WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.80.82.9' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.80.82.9','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Lewat Kahwin Gugat Produktiviti Negara','/?p=1745','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh Salleh Sidek

 Senario dalam kalangan masyarakat tempatan hari ini yang memperlihatkan kecenderungan golongan bujang, baik lelaki mahupun wanita, lewat berkahwin, memberikan impak yang sangat besar kepada perkembangan sosioekonomi negara. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memandang serius trend melewatkan perkahwinan, terutama dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi. 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr. Anjli Doshi Gandhi, perkembangan yang sedemikian sudah tentu membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan di Malaysia. Data terkini menunjukkan bahawa 30 peratus wanita yang berumur antara 25 tahun hingga 29 tahun belum berkahwin, berbanding dengan 25 peratus bagi lelaki yang berumur antara 30 tahun hingga 34 tahun yang masih bujang.

Sementara itu, satu pertiga daripada 27.5 juta penduduk di negara ini dilaporkan terdiri daripada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah dan mereka dijangka memasuki usia perkahwinan menjelang tahun 2020. Namun demikian, sekiranya mereka masih “diselubungi” fenomena lewat berkahwin ini, negara bakal berdepan dengan kadar kelahiran bayi yang dijangka terus menurun sehingga paras di bawah dua peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang. Hal ini secara tidak langsung memberikan impak terhadap struktur kependudukan negara kerana berlakunya peningkatan jumlah golongan warga tua.

Pada ketika ini, peratusan kadar kelahiran bayi ialah 2.2 peratus berbanding dengan 2.8 peratus pada tahun 2000. Angka itu diramalkan terus menurun di bawah dua peratus pada tahun 2030. Dengan meningkatnya jumlah peratusan golongan warga tua berbanding dengan golongan muda, negara akan mengalami kekangan dari segi sumber modal insan untuk menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan pendapatan tinggi pada tahun 2020.

Sehubungan dengan hal itu juga, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penurunan kadar kesuburan itu amat berkaitan rapat dengan faktor kelewatan perkahwinan kerana golongan bujang ini dikatakan terikat dalam pasaran pekerjaan. Walaupun jumlah penduduk Malaysia kini meningkat daripada 23.3 juta pada tahun 2000 kepada hampir 28 juta pada tahun ini, negara kini menuju ke arah penuaan penduduk.

Hal ini dikatakan demikian kerana warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di negara ini meningkat kepada 6.8 peratus daripada jumlah penduduk berbanding dengan 6.2 peratus yang dicatatkan pada tahun 2000. Penurunan peratusan golongan muda menyaksikan peningkatan golongan tua dalam tempoh 20 tahun akan datang.  Golongan warga emas dianggar akan bertambah kepada 2.2 juta pada tahun 2020, iaitu menunjukkan peningkatan sekitar 83 ribu warga emas setahun.

Bagi menangani senario ini, negara memerlukan peningkatan jumlah penduduk yang berumur antara 20 tahun hingga 30 tahun, iaitu golongan muda yang bakal memasuki pasaran pekerjaan. Hal ini bagi memastikan agenda negara untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, dapat dicapai, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa golongan berusia 55 tahun hingga 58 tahun di Malaysia, masih mampu menyumbang secara produktif kepada produktiviti negara.

Sungguhpun demikian, untuk menyeimbangkan kadar peningkatan golongan muda dengan golongan warga emas agar berada pada paras yang lebih baik, pembentukan dasar yang komprehensif amat diperlukan. Hal ini adalah untuk memastikan supaya negara bersedia dalam menghadapi cabaran pembangunan institusi kekeluargaan kerana golongan muda pastinya akan memberikan kesan kepada penambahan isi rumah yang berlipat kali ganda daripada jumlah sekitar 6.3 juta orang yang ada sekarang.

Walau bagaimanapun, pihak LPPKN misalnya, terlebih dahulu perlu memikirkan kaedah yang sesuai dan mempunyai nilai tambah sebagai pelan strategik kependudukan. Langkah ini adalah untuk mengatasi isu lewat berkahwin yang menjadi salah satu faktor penyebab menurunnya kadar kesuburan dalam kalangan penduduk di negara ini.

Pada masa yang sama, punca yang mendorong golongan muda pada hari ini melewatkan perkahwinan mereka harus juga dikenal pasti untuk memudahkan jalan penyelesainya ditemukan. Oleh sebab jumlah lelaki dan wanita yang berkahwin lewat semakin meningkat, keadaan ini  tidak  lagi dilihat sebagai masalah individu, sebaliknya sudah menjadi isu  yang bersifat sepunya dalam masyarakat.

