Oleh Hassan Ahmad

Perbuatan menghina Islam dan Rasulnya Muhammad SAW bukanlah perkara baharu, tetapi sudah berlaku sejak zaman Nabi lagi pada abad ke-tujuh. Pada masa yang sama, banyak juga orang bukan Islam yang menghormati atau mempercayai ajaran tauhid Islam dan menyanjung Nabi Muhammad sebagai pemimpin manusia yang paling agung di dunia. Mereka ialah orang yangberilmu dan mampu berfikir secara rasional.

Hari ini dalam zaman komunikasi teknologi yang merentas segala sempadan geografi, penyebaran maklumat songsang tentang agama Islam merebak secara meluas.

Di Amerika Syarikat (AS) kebanyakan orang bukan Islam yang tidak pernah mengkaji, mengetahui, dan memahami Islam percaya bahawa agama Islam menggalakkan keganasan.

Seorang penulis bernama Sam Harris menulis dalam akhbar Washington Times (2 Disember 2004) tentang ajaran “keganasan” dalam Islam. Menurut Haris, ‘Sudah tibalah masanya kita mengaku bahawa kita sebenarnya bukan berperang dengan keganasan. Kita sedang berperang dengan Islam itu sendiri. Hal ini tidak bererti kita sedang berperang dengan semua orang Islam, tetapi kita secara pasti sedang berperang dengan visi Islam yang diwajibkan oleh ‘Koran’ (alQuran) kepada semua orang Islam, iaitu supaya memerangi semua orang kafir (bukan Islam).”

Seorang lagi penulis AS, Lawrence Auster juga berkata bahawa masalahnya bukan “Islam radikal” tetapi ialah Islam itu sendiri. “Jadi, kita (bangsa Amerika) mesti berusaha melemahkan atau mengawal pengaruh Islam,” jelas Auster.

Seorang paderi Kristian di AS baru-baru ini ditangkap dan dipenjarakan kerana didapati bersalah membakar al-Quran. Dia berkata bahawa dia membakar kitab orang Islam itu kerana kitab tersebut menggalakkan orang Islam supaya memerangi semua orang kafir.

Di Malaysia sejak mutakhir ini kita melihat suara yang menghina Islam semakin lantang dan terbuka – baik dalam media cetak apatah lagi dalam media elektronik.

Apakah reaksi orang Islam terhadap semua penghinaan tersebut? Reaksi orang Islam nampaknya dua; pertama, melakukan tindakan balas secara fizikal terhadap perbuatan itu – melakukan demonstrasi, menjerit-jerit, mengancam mengebom gereja, membunuh orang Kristian dan sebagainya; kedua, mereka mempertahankan agama Islam dengan menyebut segala kebaikan dan kebenaran agama ini.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.