenarnya memberikan impak yang cukup besar. Sudah sekian lama parti pembangkang menjadikan isu perumahan terbengkalai sebagai propaganda mereka untuk menjadi “wira” kepada rakyat yang teraniaya.

Pembangkang mendakwa bahawa kerajaan bersekongkol dengan pemaju atas kepentingan tertentu dan sanggup menganiaya rakyat sendiri. Di Dewan Rakyat, isu projek perumahan merupakan antara “peluru” penting pembangkang untuk “menembak” kerajaan.

Jadi, pindaan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966 bukan setakat memberikan hukuman setimpal kepada golongan yang menganiaya rakyat, tetapi salah satu “perisai” penting untuk kerajaan menangkis serangan bertali arus daripada pembangkang, dan pada masa yang sama memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.