Oleh Farizal Razalli

Sebut sahaja negara Perancis, perkara pertama yang menerjah benak fikiran ialah keromantikan kota Paris. Stigmatisme cinta, fesyen, dan jenama mewah membuatkan banyak pihak terlupa kekayaan sejarah bumi Napoleon ini.

Di sinilah revolusi politik moden di Eropah bermula. Lampu neon yang menerangi jalan dan ceruk bersejarah sekitar kota Paris menjadi saksi lahirnya karya dan idea agung Revolusi Perancis (1789 – 1799).

Tercetusnya Revolusi Perancis menyaksikan perubahan signifikan struktur masyarakat dan politik Perancis. Idea yang diketengahkan menerusi revolusi ini boleh dianggap sebagai “pembebasan’ rakyat Perancis daripada belenggu kezaliman pemerintah bourjuasi. Revolusi ini juga menjadi titik-tolak pemisahan hakiki antara negara dengan gereja.

Apakah signifikasi pemisahan antara negara dengan gereja dan mengapa? Bagi menjawab persoalan ini, perlu disingkap beberapa kronologi penting dalam sejarah Perancis dan Eropah. Kronologi awal berlaku pada 1648 ketika Perjanjian Westphalia.

Perjanjian tersebut memperkenalkan konsep “negara bangsa” buat pertama kalinya dalam erti kata sebenar untuk negara yang berasaskan kedaulatan dan wilayah. Sistem empayar terhapus dan sistem dinasti beraja dengan sokongan kuat gereja diperkukuh.

Perancis sebelum berlaku revolusi seperti juga negara bangsa Eropah yang lain, memusatkan tampuk kuasa politik kepada raja dan gereja. Hak mengutip cukai dan pemilikan harta menjadi hak eksklusif golongan istana dan gereja. Rakyat marhaen dipinggirkan, malah ada yang melata untuk mencari sebuku roti.

Masa berlalu dan situasi sosioekonomi kian meruncing. Pemerintahan lemah Raja Louis ke-16 (1754 – 93), korupsi golongan gereja, serta krisis ekonomi menjadi antara pencetus utama kepada kebangkitan rakyat menerusi Revolusi Perancis dari 1789 hingga 1799.

Revolusi ini menolak secara mutlak peranan agama dalam hal ehwal pentadbiran negara. Konsep sekularisme diangkat sebagai mantra politik Perancis.

___

Farizal Razalli merupakan calon pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Paris Institute of Political Studies (Sciences Po, Paris).

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.