Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub

Bayangkan jika anda terpaksa bekerja secara berterusan selama 48 jam tanpa henti? Kerja yang anda lakukan pula memerlukan tumpuan sepenuhnya untuk mengelakkan berlakunya sebarang kesilapan. Jika berlaku kesilapan, anda bakal dimarahi dengan kata-kata kesat oleh ketua anda. Mampukah anda bertahan?

Situasi kerja di atas menjadi perkara lazim dialami doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan. Apabila melihat sendiri situasi kerja mereka, maka tidak menghairankan jika ada pihak yang mendakwa bahawa banyak dalam kalangan doktor terutamanya doktor pelatih yang mengalami tekanan mental dan emosi yang serius.

Jadi persoalannya, mampukah doktor yang mengalami tekanan melampau ini memberikan khidmat yang terbaik kepada setiap pesakitnya? Mampukah orang yang sedang sakit merawat seorang pesakit?

Doktor pelatih (houseman) merujuk seseorang yang baru mendapat kelayakan untuk bertugas  sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan selepas bergelar siswazah.

Doktor pelatih bertugas di bawah seliaan seorang pegawai perubatan yang lebih berpengalaman seperti pegawai perubatan kanan, pensyarah atau doktor pakar.

Doktor pelatih juga merujuk pelajar perubatan yang baru lulus dalam kursus perubatan dan menjalani latihan amali di hospital kerajaan selama dua tahun dan wajib berkhidmat di hospital kerajaan selama tiga tahun, sebelum meneruskan kerjaya mereka di sektor kerajaan atau swasta.

Antara tugas asas doktor pelatih termasuklah merekodkan butiran pesakit baharu dan sejarah perubatan mereka. Doktor pelatih diperlukan untuk memberikan rawatan asas kepada pesakit seperti mengambil darah pesakit untuk melakukan ujian tertentu dan memberikan ubat atau antibiotik semasa pesakit berada di wad.

Namun, preskripsi ubat-ubatan atau antibiotik diputuskan oleh pensyarah atau doktor pakar yang bertanggungjawab dalam bidang berkenaan. Doktor pelatih hanya merekodkan preskripsi tersebut dalam fail pesakit.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.