Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

Kahwin lewat bukanlah isu yang boleh dianggap remeh. Di banyak negara, isu ini menjadi masalah nasional kerana melibatkan soal institusi kekeluargaan, kependudukan, populasi, dan kelangsungan sumber tenaga manusia.
Baru-baru ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melontarkan kebimbangan ekoran trend kahwin lewat, terutama dalam kalangan golongan wanita yang sedang berlaku di negara ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr. Anjli Doshi Gandhi, trend kahwin lewat membawa implikasi yang negatif kepada institusi kekeluargaan. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2000 menunjukkan bahawa 30 peratus wanita di negara ini yang berumur antara 25 tahun hingga 29 tahun masih belum berkahwin berbanding dengan 25 peratus lelaki yang berumur antara 30 hingga 34 tahun.
Senario ini memberi kesan yang besar kepada jumlah populasi dan tahap kesuburan penduduk di negara ini. Daripada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara, pada 1991, kesuburan penduduk di Malaysia adalah pada kadar 3.4 anak dan menurun dengan drastiknya pada 2009 kepada 2.2 anak.
Pertambahan bilangan isi rumah dan keluarga dalam tempoh 10 tahun (2000 – 2010) pula amat membimbangkan ekoran penambahan bilangan isi rumah dicatatkan hanya 1.6 juta.
Senario kahwin lewat turut menjadi masalah nasional di banyak negara di dunia seperti di Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Taiwan dan Korea. Misalnya pada 7 Jun lalu, Kerajaan Singapura merayu rakyatnya yang belum berkahwin agar mempercepatkan proses perkahwinan bagi meningkatkan kadar kelahiran di republik tersebut yang begitu merosot.
Menurut Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura, Mejar Jeneral (Kerahan) Chan Chun Sing, purata kadar kesuburan warga Singapura terus menurun kepada 1.16 anak tahun lalu berbanding dengan kadar kesuburan pada 1990, iaitu 1.83 anak. Oleh sebab itu, cabaran utama yang dihadapi kementeriannya adalah meningkatkan jumlah rakyat Singapura yang bujang untuk berumah tangga.
___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.