Oleh Muhamad Irfan

Perkenalan singkat dalam laman sosial Facebook dengan seorang lelaki kulit hitam tahun lalu, mengubah sama sekali hidup seorang gadis berketurunan Dayak yang berasal dari Sarawak. Gadis berusia 22 tahun yang pernah menuntut di Kolej Segi itu, ditahan di Shenzhen China sejak 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa China menemui sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam perutnya.

Disebabkan teruja dengan bayaran RM5000, dia dengan rela menelan 100 bungkus dadah jenis heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen. Lain pula kisahnya dengan Nur Dhiya Ain Rosman yang juga menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi di Nigeria. Dia ditipu dengan tawaran kerja sebagai operator pelancongan dengan gaji yang lumayan. Kemudian, dia yang dikenali sebagai “Baby” dilaporkan menghilangkan diri dipercayai mengikut kenalannya, seorang warga Afrika ke luar negara. Akhirnya, Baby dan kenalannya ditahan di Lapangan Terbang Cape Town atas kesalahan menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram pada 14 Ogos 2010. Dia sekarang ditahan di pusat tahanan Ravensmead Afrika Selatan sementara menunggu perbicaraan.

Sama ada ditipu atau sememangnya rela disebabkan upah yang lumayan, banyak dalam kalangan gadis negara ini sanggup mengambil risiko menjadi “keldai dadah” – istilah yang digunakan bagi merujuk mereka yang dipergunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, sehingga 31 Mac  2011, sebanyak 833 orang daripada 1880 orang rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah berkaitan dengan kes dadah. Daripada jumlah itu, sebanyak 675 orang membabitkan lelaki, manakala 158 orang ialah wanita.

Paling banyak rakyat Malaysia ditahan ialah di China. Ketika ini sahaja terdapat sebanyak 72 orang rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa China kerana cuba menyeludup dadah dan kes paling banyak berlaku di Ghuangzou iaitu sebanyak 33 kes.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.