WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.81.117.119' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.81.117.119','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Pilihan Raya Singapura 2011 Sengit','/?p=1757','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh MUHAMMAD NIZAM ABD. GHANI

Sebanyak 2.2 juta rakyat Singapura menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) republik tersebut pada 7 Mei 2011 lalu. Jumlah tersebut mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Singapura yang merangkumi 200 ribu orang pengundi muda yang berusia bawah 30 tahun. Kehangatan PRU Singapura yang dimulai dengan tempoh berkempen selama sembilan hari itu memiliki keunikan yang tersendiri. Pilihan raya berkenaan merupakan kali pertama sejak tahun 1972 menyaksikan perebutan sengit kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Senario ini berbeza daripada siri pilihan raya terdahulu yang menyaksikan parti pemerintah – Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi kebanyakan kerusi tanpa bertanding. Dalam PRU 2011, PAP yang memerintah Singapura sejak tahun 1959 hanya memperoleh kemenangan percuma lima kerusi di Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan raya (GRC) Tanjong Pagar, iaitu kubu kuat bekas Menteri Mentor, Lee Kuan Yew.

 Sebanyak 82 kerusi lagi  menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAP dan beberapa parti pembangkang kecuali kerusi Kawasan Pilihan raya Perseorangan (SMC) Punggol Timur yang ditandingi tiga penjuru. Oleh sebab dalam tempoh hampir empat dekad PAP jarang-jarang dicabar di kebanyakan kawasan yang ditandinginya, maka PRU 2011 telah menjadi medan tempur yang benar-benar menguji kredibiliti calon PAP yang terdiri daripada golongan elit dan profesional, seperti bekas pegawai tinggi tentera dan perkhidmatan awam.

Walaupun keputusan PRU baru-baru ini melayakkan PAP untuk terus memerintah Singapura bagi tempoh lima tahun, iaitu sehingga tahun 2016, PAP pada masa yang sama terpaksa berhadapan dengan realiti peratusan undi popularnya yang merudum kepada 60 peratus serta kehadiran enam orang ahli Parlimen pembangkang yang jumlahnya lebih banyak berbanding dengan empat orang pembangkang ketika PRU Singapura 1991.

Kehilangan enam kerusi Parlimen kepada calon Parti Pekerja itu telah disifatkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, sebagai pengajaran besar untuk PAP. Sebenarnya desas-desus bahawa rakyat Singapura inginkan angin perubahan terhadap wakil yang bakal mewakili suara dan denyut nadi mereka di Parlimen telah kedengaran lama sebelum PRU 2011 berlangsung. Kehadiran sebilangan pengundi muda yang pertama kali mengundi serta pengundi yang tidak dapat mengundi kerana calon menang tanpa bertanding sebelumnya, telah menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung masa depan Singapura pasca PRU 2011 kelak. Perkara ini turut dipengaruhi faktor media baharu seperti blog, Twitter dan Facebook yang merupakan saluran pantas bagi para pengundi memperoleh maklumat berkaitan dengan sesebuah parti dan seseorang calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Zakir Husin dalam tulisannya yang disiarkan dalam akhbar Singapura -  Straits Times terbitan 7 Mei 2011, telah meramalkan empat kemungkinan keputusan pilihan raya berkenaan. Salah satu kemungkinan tersebut ialah calon pembangkang akan memenangi sekurang-kurangnya sebuah kerusi Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC), iaitu Aljuneid, di samping mengekalkan sebuah kerusi SMC yang merupakan kubu kuat Parti Pekerja di Hougang. Ramalan ini telah menjadi kenyataan dan benar-benar berlaku pada PRU 2011 itu. Kejayaan pembangkang menawan sebuah kerusi GRC telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana pembangkang buat kali pertamanya berjaya menembusi kawasan pilihan raya GRC sejak mekanisme tersebut diperkenalkan dalam sistem pilihan raya Singapura pada tahun 1988. Selain itu, kemenangan Parti Pekerja di Aljuneid juga telah melahirkan ahli Parlimen pembangkang Melayu yang pertama di Singapura, iaitu Muhammad Faisal Abdul Manap.

