Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Pengangguran bukan lagi satu isu kecil yang dianggap remeh. Ketika ini, di negara maju serta seluruh pelosok dunia berbicara mengenai masalah pengangguran yang semakin serius.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), pada 2007 sahaja lebih daripada 195 juta orang tidak mempunyai pekerjaan, iaitu bersamaan dengan 6.3 peratus daripada jumlah penduduk dunia. Hal ini disebabkan pelbagai faktor terutamanya krisis ekonomi yang melanda Asia pada 1997, serta pergolakan yang berlaku di beberapa buah negara.

Daripada 195 juta orang penganggur tersebut, 12.2 peratus datangnya dari negara Timur Tengah dan Afrika Utara. Manakala Asia Timur mencatatkan jumlah penganggur paling rendah, iaitu 3.6 peratus.

Bagi penganalisis ekonomi, keadaan ini sebenarnya merupakan “bahaya” yang perlu diambil tindakan segera. Jika tidak, keadaan ini menyebabkan sesebuah negara mengalami kerugian yang besar kerana tidak dapat memaksimumkan penggunaan tenaga kerjanya. Malah di beberapa buah negara, isu pengangguran membawa kepada pergolakan politik dan keselamatan yang serius.

Statistik 2010 menunjukkan peningkatan kadar pengangguran yang ketara, iaitu sebanyak 212 juta orang di seluruh dunia mendapat taraf penganggur – peningkatan 17 juta orang berbanding dengan data 2007. Hal ini sekali gus perlu membuka mata setiap pemimpin negara untuk melakukan sesuatu.

Keadaan getir ini diburukkan lagi melalui kaji selidik yang dijalankan oleh kumpulan pemikir di Institut Perancangan Arab yang berpangkalan di Kuwait. Kumpulan pemikir ini menyatakan bahawa dunia Arab bakal mencatatkan jumlah mereka yang tidak bekerja kepada 19 juta orang menjelang 2020, iaitu peningkatan lapan juta orang sejak 2008.

Hal ini disebabkan masalah yang sedang melanda di dunia Arab baik dari segi pergolakan dalaman mahupun peperangan yang melanda sehingga menyebabkan kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.