Oleh Hawa Rahmat

Masalah sosial dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai berita seperti kes pembuangan bayi, pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, lumba haram, dan banyak lagi masalah sosial dalam kalangan generasi muda.

Pelbagai punca sudah dikenal pasti, antaranya termasuklah pengabaian tanggungjawab keluarga oleh ibu bapa, sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga melahirkan pelajar yang tidak matang, serta kepesatan teknologi maklumat yang tidak selari dengan kematangan emosi generasi muda.

Terdapat satu pendekatan di Barat yang menggabungkan antara sistem pendidikan dengan institusi keluarga sebagai salah satu cara untuk menangani masalah gejala sosial dan memulihkan institusi keluarga yang semakin goyah. Pendekatan tersebut dikenali sebagai “sekolah di rumah” (homeschool).

Menurut seorang pengkaji Barat, Basham (2001), sekolah di rumah bermaksud pendidikan anak-anak dilakukan di rumah oleh ibu bapa itu sendiri secara sepenuh masa.

Anak-anak yang bersekolah di rumah ini mula belajar daripada mengenali angka dan huruf sehingga dapat menyelesaikan masalah matematik dan membaca seperti kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka.

Bagi ibu bapa yang menggunakan pendekatan belajar di rumah, mereka percaya bahawa kaedah ini memberikan keselesaan kepada anak-anak mereka. Misalnya, anak-anak mereka tiada masalah bangun lewat, tertinggal bas, terpaksa memakai pakaian seragam sekolah, atau menggalas beg yang berat. Bahkan ibu bapa boleh terus memantau aktiviti, mengetahui prestasi akademik dengan segera, dan melakukan aktiviti secara langsung bersama anak-anak.

Ibu bapa tidak hanya berperanan sebagai penjaga semata-mata, tetapi juga menjadi mentor kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa yang menggunakan kaedah sekolah di rumah biasanya membuat satu perjumpaan bagi mengumpulkan ibu bapa yang menggunakan kaedah sama untuk tempoh tertentu. Perjumpaan tersebut bertujuan mendapatkan maklumat dan sosialisasi.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.