PAP pula, parti tersebut terpaksa menelan kepahitan akibat daripada kekalahan dua orang anggota kabinet Lee Hsien Loong, iaitu George Yeo (Menteri Luar) dan Lim Hwee Hua (Menteri di Jabatan Menteri Singapura). Di samping itu, harapan Hsein Loong untuk melantik seorang speaker parlimen dalam kalangan etnik Melayu juga terkulai apabila Zainul Abidin Rasheed tewas di Aljunied.

Kegagalan PAP mempertahankan kerusi GRC Aljuneid merupakan isyarat bahawa parti berkenaan perlu kembali berpijak di bumi yang nyata dan menilai semula pendekatan serta dasar yang diamalkan oleh pucuk pimpinannya selama ini. Sebagaimana yang diketahui umum, pimpinan PAP gemar mendabik dada dengan mendakwa hanya parti tersebut sahaja yang layak mentadbir Singapura tanpa mengambil kira kesan setiap dasar yang dilaksanakannya kepada rakyat.

Keghairahan pemerintah Singapura untuk mengekalkan pertumbuhan ekonominya sebagai sebuah negara maju di rantau Asia telah mengabaikan isu kepentingan rakyat seperti perumahan, sistem pengangkutan awam yang kritikal serta kelonggaran peraturan imigresen Singapura yang menggalakkan kebanjiran ekspatriat dari negara asing. Oleh sebab isu berkenaan memberikan impak kepada kelangsungan penduduk Singapura, maka hal ini telah menggerakkan hati segelintir pengundi di kawasan Aljuneid untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang sikap tidak acuh PAP itu kepada mantan Menteri Luar Singapura, George Yeo, tidak berapa lama sebelum PRU 2011 berlangsung. Lantaran itu Yeo telah mengemukakan gesaan supaya PAP melakukan transformasi terhadap dasar dan hala tujunya supaya lebih menjiwai denyut nadi rakyat.

Hsien Loong yang menyedari situasi ini dan menganggapnya sebagai kesilapan kerajaan pimpinannya telah memohon maaf kepada rakyat Singapura semasa rapat umum menjelang tiga hari sebelum PRU 2011. Walaupun ramai yang melihat pendekatan Hsien Loong yang berdiplomasi itu ibarat nasi sudah menjadi bubur, sekurang-kurangnya hal ini menampakkan bahawa PAP mula mengikis sifat ego yang terpalit selama ini.

Dalam konteks ini, antara aspek yang perlu dikaji semula oleh PAP ialah corak pemilihan calon pilihan raya yang mengutamakan golongan elit, iaitu bekas penerima biasiswa kerajaan dan pemegang ijazah kelas pertama yang kebanyakannya memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Apabila PAP menyediakan platform laluan pintas kepada individu sedemikian untuk menyertai kancah politik, maka aura berjiwa rakyat yang sepatutnya dimiliki anggota parlimen PAP, sudah hilang.

Jelas bahawa mekanisme pemilihan pemimpin pelapis PAP yang merupakan legasi Lee Kuan Yew ini agak kontra dengan senario dekad 1960-an dan 1970-an yang lebih mengutamakan pemilihan calon pilihan raya dalam kalangan tokoh akar umbi yang rapat dengan rakyat dan memahami aspirasi mereka. Tidak hairanlah apabila banyak dasar yang digariskan oleh pemerintah Singapura dilihat banyak yang tidak berpihak kepada rakyat kerana kebanyakan wakil rakyat PAP tidak pernah mengalami sendiri keperitan rakyat jelata yang terdedah kepada tekanan ekonomi berbanding dengan mereka yang menerima pendapatan bulanan yang dianggap antara yang tertinggi di dunia.

Refleksi daripada keputusan PRU 2011 menunjukkan bahawa rakyat Singapura tidak mahu lagi dibuai dengan pelbagai fakta dan angka seperti pencapaian ekonominya yang memberangsangkan atau peningkatan prestasi bersih rasuah yang tertinggi. Di Malaysia, doktrin bahawa kerajaan mengetahui segala-galanya tentang keperluan rakyat dan negara telah lama terkubur dan telah merintis jalan ke arah transformasi kerajaan yang berorientasikan penghasilan hasil kepada rakyat sejak dua tahun yang lepas, iaitu selepas PRU 2008. Mungkinkah sekarang merupakan masa untuk Singapura untuk membuang prinsip “kiasu” kepada jiran tetangganya selama ini dan sama-sama belajar mendahulukan kepentingan rakyat dalam segenap dasar republik pulau tersebut.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.