Sungguhpun keputusan untuk berkahwin awal atau lewat lebih bersifat subjektif dan peribadi serta melibatkan soal jodoh yang merupakan ketentuan Tuhan, hal ini tidak bermakna tiada jalan penyelesaian untuk memastikan supaya trend kahwin lewat tidak dapat diatasi atau dibendung. KPWKM dan LPPKN dapat memainkan peranannya untuk memberikan kesedaran kepada generasi muda bahawa tindakan melewatkan perkahwinan boleh menggugat pembinaan institusi kekeluargaan dan sekali gus memberikan impak terhadap daya produktiviti sesebuah negara.

Dasar kependudukan 70 juta orang rakyat negara yang telah disarankan oleh Perdana Menteri keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada tahun 1982, mempunyai rasionalnya. Sasaran mencapai matlamat 70 juta orang penduduk adalah untuk menyediakan asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri di Malaysia, di samping mewujudkan keadaan persaingan dalam pasaran yang seterusnya berupaya meningkatkan daya dan mutu produktiviti negara.

Selain itu juga, golongan muda perlu sedar bahawa perkahwinan merupakan tuntutan dalam membina masyarakat yang unggul dan penting kepada setiap individu untuk menghasilkan keturunan, agar dunia tidak kepupusan manusia. Sementara itu, kecenderungan lewat berkahwin juga boleh menyebabkan kebanyakan keluarga mengehadkan kelahiran anak kepada dua orang sahaja.

Berdasarkan kajian populasi penduduk yang dilakukan LPPKN, tindakan berkahwin lambat memberikan impak kepada struktur usia penduduk, terutama golongan muda. Peratusan golongan muda menurun daripada 19 peratus pada tahun 2000 kepada 18.5 peratus pada tahun 2009. Situasi ini an berlanjutan dengan anggaran penurunan 16.9 peratus menjelang tahun 2020. Bahkan, sehingga tahun 2025, dianggarkan satu pertiga populasi rakyat di negara kita ialah golongan kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah.

 Sehubungan dengan hal itu, beberapa faktor dikenal pasti  sebagai punca  generasi muda hari ini lebih cenderung melewatkan perkahwinan mereka. Antaranya termasuklah faktor kewangan yang belum stabil hingga  menyebabkan golongan lelaki khususnya, masih belum mendirikan rumah tangga walaupun berumur dalam  lingkungan 30-an. Di samping itu, ada juga yang menyuarakan alasan bahawa mereka belum bersedia untuk memberikan komitmen terhadap kehidupan berkeluarga. Tidak kurang juga yang memberikan alasan kesukaran untuk mendapat pasangan yang menepati aspek keserasian, alasan ekonomi dan pelbagai masalah peribadi yang lain, yang dilihat menyumbang kepada senario kahwin lewat.

Selain itu, ada dalam kalangan orang bujang yang berkahwin lewat bukanlah disebabkan oleh faktor ketaasuban terhadap kerjaya masing-masing, sebaliknya golongan tertentu ini tidak menganggap perkahwinan sebagai antara matlamat yang perlu dipenuhi bagi menyempurnakan kehidupan seseorang insan. Jika diperhatikan, kecenderungan seseorang itu untuk berkahwin atau tidak, turut dipengaruhi faktor  perubahan struktur penduduk, perubahan mentaliti tentang konsep berkeluarga, di samping keadaan dan keperluan wanita hari ini yang mahu melanjutkan pelajaran serta bekerja demi membantu keluarga.

Pada hakikatnya, berkahwin pada usia lewat tanpa sebab-musabab yang kukuh hanya membawa lebih banyak kesan negatif daripada kesan positif kepada individu khususnya, dan masyarakat amnya. Dalam hal ini, ahli keluarga, terutamanya ibu bapa dan teman rapat dapat juga memainkan peranan masing-masing untuk memberikan sokongan psikologi dan emosi kepada individu yang berminat untuk berkahwin, tetapi ada kekangan tertentu hingga menyebabkan mereka lewat berkahwin. Pelbagai pihak lain termasuk pihak kerajaan dan swasta harus juga menggembleng usaha untuk menyediakan sistem sokongan kepada pekerja dan masyarakat supaya mereka dapat menyeimbangkan antara kerjaya dengan keperluan kehidupan berkeluarga.

Share

1 Maklum Balas

  1. Give me Komen:

    zaman sudah berbeza. Sekarang banyak yang terpaksa dikejarkan. Ramai diantara bujangers masih berpendapatan rendah. Akan tetapi kadar perbelanjaan harian + kos perkahwinan dah menjadi tripple mungkin quad dari kemampuan bujangers.

    Dihantar pada 24 Mac, 2012, 9:06 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.