Oleh Marina Abdul Manaf

Isu Kementerian Pelajaran Malaysia mengenakan syarat dalam penjualan nasi lemak di kantin sekolah baru-baru ini hangat diperkatakan. Syarat tersebut dibuat ekoran dakwaan yang menyatakan bahawa nasi lemak menjadi antara penyebab obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Benarkah dakwaan tersebut?

Menurut Dr. Kamariah Long, Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi MARDI, dalam artikelnya bertajuk, “Santan oh Santan dari Mana Asalmu Kalau Tidak daripada Kelapa,” menafikan nasi lemak menjadi punca kepada permasalahan obesiti.

Beliau yang terlibat dalam penyelidikan minyak kelapa terutamanya berkenaan dengan minyak kelapa dara menyatakan bahawa minyak kelapa merupakan antara minyak yang berkhasiat tinggi dari segi kandungan nutriennya. Minyak kelapa didapati rendah kandungan kolesterol berbanding dengan minyak sawit, minyak soya dan minyak jagung.

Minyak kelapa dipersalahkan disebabkan oleh kandungan asid lemak tepunya yang tinggi. Namun asid lemak tepu mempunyai kepentingannya kepada tubuh manusia. Asid lemak tepu boleh dibahagikan kepada tiga iaitu asid lemak tepu berantai karbon pendek (C 4:0-C 6:0), karbon sederhana (C 8:0-C 12:0), dan karbon panjang (C 14:0 >).

Minyak kelapa tergolong dalam asid lemak tepu berantai sederhana. Menurut Kamariah lagi, asid lemak berantai sederhana dimetabolitkan oleh badan dalam kadar yang cepat untuk membekalkan tenaga yang lebih tinggi iaitu sebanyak 7.0 kcal/ gram berbanding dengan tenaga daripada glukosa hanya sejumlah 4.0 kcal/gram. Hal ini terbukti dengan pengambilan santan yang membekalkan tenaga segera kerana santan mengandungi 65 peratus asid lemak tepu rantai karbon sederhana.

Asid lemak tepu berantai sederhana lebih menyerupai karbohidrat dalam proses metabolisme dan penyerapan nutrien dalam badan. Sungguhpun obesiti dikaitkan dengan pemakanan iaitu komposisi lemak, bukan semua jenis lemak menyumbang kepada obesiti. Asid lemak tepu berantai sederhana merupakan sejenis lemak yang dapat mengatasi masalah obesiti.

___

Dr. Marina Abdul Manaf, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.