Oleh Ismail Ibrahim

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, membuat satu kejutan yang menggemparkan rejim Israel apabila menegaskan bahawa sempadan di antara Israel dengan Palestin hendaklah kembali ke sempadan asal seperti sebelum peperangan 1967. Atas dasar inilah beliau menggesa Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan untuk membincangkan formula perdamaian.

Nampak seperti bibit perubahan pasti berlaku atas kenyataan berani Obama tersebut. Walau bagaimanapun, terlalu awal untuk sesiapa membuat kesimpulan sama ada harapan Obama ini dipatuhi rejim Israel yang saban hari terus meluaskan kawasan tanah jajahannya. Keadaan ini dilihat lebih parah selepas Peperangan 1967 yang menyaksikan Israel mendapat kemenangan besar dan merampas Gaza, Bukit Golan, Tebing Barat, serta sebahagian kota bersejarah Jerusalem.

Perdana Menteri Israel, Natanyahu, awal-awal memberikan respons negatif dan membantah cadangan Obama. Persoalannya, adakah perkembangan ini dapat menyelesaikan masalah negara dan rakyat Palestin yang mengalami penderitaan yang begitu lama?

Palestin amat penting bagi umat Islam di seluruh pelosok dunia. Selama ini ada umat Islam yang kurang prihatin terhadap Palestin. Yang paling parah, tiada pihak daripada badan Islam yang bersungguh-sungguh mengkaji sejarah jatuh bangunnya negara Palestin.

Bumi Palestin penting dari segi fizikal dan rohani kepada umat Islam. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan perutusan Nabi yang diutus oleh Allah SWT untuk membawa rahmat dan kesejahteraan kepada manusia.

Al-Quran ada menyatakan bahawa dahulu beberapa orang utusan Allah SWT mendiami bumi suci Palestin. Antaranya ialah Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaaqub, Nabi Yusuf, Nabi Salih, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Isa, dan beberapa orang Nabi yang lain.

Rasulullah SAW juga tidak ketinggalan diberikan penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT melalui pengembaraannya ke bumi suci ini pada waktu malam di Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Baginda dalam satu peristiwa mukjizat yang besar seperti yang disebutkan dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat pertama.

___

Datuk Dr. Ismail Ibrahim bekas Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bekas Duta Besar Malaysia di Arab Saudi. Beliau sekarang penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Julai 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.