Oleh MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

“Anak haram”, “anak luar nikah”, “anak tidak sah taraf”, atau apa-apa pun istilah yang diberikan, semua istilah tersebut merujuk seorang anak yang dilahirkan sebelum termeterainya ikatan perkahwinan yang sah di sisi agama. Mungkin agak keterlaluan bunyinya semua istilah yang diberikan, tetapi itulah lumrah yang terpaksa ditelan oleh anak yang tidak berdosa ini.

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 26 Mac 2004 mengklasifikasikan anak luar nikah kepada tiga keadaan. Pertama, anak yang dilahirkan akibat perempuan yang dirogol; kedua, anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah Qamariah (bulan Hijriah) dari waktu akad nikah dan bukan hasil persetubuhan syubhah; dan ketiga, anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti yang kukuh bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dari 2000 hingga Julai 2009, sejumlah 257 ribu kelahiran bayi tanpa bapa didaftarkan di negara ini. Jika dikira dari segi kekerapannya, secara purata kira-kira 2500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan, atau 83.3 kes setiap hari, dan satu kelahiran anak luar nikah untuk setiap 17 minit.

Ada pula pihak yang mendakwa bahawa kelahiran anak luar nikah di negara ini sebenarnya jauh lebih banyak daripada yang didaftarkan di JPN. Mereka memberikan nisbah kelahiran bayi luar nikah di negara ini ialah 1:3 (daripada empat kelahiran bayi luar nikah, hanya satu yang didaftarkan, manakala tiga lagi tidak didaftarkan). Kegagalan pendaftaran bayi ini berlaku disebabkan mangsa atau keluarga mangsa yang terlibat cuba menutup aib atas kelahiran anak luar nikah tersebut.

Daripada 257 ribu kelahiran anak luar nikah yang didaftarkan di negara ini, sebanyak 35 peratus daripada kelahiran membabitkan bayi yang ibunya beragama Islam. Manakala penganut agama lain pula mencatatkan Hindu (22 peratus), Buddha (21 peratus) dan Kristian (22 peratus).

Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, dan Sabah merupakan lima buah negeri yang mencatatkan kadar kelahiran tertinggi anak luar nikah berbanding dengan negeri lain. Daripada lima buah negeri itu pula, Selangor merupakan negeri yang menyumbang kepada kadar kelahiran tertinggi anak luar nikah iaitu sebanyak 12 836 orang.

Keadaan menjadi bertambah parah apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa sebanyak 517 kes pembuangan bayi dilaporkan kepada PDRM sejak 2005 hingga Januari tahun ini.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Jun 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.